Anda di sini: Editorial > Editorial > Ini Kalilah dan “Baldatun Toyibatun Warobun Ghofur”

Ini Kalilah dan “Baldatun Toyibatun Warobun Ghofur”

Share

Tiga hari sahaja lagi, negara kita akan melangsungkan Pilihan Raya Umum yang ke-13 (PRU-13). Realitinya, pelbagai persiapan dibuat oleh setiap parti yang bertanding. Bendera-bendera parti berkibaran di sini sana. Tidak ketinggalan papan tanda besar juga ada untuk ditontoni rakyat jelata serta anak-anak kecil mereka.

Sempat menjelajah beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, yang banyak kelihatan daripada pihak Barisan Nasional (BN) adalah gambar pengerusinya, bukan calon yang bertanding di kawasan tersebut. Khabarnya di negeri-negeri lain juga berlaku demikian. Apakah petanda awal hal sebegini?

BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 telah dinafikan majoriti dua pertiga dan hanya boleh membentuk kerajaan pusat dengan majoriti asas (lebih daripada separuh tetapi kurang daripada dua pertiga jumlah kerusi).

Bagi Dewan Undangan Negeri pula, Barisan Nasional gagal mempertahankan kerajaannya di negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor serta gagal mencapai hasratnya untuk membentuk kerajaan di negeri Kelantan.

Tentunya atas usaha gigih Pakatan Rakyat (PR) mendekati rakyat, bersama rakyat, apalagi menyatakan kebenaran tentang kerajaan yang ada, peluang untuk menawan Putrajaya, seterusnya mentadbir negara pada PRU kali ini tampak lebih cerah. Dan sudah barang tentu, kebergantungan yang penuh hanyalah pada Allah Subhanahu Wa Taala.

Lima tahun yang lalu, BN hanya berjaya meraih kemenangan besar di Sabah, Sarawak dan Johor atas sebab logiknya, rakyat di negeri terbabit masih percaya kepada BN dan cerita-cerita yang digembar-gemburkannya. Menyoroti kisah perjalanan PRU, didapati rekod kekalahan Barisan Nasional pada PRU-12 (2008) adalah yang paling buruk diikuti Pilihan Raya 1969 dan 1999.

Realitinya rakyat mengharapkan sekali lagi peristiwa PR-12 berulang. Ubah! Ini Kalilah! Kebangikatan rakyat dapat ditelusuri dengan adanya pelbagai himpunan rakyat besar-besaran (Demonstrasi) sepanjang lima tahun pemerintahan Dato' Sri Mohammad Najib Abdul Razak.

Pelbagai tindakan yang tidak selayaknya dilakukan warga Malaysia dapat kita lihat sekarang. Tindakan menyebarkan bahan-bahan lucah untuk tatapan umum satu persatu dilakukan BN dan sekutunya terhadap PR. Pelbagai NGO, ahli akademik mahupun orang persendirian terang-terangan menolak politik kotor sedemikian. Namun segala yang diungkap rakyat itu, tidak dijawab oleh pihak terbabit yang sememangnya ingin melihat PR jatuh atau berpecah.

Masihkah ada sisa kepercayaan rakyat kepada Dato’ Sri Najib yang juga Pengerusi BN yang sering melontarkan Slogan 1Malaysia, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” dalam PRU-13 ini? Dan kalaupun ada, berapa besar pula kepercayaan itu?

Bak kata penyokong PR, "Ini kalilah!" Ya, pada kali ini, seramai 13,291,385 pengundi berdaftar akan menyuarakan rencaman rasa mereka dalam peti undi, pada tarikh 5 Mei 2013 yang bakal tiba beberapa hari sahaja.

Esok adalah Jumaat yang terakhir sebelum berlangsungnya “Hari Raya” yang hadirnya lima tahun sekali. Pertingkatkan usaha dan banyakkan doa ke arah merealisasikan negara Malaysia yang “Baldatun Toyibatun Warobun Ghofur” sebagaimana yang termaktub dalam ayat-ayat Allah dalam Surah Saba’ ayat ke-15.


Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!

Apapun, rakyat adalah penentu (yang mempunyai hak memilih), hakim kepada segala itu.

Jumpa kami di Facebook