Sabtu, 23 Ogos 2014

Kemaskini Terakhir02:31:59 AM EST

Anda di sini: Kolumnis > Prof Dr Nazari Ismail > Subsidi: Adakah patut diteruskan atau dihentikan? - Bahagian I

Subsidi: Adakah patut diteruskan atau dihentikan? - Bahagian I

Share

Pada bulan Mei 2010, rakyat Malaysia telah dikejutkan oleh Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, apabila beliau mengatakan bahawa Malaysia akan mengalami nasib seperti Greece, yakni mungkin menjadi muflis, jika subsidi kerajaan tidak dipotong dengan segera. Tambah beliau, hutang kerajaan juga akan meningkat menjadi 100% berbanding KDNK negara. Oleh sebab itu, beliau mengatakan rakyat terpaksa menerima hakikat bahawa kos elektrik, tol, perkhidmatan kesihatan kerajaan, pelajaran, minyak petrol, dan makanan perlu dinaikkan demi menjamin kestabilan persekitaran sosial dan politik negara pada masa hadapan.

Untuk mengukuhkan hujah beliau, Idris Jala memberikan beberapa fakta. Antara lain, jumlah subsidi kerajaan pada tahun 2009 ialah RM74 bilion atau RM12,900 setiap isi rumah yang dipecahkan seperti berikut - sosial (RM42.8 bil), petrol (RM23.5 bil), infrastruktur (RM4.6 bil) dan makanan (RM3.1 bil). Akhir sekali beliau memberi amaran tentang defisit belanjawan kita yang tersangat tinggi iaitu RM47 bilion. Oleh itu beliau meramalkan bahawa jumlah hutang negara akan meningkat menjadi RM1,158 bilion pada tahun 2019 jika kadar defisit itu dikekalkan.

Gambaran yang diberikan oleh Idris Jala meresahkan ramai pihak termasuk dalam kalangan penyokong kerajaan sendiri. Ada yang terpinga-pinga dan tertanya-tanya. Adakah keadan begitu teruk sehinggakan tidak ada alternatif lain? Adakah betul punca kepada masaalah kita ialah fenomena ketagihan subsidi dalam kalangan rakyat atau adakah ia kerana kerajaan gagal mengurus kewangan kita dengan baik?

Respons daripada parti pembangkang dalam hal ini sangat mudah. Mereka mengatakan bahawa punca utama masalah ialah kegagalan kerajaan mengurusan kewangan negara. Oleh itu penarikan subsidi tidak boleh dibenarkan kerana akan membebankan rakyat. Mereka juga mengatakan bahawa jika pemerintahan negara di tangan mereka, subsidi tidak akan ditarik balik kerana mereka mampu menguruskan kewangan negara dengan lebih cekap dan efisyen.

Siapakah yang lebih betul dalam hal ini? Adakah perlu bagi rakyat untuk menggantikan kerajaan BN dengan kerajaan PR supaya subsidi akan terus dikekalkan untuk rakyat?

Untuk memahami isu-isu ini dengan lebih mendalam, ada baiknya kita memahami konsep subsidi dahulu dengan jelas. Subsidi adalah satu bentuk bantuan kewangan yang diberikan kepada sesebuah sektor perniagaan. Banyak kes subsidi melibatkan bantuan kerajaan kepada pengeluar dalam sesebuah industri untuk membantu memajukan industri tersebut. Contoh terbaik ialah bantuan kerajaan kepada Proton dalam industri kereta. Ada juga bentuk subsidi yang diberikan kepada sesebuah industri untuk menghalang harga daripada naik. Contoh terbaik ialah subsidi minyak petrol dan subsidi makanan. Terdapat juga bentuk subsidi untuk memastikan perkembangan sektor tertentu seperti subsidi baja dalam sektor pertanian.

