Ahad, 19 Mei 2013

Kemaskini Terakhir03:09:56 PM EST

Anda di sini: Berita Zon > Tengah > 20 peniaga diarah kosongkan premis

20 peniaga diarah kosongkan premis

Share

KUALA LUMPUR - Pihak pengurusan, Uda Holdings Berhad mengeluarkan arahan kepada 20 peniaga Bumiputera di Kompleks Pertama agar mengosongkan premis perniagaan mereka akibat gagal melangsaikan sewa bulanan yang tertunggak selama  empat hingga lapan bulan.


“Tindakan diambil pihak pengurusan tanpa menyelidik sebab di sebalik kegagalan melangsaikan kadar sewa bulanan ditetapkan,” ujar Pengerusi Badan Bertindak Peniaga-peniaga Melayu kompleks itu, Zainul Ahmad.

Beliau berkata, mereka menerima notis untuk menjelaskan tunggakan sejak awal bulan ini dan diminta membayar tunggakan berjumlah minima RM20,000 dalam tempoh 15 hari dari tarikh surat itu.

“Sewajarnya, pihak pengurusan perlu mengetahui sebab mengapa kami secara tiba-tiba tidak mampu menanggung kadar sewa bulanan berjumlah antara RM4,000 dan RM10,000 sebulan.”

Katanya, ia berpunca daripada kemerosotan perniagaan dialami sejak kebelakangan ini.

“Antara perkara menyebabkan pendapatan merosot adalah kewujudan pagar sepanjang 76 meter dibina Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di belakang kompleks itu yang berhadapan pintu masuk bangunan tiga tingkat menempatkan peniaga Bumiputera,” kata Zainul.

Menurutnya, sejak awal tahun lalu pagar yang dibina ini menghalang orang ramai untuk ke sini.

“Premis kami terletak di bahagian belakang bangunan yang tersorok dan tidak wajar penghadang ini dibina kerana seolah-olah menutup rezeki kami,” luahnya.

Dalam pada itu, penutupan Jalan Semarang yang menghubungkan pintu masuk tempat letak kereta dengan Jalan Raja Laut dan kawasan sekitar pada waktu puncak juga tidak wajar kerana menyukarkan pengguna berkunjung ke bangunan itu.

“Ia menyebabkan keadaan jalan lebih sesak dan mengganggu perniagaan mereka selama beberapa jam.”

Pada masa sama, pihaknya turut mempersoalkan tindakan Uda Holdings Berhad yang menerima kehadiran peniaga bukan Bumiputera di premis tiga tingkat itu.

“Bahagian belakang bangunan tiga tingkat ini dikhaskan kepada peniaga Bumiputera dan tidak seharusnya menerima peniaga bukan Bumiputera,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan menyerahkan memorandum kepada pihak berkenaan termasuk pihak berwajib dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian terbaik.

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook