
BUTTERWORTH - Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (UNGGAS) dengan kerjasama Universiti Teknologi Petronas (UTP), NGO muda Pulau Pinang, kariah Masjid Kapitan Keling dan agensi kerajaan akan mengadakan satu program bertemakan “Ramadhan Discovery: Siapa Mereka di Hati Kita?” bersempena Ramadan ini.
Program tersebut akan diadakan pada 3 Ogos dan 4 Ogos 2012 di Masjid Kapitan Keling, Georgetown, Pulau Pinang.
“Dapat kita lihat pada bulan Ramadan, golongan gelandangan adalah antara golongan yang akan memenuhi jalanan di sekitar Georgetown,” kata Bedahari UNGGAS, Hassuna Binti Abdul Rahman.
Beliau yang juga Sekretariat Program Ramadhan Discovery berkata, UNGGAS dengan kerjasama pihak-pihak tersebut akan mengadakan program khas itu bertujuan meraikan kelompok ini, dalam masa yang sama cuba berusaha mewujudkan pusat perlindungan (shelter) untuk golongan ini.
“Antara tujuan lainnya ialah mengumpul maklumat gelandangan yang ada di Pulau Pinang, mengenal pasti isu sebenar yang dihadapi oleh golongan ini, mendekati golongan ini bagi tujuan dakwah dan pendidikan, mengenal pasti masalah sebenar gelandangan dan akan mendedahkan kepada realiti kehidupan masyarakat,” jelasnya.
Selain mencari sukarelawan yang berminat untuk membantu menjayakan program tersebut bersama-sama sukarelawan UTP, UNGGAS amat mengalu-alukan orang ramai yang ingin menawarkan diri.
“Sekiranya ingin menghulurkan sumbangan, (orang ramai) bolehlah berbuat demikian dengan memasukkan (sumbangan tersebut) ke akaun CIMB Islamic atas nama Pertubuhan Menangani Gejala Sosial Malaysia (UNGGAS Malaysia), nombor akaun: 07020000175102 dan sila nyatakan jumlah sumbangan ke nombor 019-4522893 untuk tujuan rekod,” jelasnya.
Sebarang pertanyaan berkenaan program dan sukarelawan boleh diajukan kepada saudari Hassuna Abdul Rahman di talian 019-4522893.
UNGGAS merupakan badan yang ditubuhkan untuk memahami permasalahan sosial yang melanda masyarakat, terutamanya remaja serta mempromosi dan mengupaya daya komuniti-komuniti setempat dengan gaya hidup sihat tanpa gejala sosial dalam pelbagai aspek kehidupan.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai UNGGAS, sila layari http://sinarloronggelap.blogspot.com/



