KUALA LUMPUR – Tun Razak Exchange (TRX) yang dilancarkan semalam bakal menjadi mercu tanda baru Kuala Lumpur sebagai peneraju pusat kewangan, perdagangan dan perkhidmatan antarabangsa.
“Apabila siap, ia dijangka menempatkan lebih 250 syarikat global terkemuka serta menyediakan 500,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung,” demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Selain itu, ia juga menjadi tarikan pelbagai aktiviti ekonomi yang memberi hasil berganda, selaras tekad kerajaan menjadikannya ikon untuk komuniti perniagaan berinteraksi dan pusat pertemuan moden bagi penerokaan peluang pelaburan baru mencecah sehingga RM26 bilion.
“Projek yang sebelum ini dikenali Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) membabitkan kawasan 28.3 hektar berhampiran Bulatan Kampung Pandan di Jalan Tun Razak dan mengunjur sehingga Jalan Raja Chulan. Pemaju induk projek adalah 1Malaysia Development Bhd (1MDB).”
Beliau berkata, idea KLIFD kini bertukar kepada sesuatu yang lebih besar dan inklusif. Tun Razak Exchange adalah kawasan bagi peluang pelaburan baru. Ia menampilkan reka bentuk terbaik di peringkat antarabangsa serta prinsip perancangan yang progresif. Bangunan dan infrastrukturnya akan mematuhi paras kemampanan tertinggi.
“Ia juga akan disambungkan dengan pengangkutan awam termasuk transit aliran massa (MRT),” katanya pada majlis pelancaran dan pecah tanah projek itu.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB mengumumkan pelantikan pasukan petugas khas untuk memantau pembangunan TRX sehingga projek itu beroperasi sepenuhnya.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin serta Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.