Isu subsidi juga adalah isu yang hangat dibincangkan dalam bidang perniagaan antarabangsa. Ia dilihat sebagai tindakan protectionist atau perlindungan dan oleh itu merupakan satu bentuk sekatan kepada perdagangan antarabangsa. Ia demikian kerana subsidi menjadikan harga keluaran tertentu dalam negara menjadi murah berbanding harga keluaran yang diimport dan seterusnya akan mengurangkan daya saing barangan yang diimport. Bayangkan jika ahli perniagaan Malaysia ingin mengeksport batik kita ke negara Indonesia tetapi berhadapan dengan batik yang lebih murah di sana hanya semata-mata kerana pengusaha batik Indonesia mendapat bantuan kerajaan dan bukan kerana mereka adalah lebih cekap atau lebih efisyen. Sudah tentu pengeluar batik Malaysia akan berasa tidak berpuas hati.

Maka itulah juga perasaan pengeskport kereta dari negara lain terhadap Proton. Sebagai contoh, syarikat kereta dari Korea atau China adalah lebih efisyen berbanding Proton. Namun mereka sukar mengalahkan Proton dalam pasaran Malaysia kerana harga kereta Proton adalah lebih murah disebabkan subsidi yang diberikan oleh kerajaan Malaysia. Dalam hal ini, subsidi telah menyumbang kepada distortions (pembelokan) dalam pasaran yang mana pengeluar yang lebih efisyen tidak dapat mengalahkan pengeluar yang tidak efisyen kerana campur tangan pihak kerajaan. Di samping itu, subsidi seperti ini juga melibatkan kos yang sangat tinggi kepada kerajaan dan rakyat.

Sebenarnya baik buruk subsidi yang diberikan oleh kerajaan bergantung kepada perspektif golongan mana yang terlibat. Sebagai contoh, dalam kes subsidi yang diberikan kepada Proton, ia sudah tentu baik bagi pemilik syarikat Proton, pekerja Proton dan juga syarikat yang menjadi pembekal kepada Proton (Proton vendors) serta pekerja mereka. Tetapi dari perspektif rakyat Malaysia secara umum, bukan semua akan menikmati kebaikan ini. Bagi golongan rakyat Malaysia yang tidak ada kaitan dengan Proton dan tidak berminat untuk membeli kereta Proton, tidak banyak kebaikan yang mereka peroleh walaupun mereka juga menanggung kos bantuan yang diberikan kepada Proton. Jika subsidi kepada Proton ini adalah untuk membantu menjual kereta Proton dengan harga yang rendah di pasaran luar negara, ini bermakna golongan yang beruntung adalah pengguna luar negara tersebut yang telah mendapat bantuan kewangan daripada rakyat Malaysia.

Bagaimana pula dengan subsidi yang lain seperti subsidi tol? Sekali lagi golongan yang paling beruntung ialah golongan yang menggunakan jalan bertol setiap hari serta pengguna dari Singapura dan Thailand yang langsung tidak membayar cukai pendapatan kepada kerajaan. Golongan yang paling tidak mendapat keuntungan dari subsidi tol adalah golongan yang langsung tidak menggunakan jalan bertol kerana mereka masih terpaksa menyumbang secara tidak langsung kepada kos pembinaan dan penyeliaan jalan bertol tersebut.

Keadaan ketidakadilan ini juga jelas berlaku dalam kes subsidi minyak petrol (yang berjumlah RM23.5 bilion pada tahun 2009) kerana wujudnya ketidakseimbangan pengagihan kosnya kepada semua rakyat. Sebenarnya golongan yang paling beruntung dalam kes ini ialah orang asing yang menggunakan kenderaan di Malaysia kerana mereka tidak membayar apa-apa cukai pendapatan kepada kerajaan. Golongan kaya juga beruntung kerana kenderaan yang mereka gunakan adalah besar dan menggunakan banyak petrol. Walaupun perbelanjaan kos petrol bulanan mereka mungkin tinggi, namun jumlah subsidi yang diterima oleh mereka juga adalah tinggi. Sebaliknya golongan miskin secara relatif mendapat manfaat yang sedikit sahaja daripada subsidi ini, terutama sekali bagi kalangan yang memakai motosikal kapcai sedangkan mereka juga menanggung kos subsidi yang besar ini dalam bentuk cukai pendapatan yang dibayar kepada kerajaan.

