“Dan untuk akhirnya bumi ini ditadbir oleh hamba-hamba yang soleh sebagaimana janji Allah bahawa bumi ini pasti diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh.”
Di Dataran Tahrir, kemenangan beliau disambut dengan laungan takbir, sorakan dan kibaran bendera oleh ratusan ribu penyokongnya yang berhimpun.
Di luar Kaherah, mereka melaungkan namanya serta membunyikan hon kereta sebagai tanda sokongan.
Begitulah aksi-aksi yang dilakukan oleh rakyat Mesir dengan kejayaan Presiden yang mereka pilih.
Tentunya hari Ahad lepas menjadi hujung minggu yang penuh kesyukuran dan kebahagiaan bagi sekalian rakyat Mesir dan sekalian mereka yang mendambakan perubahan. Pengisytiharan kemenangan Dr Mohamed Mursi menjadi kenangan paling manis dalam usaha menegakkan keadilan di bumi Allah.
Cabaran demi cabaran apalagi rintangan dilalui oleh rakyat Negara Piramid itu akhirnya membuahkan hasil di samping membuka lembaran dan mencipta sejarah baru - Dr Mursi dinobatkan sebagai Presiden Mesir pertama pilihan rakyat.
Mursi yang juga bekas jurutera mendapat 13.2 juta undi daripada 26 juta rakyat Mesir yang keluar mengundi iaitu 51.7 peratus daripada jumlah undi berbanding lawannya Ahmed Shafiq, bekas Perdana Menteri pada era Hosni Mubarak yang mendapat 12.3 juta undi. yang mana keputusan diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir, Farouq Sultan.
Besarlah harapan kita semua agar kejayaan negara Mesir itu menciptakan satu momentum dan paradigma untuk pembebasan Palestin, negara-negara Islam yang lain serta Malaysia khususnya bagi menuju negara yang melaksanakan syariat Allah.
Yang menariknya, selepas beberapa jam kemenangan Dr Mursi, beliau mengungkapkan kata-kata yang membahagiakan sekalian rakyat Mesir:
“Saya akan menjadi Presiden untuk seluruh rakyat Mesir.”
Selain itu, yang mengagumkan, beliau adalah pemimpin negara yang kedua di dunia moden kini yang menghafaz 30 juzuk al-Quran setelah Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh... Subhanallah.
Muhamed Mursi dalam pidato pertamanya sebagai Presiden di hadapan rakyat Mesir menyeru semua pihak untuk saling membantu membangunkan Mesir yang maju.
Dalam pidato yang disiarkan di seluruh televisyen tempatan Mesir itu, Mursi benar-benar mengetengahkan prinsip Islam yang ideal.
Presiden baru itu juga ditagih janjinya dalam memimpin Mesir. Justeru, untuk memastikan manifesto 100 hari Mursi terlaksana, sekumpulan rakyat Mesir yang prorevolusi telah membina sebuah laman web dengan nama www.morsimeter.com.
Laman ini dikatakan akan mengawal polisi dan janji-janji Mursi selama masa kempen.
Terpilihnya Mursi sebagai Presiden akan menjadi cabaran kepada nasib politik dan politik Islam pada masa hadapan. Mursi diharapkan dapat menjadi teladan dan standard yang ideal untuk kejayaan pemimpin Islam.
Jika tidak, mungkin sahaja kepercayaan masyarakat akan terjejas. Perbezaan yang amat sedikit antara Mursi dan Syafik boleh menjadi kata kunci bahawa politik Islam pada era moden belum begitu teruji. Mursi sewajarnya berusaha menganyam seluruh pihak dan rakyatnya dengan bingkai Islam yang sebenar.
Pastinya kemenangan Mursi memberi harapan baru buat bangsa Arab. Ia bakal membuka lembaran baru kehidupan Mesir. Ia akan menumpuk harapan besar buat rakyat Palestin, juga buat umat Islam seluruh dunia.
Seluruh dunia memerhatikan perubahan besar negara Mesir sekarang. Moga tempiasnya akan menular ke seantero dunia, khususnya gerakan Islam yang sedang berjuang mengembalikan rahmat Ilahi ke seluruh alam ini.



