IPOH – Satu pertemuan tertutup akan diaturkan Dewan Pemuda (DPPN Pk) Parti Islam Se-Malaysia (PAS) antara Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dengan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Mohd Munir Ali selaku Timbalan Ketuanya berkata, pertemuan itu bertujuan membincangkan isu berkaitan kepentingan umat Islam yang menjadi perbualan hangat masa kini dan hasrat itu dinyatakan di dalam surat yang dihantar kepada Harussani.
Pemuda PAS negeri merasakan sudah tiba masanya untuk kedua-dua tokoh itu bersemuka dengan cara yang lebih terhormat dan beradab bagi menjernihkan keadaan dan menyelesaikan kemelut yang hanya merugikan umat Islam.
Hal ini adalah berikutan seringkali pertembungan terbuka antara Mufti Perak dengan Mursyidul Am PAS itu dipaparkan melalui media, terutama apabila melibatkan isu-isu agama.
Kerana menghormati ilmu beliau selaku mufti, pihaknya merasakan kaedah itu adalah yang terbaik bagi menjernihkan segala yang telah dikemukakan secara terbuka.
“Kami juga yakin Datuk Nik Abdul Aziz akan bersedia menerima jemputan tersebut supaya tiada lagi persengketaan terbuka dan masing-masing akan terus dapat memberikan tumpuan pada agenda memartabatkan Islam di dalam ruang lingkup tugas yang diamanahkan,” ujarnya sebagaimana dikemukakan di dalam surat itu.
Sehubungan perkara itu, ujarnya, DPPN Pk memohon agar Mufti Perak dapat mencadangkan tarikh-tarikh yang sesuai dan pihaknya akan mendapatkan maklum balas daripada pihak Menteri Besar Kelantan bagi tujuan tersebut.



