Sabtu, 25 Mei 2013

Kemaskini Terakhir04:25:34 PM EST

Anda di sini: Editorial > Editorial > Muslim Rohingya: Siapakah mereka?

Muslim Rohingya: Siapakah mereka?

Share

Rohingya

Umat yang dilupakan. Umat ​​Islam Rohingya kebanyakannya tinggal di sebelah barat Myanmar (dulu dikenali sebagai Burma) di negeri Arakan yang bersempadan dengan Bangladesh.


Mereka adalah keturunan daripada para pedagang Arab, Parsi, Turki dan lain-lain yang berkahwin dengan penduduk setempat seperti Mughals, Pathan dan Bengali. Penyebaran Islam di Arakan (dan di sepanjang kawasan Pantai Selatan Bangladesh) dilakukan oleh para pedagang dan pendakwah dari Asia Barat ini.

Mereka terus menetap di kawasan ini untuk tempoh yang panjang, berkahwin dengan penduduk setempat dan hidup sebati dengan budaya tempatan. Kini, umat Islam Rohingya merupakan 1/3 daripada jumlah penduduk wilayah Arakan, Myanmar dan selebihnya adalah penganut Buddha Arakanese.

Nasib mereka...

Umat Islam Rohingya telah dinafikan hak-hak asasi kemanusiaan dan sentiasa terdedah kepada pencabulan hak asasi manusia secara konsisten oleh pihak tentera Myanmar.

Antara kekejaman yang dilakukan ke atas mereka:

  1. Tidak mengiktiraf kerakyatan mereka, dinafikan sijil kelahiran mahupun sijil perkahwinan mereka.
  2. Perampasan tanah-tanah milik mereka bagi meneruskan projek pembinaan saluran paip gas dan minyak yang merentasi wilayan Arakan
  3. Menjadi mangsa perhambaan moden sebagai buruh paksa seperti bekerja tanpa gaji di tapak pembinaan jalan raya, kereta api dan bangunan berek tentera.
  4. Sekatan makanan sehingga mereka hidup dalam keadaan kebuluran.
  5. Sekatan ekonomi, kemudahan kesihatan dan kemudahan asas pendidikan.
  6. Wanita-wanita dan remaja perempuan mereka dirogol secara beramai-ramai oleh tentera Myanmar.
  7. Penyembelihan secara beramai-ramai seumpama tragedi 1942 apabila lebih 100,000 orang dalam kalangan mereka yang telah dibunuh.
  8. Pada tahun 1978, seramai 300,000 umat Islam Rohngya telah dihalau keluar ke Bangladesh. Kerajaan Bangladesh enggan untuk menyediakan bekalan makanan dan keperluan lain sehingga ramai daripada mereka mati akibat kebuluran dan penyakit.

Pada tahun 1991, tentera Burma sekali lagi telah melakukan operasi pembersihan apabila 268,000 ribu orang terpaksa melarikan diri kerana Myanmar ternyata tidak lagi selamat untuk mereka.

Selepas bertahun-tahun melalui siri penderitaan yang panjang dan besar, mereka mula berlayar menggunakan bot-bot kecil ke laut terbuka dengan harapan untuk mendarat di suatu tempat sebagai pelarian politik, ekonomi dan agama.

Ada antara mereka yang mendarat di Thailand, Malaysia, Indonesia dan sebahagiannya di Australia. Namun kebanyakan mereka telah dihalang memasuki semua negara ini.

Bahkan ramai daripada kalangan ‘orang bot’ yang mendarat di Thailand telah dihalau semula ke laut dalam bersama sampan mereka yang telah dicabut enjinnya agar mereka terus hanyut terkapai-kapai tanpa hala tuju.

Sebahagian daripada mereka terdampar di Malaysia, Indonesia dan Australia tetapi ada ribuan lagi yang telah mati lemas atau kebuluran di tengah laut.

Tiada siapa yang mahukan mereka! Bahkan negara-negara yang mendakwa mewakili umat Islam juga tidak mahu mereka, sekali gus membuktikan bahawa seolah-olah umat ini ‘tidak ada harga’ kepada mereka.

Umat Islam Rohingya ini telah memohon diberikan status ‘Pelarian Sementara  Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sehingga negara-negara lain bersetuju untuk mengambil mereka buat sementara.

Indonesia pula dikatakan akan mempertimbangkan permohonan mereka untuk tinggal di Acheh buat sementara.

Kenapakah mereka dilupakan

Isu Rohingya adalah isu umat Islam sejagat. Mereka telah ditindas buat sekian lamanya dan kini sebahagian daripada mereka telah pun mendarat di Malaysia bagi mendapatkan perlindungan dan bantuan kemanusiaan daripada saudara seakidah mereka.

Ingatlah, bahawa mengambil tahu dan mempunyai kepedulian terhadap orang lain terutamanya saudara seakidah adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh agama Islam yang luhur ini sebagaimana sabda Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud,

“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya.”

Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya mengambil peluang menunjukkan keperihatinan terhadap isu kemanusiaan yang kronik ini dengan membantu meringankan bebanan kehidupan demi masa depan mereka.

Selain itu, kita juga boleh membantu dengan mendoakan keselamatan dan masa depan mereka serta mengambil tahu perkembangan semasa terhadap keperitan umat yang berpanjangan ini.

Dari Nu’man bin Basyir Radiallahuanhu, katanya, Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam bersabda (maksudnya):

“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, saling mengasihi dan saling menyayangi bagaikan sebuah tubuh. Apabila salah satu anggota tubuh berasa sakit, maka seluruh tubuh berasa sakit, tidak dapat tidur dan terasa demam.”

(Riwayat Muslim)

Sejauh manakah kita prihatin terhadap mereka sepertimana kita prihatin terhadap sauadara-saudara kita di Palestin?

Bersamalah kita muhasabahkan.

Jumpa kami di Facebook