SHAH ALAM - Ekoran dakwaan ke atas Mohd Rafizi Ramli berkaitan skandal National Feedlot Corporation (NFC), Kerajaan Negeri Selangor bersedia membiayai kos guaman bagi membantu bekas CEO Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor itu.
“Insya-Allah, kerajaan negeri telah menyediakan dana khas untuk membantu membiayai kos guaman Mohd Rafizi Ramli,” kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dalam Twitternya.
Dalam perkembangan sama, tambahnya, kerajaan negeri mengecam penangkapan dan pendakwaan terhadap Rafizi Ramli kerana membongkar kes penyelewengan NFC dan George Kent.
Mahkamah Seksyen Shah Alam semalam menetapkan bayaran ikat jamin sebanyak RM15,000 kepada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Johari Mohamad serta menetapkan tarikh perbicaraan kes ini pada 10 Septermber 2012.
Rafizi Ramli menerusi laman Twitternya awal pagi semalam, menyatakan bahawa beliau ditahan polis atas pertuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) 1989.
Menerusi paparan Twitter itu juga, Rafizi menjelaskan rumahnya diserbu kira-kira jam 7 pagi tadi sebelum dibawa ke balai polis Hulu Klang.
Sekitar jam 8 pagi, Rafizi menyatakan beliau sedang dibawa polis ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan proses pertuduhan ke atasnya dipercepat kepada 9 pagi.
Turut ditahan Johari Muhamad, bekas kerani Public Bank yang dikatakan salah seorang pemberi maklumat mengenai pembelian hartanah mewah keluarga Shahrizat di KL Eco City, Bangsar.



