
KOTA BHARU - Masalah pelupusan sampah dan sisa pepejal di negeri Kelantan akan diselesaikan tidak lama lagi menggunakan teknologi moden dari Taiwan.
“Saya harap impian saya selama 20 tahun untuk menyelesaikan masalah sampah di negeri ini akan selesai apabila terlaksananya projek ini,” kata Menteri Besar Kelantan Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) Fauzi Mat menandatangani perjanjian itu bagi pihak MPKB manakala syarikat pembekal teknologi tersebut diwakili Pengarah Urusannya, Lim Kok Eng.
Menurut Menteri Besra, satu kawasan seluas empat hektar di Kampung Telong, Bachok akan dijadikan tapak pusat pelupusan tersebut.
Ketika berucap di majlis yang sama, Fauzi berkata pusat kitar semula dan kompos itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dibina berasaskan biologi dan alam sekitar untuk mereputkan sisa pepejal organik menggunakan mikrob untuk dijadikan baja organik.
“MPKB akan menyewakan tapak kilang sisa pepejal itu kepada syarikat berkenaan selama 20 tahun melibatkan empat fasa. Melalui kaedah teknologi baru ini, MPKB akan mendapat pulangan hasil RM335,000 dalam tempoh 20 tahun, di samping dapat mengurangkan kos memproses dan melupus sebanyak 70 peratus,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata melalui teknologi itu, sampah jenis organik akan direputkan menggunakan mikrob bagi menghasilkan baja organik yang boleh digunakan dalam sektor pertanian.
“Setakat ini, MPKB memungut sampah berjumlah 300 tan sehari serta 110,000 tan metrik setahun, dan daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 70 peratus adalah sampah jenis organik seperti sisa makanan, sayur-sayuran, buah-buahan serta haiwan.”



