Anda di sini: Berita Zon > Tengah > Kompleks saudara baru, Al-Saadah dirasmikan

Kompleks saudara baru, Al-Saadah dirasmikan

Share

Perasmian Darul Saadah

SEREMBAN – DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian Kompleks Al-Saadah Seremban.

Berangkat sama adalah permaisuri baginda, DYMM Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud serta diiringi oleh Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri, Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak, Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman dan Undang Luak Johol, Datuk Mohd Jan Abdul Gani.

Turut hadir Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tuanku Nujumuddin.

Bacaan ayat-ayat suci al-Quran diperdengarkan oleh salah seorang saudara baru yang buta penglihatan, Muhammad Adam Lee Abdullah.

Dalam ucap sembah ke bawah DYMM Yang Di-Pertuan Besar, MB berkata, majlis ini diadakan bersempena dengan Hari Keputeraan DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir ke-64 .

“Usaha gigih, komitmen jitu dan kerjasama erat yang telah diberikan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan sebagai perkongsian pintar telah membuahkan hasil dan sekali gus memberi gambaran betapa kerajaan begitu prihatin mengenai keperluan penyediaan kemudahan infrastruktur yang sempurna dan selesa kepada golongan saudara baru di Negeri Sembilan.”

Tuanku Muhriz turut berkenan mencemar duli membuat lawatan dan menyaksikan lapan orang saudara baru mengucapkan syahadah di dewan solat Kompleks Al-Saadah.

Kompleks Al-Saadah telah beroperasi sejak Mac 2011 yang lalu di kawasan tanah wakaf berkeluasan 1.78 ekar dan turut menyediakan kemudahan seperti dewan solat yang boleh memuatkan 300 orang, Pejabat NGO iaitu Persatuan Darul Saadah dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), 10 bilik asrama perempuan, 10 bilik asrama lelaki, 4 buah bilik untuk mubaligh, 3 bilik kuliah, dewan kuliah dan dewan makan.

Selain itu, ia dibina dengan konsep seni bina tradisi kaum Cina iaitu gabungan seni bina Masjid Xian, China dengan adaptasi dari ciri-ciri dan kepercayaan masyarakat Islam.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jenderal Dato’ Seri Jamil Khir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Haji Mat Ali Bin Hassan, Ketua Pengarah JAWHAR, Datuk Haji Anan Bin C. Mohd dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan, Dato’ Ir Dr. Roslan Bin Md Taha.

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook