SHAH ALAM - Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi semalam mengangkat sumpah sebagai Exco kerajaan negeri Selangor yang baru bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali.

Nama Ahmad Yunus telah diperkenankan oleh Sultan Selangor dan mengangkat sumpah di hadapan baginda Sultan dan Majlis Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor diadakan di Bilik Singgahsana, Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Sebelum ini, beliau adalah Pembantu Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Sumber Manusia yang Exconya adalah Dr Halimah Ali.
Beliau banyak membantu Halimah dalam urusan Briged Amal, Gems dan lain-lain projek di bawah Exco ini.
Beliau juga menjaga urusan belia negeri Selangor yang portfolionya dipegang oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri.
Turut berada di majlis ini adalah ADUN Meru Dr Abdul Rani Osman yang juga Pesuruhjaya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Selangor dan pimpinan kerajaan negeri yang lain.
