
IPOH – Mufti Negeri Perak tetap mengeluarkan fatwa bahawa tarian poco-poco adalah haram walaupun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak setelah Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang dianggotai 10 ahli yang dipengerusikan Tan Sri Harussani Zakaria membuat keputusan secara sebulat suara berkenaan tarian itu.
“Tarian poco-poco itu melanggar undang-undang Islam dan penyelidikan kami menunjukkan tarian tersebut berasal dari Jamaica dan ada banyak persamaan Kristian dalam gerakannya yang menggambarkan pembentukan salib sehingga tarian tersebut tidak boleh diterima dalam Islam,” ujar Harussani.
Katanya lagi, tarian itu juga dipraktikkan di Filipina dan wilayah Indonesia yang memiliki penduduk majoriti Kristian sehingga tarian ini mempunyai pengaruh Kristian dan bertentangan dengan Islam.
Keputusan pengharaman tarian dan senaman poco-poco ini diputuskan ekoran persoalan yang dikemukakan oleh Persatuan Kakitangan Islam Malayan Banking Perak yang menginginkan kepastian berkenaan status tarian poco-poco.
Sebelumnya, pada tahun 2008, Majlis Fatwa Kebangsaan telah melarang Yoga untuk umat Islam, dengan mengatakan perkara itu boleh mengikis iman mereka.



