GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukan RM3.9 juta untuk pemberian bonus Hari Raya Aidilfitri kepada penjawat awam dan guru Kelas Fardu Ain (KAFA) seluruh negeri mulai 9 Ogos depan.
“Pemberian itu melibatkan setengah bulan gaji dengan minimum RM600 dan RM300 sebagaimana tahun lalu dan ia tidak ada kaitan dengan gula-gula pilihan raya umum ke-13 yang bakal diumumkan pada bila-bila masa sahaja,” ujarnya.
Menurutnya, bonus tersebut turut melibatkan anggota perkhidmatan awam di bawah Kerajaan Negeri dan badan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Dalam kenyataan medianya itu, beliau memberitahu bahawa ada sedikit peningkatan perbelanjaan memandangkan pertambahan kakitangan kerajaan yang berjumlah 3,780 berbanding tahun lalu seramai 3,645 orang.
“Ia juga adalah berdasarkan kenaikan gaji tahunan anggota perkhidmatan awam dan kadar kenaikan gaji 13 peratus yang telah pun diselaraskan pada April 2012 lalu,” demikian jelasnya.
Pemberian tersebut juga membabitkan Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun Negeri.