Satu cara mengatasi kesan ketidakadilan di atas adalah dengan kerajaan mengambil langkah diskriminasi dalam pengagihan subsidi iaitu dengan memberikannya kepada golongan yang paling memerlukan bantuan. Kaedah `targeted subsidies’ ini sudah lama diamalkan di beberapa negara termasuk negara kita sendiri yang mana bantuan kerajaan ditujukan khas kepada golongan miskin. Contoh-contoh bentuk bantuan kepada golongan ini ialah pengecualian pembayaran bil air jika penggunaanya sedikit, baucar atau setem makanan (food stamps), biasiswa, bantuan buku teks, bantuan kos perumahan, perkhidmatan kesihatan dan lain-lain. Namun kos pentadbiran skim bantuan yang berbentuk diskriminasi ini adalah sangat tinggi dan kadangkala tidak praktikal untuk digunakan dalam kes tertentu seperti subsidi minyak petrol.

Dari manakah kerajaan memperoleh sumber kewangan untuk membayar kos subsidi? Jawapannya adalah dari segala pendapatan kerajaan sama ada daripada cukai atau dari sumber lain seperti pendapatan daripada Petronas dan keuntungan syarikat-syarikat milik kerajaan yang lain. Jika pendapatan sesebuah kerajaan adalah tinggi maka kita akan mendapati bahawa kemungkinan subsidi yang diberikan kepada rakyatnya juga adalah tinggi. Sebagai contoh, di Saudi Arabia, subsidi diberikan kepada rakyat dalam berbagai-bagai sektor termasuk petrol, perkhidmatan kesihatan dan pelajaran. Tambahan pula rakyatnya langsung tidak membayar apa-apa bentuk cukai pendapatan. Hal ini adalah kerana kerajaan Arab Saudi memperoleh pendapatan yang tinggi dari sumber minyaknya. Pada tahun 2010, pendapatan kerajaan Arab Saudi adalah USD185.1 bilion sementara perbelanjaannya hanyalah USD173.1 bilion. Oleh kerana itulah kerajaan Arab Saudi tidak berasa tertekan dengan perbelanjaan subsidi kepada rakyat walaupun rakyat tidak menyumbang kepada pendapatan negara melalui cukai pendapatan.

Di Malaysia, perbelanjaan kerajaan pada tahun 2010 ialah RM205,468 bilion sementara pendapatan hanya RM162,131 bilion. Inilah yang menghasilkan keadaan defisit belanjawan kita RM43,337 bilion dan akan ditambahkan lagi kepada hutang yang terkumpul dari tahun-tahun yang lepas.

Bagaimanakah kerajaan boleh mengurangkan defisit tersebut di atas? Satu cara ialah dengan menambahkan pendapatan melalui penambahan cukai pendapatan atau cukai-cukai lain. Tetapi ini adalah satu kaedah yang tidak popular dan akan menyebabkan sokongan kepada kerajaan merosot.

Satu lagi cara ialah dengan mengurangkan perbelanjaan kerajaan, baik dalam aspek operasi dan juga aspek pembangunan. Dalam aspek operasi, salah satu elemen kos utama ialah penggajian. Adalah amat sukar untuk mengurangkan kos penggajian kerana sebarang usaha untuk memotong gaji akan membuat kerajaan langsung tidak popular.

Satu lagi cara ialah dengan mengurangkan perbelanjaan pembangunan. Ia bermakna projek-perojek pembangunan seperti jalan raya, kampus universiti dan bangunan sekolah baru diberhentikan atau dipotong. Keadaan ini juga akan membuat ramai golongan tidak berpuas hati kerana ramai yang mendapat pendapatan melalui projek seperti ini, terutama sekali kalangan kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan serta juga subkontraktor mereka daripada kalangan bumiputera dan juga bukan bumiputera.

(Bersambung)

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook