SEREMBAN – DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar duli ke Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sembilan Kali ke-55 yang telah diadakan di Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan, Paroi. Turut mencemar duli permaisuri baginda, DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani ibni Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Terdapat dua kategori pertandingan iaitu bagi kategori dewasa dan remaja, sementara bacaan peserta diadili dari segi taranum, tajwid, fasohah, dan nada suara.
Ucapan merafak sembah Menteri Besar, beliau melafazkan rasa syukur kerana majlis yang dianjurkan saban tahun oleh kerajaan ini merupakan manifestasi serta keazaman untuk sentiasa menjadikan al-Quran sebagai tunggak penting dalam setiap aktiviti yang dijalankan bagi membangunkan negeri ke tahap yang lebih tinggi.
“’Persefahaman Asas Perpaduan Ummah’ yang menjadi tema tahun ini, amat bertepatan dengan usaha kerajaan yang sentiasa komited dan konsisten dalam menyatupadukan ummah dan bagi menghadapi cabaran global yang melanda umat Islam itu sendiri,” ujarnya
Beliau turut menyeru agar umat Islam agar mempertingkat pengetahuan agama dan memelihara Islam serta merapatkan saf-saf ummah agar setiap waktu menjadi benteng pertahanan apabila musuf kafir datang memerangi, umat Islam tidak gentar berjuang fisabilillah.
Bagi kategori remaja lelaki, pemenang tempat pertama yang membawa pulang sijil penyertaan, hadiah iringan, wang tunai RM2,000 serta menerima piala pusingan adalah Zainur Irshadi Zainal dari Jempol. Tempat kedua menjadi milik Mohd Furqan Fawas Hj Salleh Thani yang menerima sijil penyertaan, hadiah iringan dan wang tunai RM1,500, manakala tempat ketiga dimenangi Mohd Hazwan Hamdan yang memperoleh sijil penyertaan, hadiah iringan dan wang tunai RM1,000.
Hadiah bagi kategori remaja perempuan pula adalah sama sepeti kategori remaja lelaki. Johannya adalah Husna Saifulzaman dari Seremban, tempat kedua Afifah Syukriah Abd Ghani dari Jelebu dan tempat ketiga adik Dayangku Siti Normariam Awang Ahmad dari Port Dickson.
Bagi kategori dewasa lelaki, Johan dimenangi oleh Abdul Hanis Mohd Daud, guru J-Qaf, Jelebu. Beliau menerima piala pusingan, wang tunai sebanyak RM5,000 dan tiket menunaikan fardu haji. Naib johan Mohd Fairuz Husin, Jempol yang menerima wang tunai sebanyak RM4,000 dan tempat ketiga Mohd Hazmi Hamdan dari Port Dickson yang membawa pulang wang RM3,000.
Bagi kategori perempuan, Johan ialah Hjh Noorliza Tajudin, guru KAFA, Rembau yang turut menerima wang tunai berjumlah RM5,000, tiket menunaikan haji dan piala pusingan. Naib Johan menerima RM4,000 di menangi oleh Juriah Hussain, Seremban dan tempat ketiga ialah Hjh Maimon Hj Harun, wakil Seremban yang menerima wang tunai berjumlah RM3,000.
Johan qari dan qariah akan mewakili Negeri Sembilan dalam pertandingan peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Johor.
Turut hadir adalah Johan Tilawah Al-Quran kali ke-54 Peringkat Negeri Sembilan dan peringkat kebangsaan 2011, Hj Amirahman Abas.
Hadir sama YTM Dato’ Undang Yang Empat dan YTM Tunku Besar Tampin, Sohibus Samahah Dato’ Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Hj Mohd Yusoff Hj Ahmad, Dato’ Hj Mat Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri, En Johani Hassan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dan EXCO Kerajaan Negeri Sembilan.
Tilawah Al-Quran yang di anjurkan oleh Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sembilan ini telah bermula sejak 23 Mei 2012M bersamaan 3 Rejab 1433H sehingga 26 Mei 2012M bersamaan 6 Rejab 1433H.



