Anda di sini: Kolumnis > Prof Dr Nazari Ismail > Aspek tarbiah dalam pelaksanaan sistem kewangan Islam – Bahagian II

Aspek tarbiah dalam pelaksanaan sistem kewangan Islam – Bahagian II

Share

Sikap dan nilai materialistik

Di samping mewujudkan satu sistem kewangan dan perbankan yang bertentangan secara langsung dengan ajaran Islam, penjajah British juga telah berjaya menjauhkan sebahagian besar masyarakat Melayu daripada nilai-nilai murni Islam. Hal ini disebabkan mereka diajar bahawa hal ehwal agama hanya melibatkan aspek peribadi individu sahaja dan tidak ada kaitan dengan bidang ekonomi, politik dan muamalat.

Di samping itu pemimpin masyarakat Melayu juga dididik dengan secara yang langsung tidak menekankan kepentingan mencari kejayaan akhirat dalam wawasan kehidupan seseorang individu Muslim. Apa yang ditekankan hanyalah kepentingan mendapat habuan kebendaan dan duniawi sahaja. Sekarang ini nilai-nilai yang menekankan kepentingan aspek materialistik dan kebendaan tersebut sudah meresap masuk ke dalam masyarakat Islam di negara kita. Akibatnya ramai pemimpin Melayu memiliki nilai-nilai barat yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam sebenar. Mereka menekankan bahawa kejayaan sesuatu bangsa atau negara bergantung semata-mata kepada kejayaan ekonomi atau kekayaan material yang dimiliki oleh bangsa atau negara tersebut.

Oleh sebab itulah sehingga sekarang, bukan menjadi cita-cita pemimpin negara kita untuk melaksanakan ajaran Islam sepenuhnya dalam masyarakat. Sebaliknya apa yang menjadi fokus utama adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara `maju’ atau negara `kaya’ yang mana ukuran kemajuan tersebut adalah semuanya berdasarkan ukuran kekayaan ekonomi seperti jumlah KNK per kapita serta sumbangan sektor perindustrian kepada KNK negara.

Di peringkat individu, nilai mementingkan aspek kebendaan ini dapat dilihat daripada penekanan dalam kalangan ramai ahli masyarakat Islam kepada aspek kekayaan material peribadi bagi diri mereka dan keluarga mereka. Sebagai contoh, hanya sebahagian kecil sahaja ahli masyarakat kita bercita-cita agar anak mereka akan menjadi seorang ilmuan dalam bidang Islam serta bertakwa. Sebaliknya lebih ramai ahli masyarakat kita bercita-cita agar anak-anak mereka satu hari akan mejadi usahawan kaya atau mempunyai kerjaya yang menghasilkan pendapatan yang tinggi.

Tetapi alhamdulillah, bukan semua daripada orang Melayu telah berjaya dipengaruhi oleh nilai-nilai barat. Ramai juga yang masih terselamat. Kebanyakan daripada mereka adalah daripada kalangan yang mendapat asas pendidikan atau tarbiah Islam yang murni. Sumber tarbiah ini berbagai-bagai termasuk daripada ibu bapa yang berilmu dan prihatin tentang ajaran Islam. Ada juga yang telah dihantar ke pusat-pusat pendidikan Islam seperti sekolah pondok atau institut pendidikan yang berteraskan ajaran Islam seperti Kolej Islam Kelang. Walaupun di sekeliling mereka ramai ahli masyarakat Islam yang dipengaruhi oleh tarikan kebendaan dan ada yang sanggup melanggar batasan syariah dalam mencari habuan dunia, namun mereka masih tetap bertahan dengan nilai dan prinsip lslam. Mereka juga terselamat daripada termasuk satu perangkap yang licik yang diletakkan oleh musuh Islam terhadap umat Islam iaitu perangkap hutang.

Sistem kewangan dan perbankan Islam

Pada tahun 1970-an, penghayatan umat Islam kepada agama mereka di seluruh dunia telah mendapat nafas baru. Punca utamanya adalah komitmen dan penghayatan Islam yang semakin meluas di Timur Tengah hasil daripada usaha mujaddid-mujaddid Islam beberapa abad sebelum itu termasuk Hasan Al Banna, Syed Qutub dan beberapa pemimpin gerakan Ikhwanul Muslimin. Mereka juga telah mentarbiah pelajar-pelajar Malaysia di Timur Tengah dan dibeberapa tempat lain dengan kefahaman dan penghayatan Islam yang syumul.

Pelajar-pelajar ini kemudian pulang ke Malaysia untuk meneruskan proses pentarbiahan ini kepada masyarakat Islam di sini dalam beberapa organisasi termasuk Hisbul Muslimin, Parti Islam Se-Malaysia (PAS), ABIM dan juga JIM. Hasil daripada usaha-usaha mereka yang gigih, terdapat segolongan besar umat Islam, terutama sekali dalam kalangan pemuda telah aktif berdakwah kepada masyarakat. Gerakan dakwah mereka menarik minat dan sokongan ramai ahli masyarakat Islam dan ia telah memberi tekanan kepada kerajaan Malaysia pada masa itu untuk melaksanakan ajaran Islam secara lebih meluas dan mendalam lagi dalam semua bidang kehidupan masyarakat termasuk ekonomi, pendidikan, politik dan lain-lain.

Hasilnya, pada tahun 1985 kerajaan Malaysia telah melaksanakan dasar ‘Penerapan Nilai-nilai Islam’ . Pada masa yang sama kerajaan juga telah menubuhkan beberapa institusi penting termasuk sebuah bank Islam iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB). Bank yang beroperasi dengan urus niaga yang `halal’ ini ditubuhkan pada 1 Julai 1983 sebagai alternatif kepada rakyat Muslim di Malaysia yang inginkan perkhidmatan kewangan berlandaskan syariah. BIMB mula beroperasi dengan modal disahkan sebanyak RM500 juta dan modal berbayar berjumlah RM80 juta.[6]

Semenjak BIMB ditubuhkan, beberapa institusi perbankan dan kewangan Islam yang lain juga telah ditubuhkan. Di samping itu, bank konvensional juga dibenarkan membuka ‘tingkap’ atau `Islamic banking windows’ sebagai perkhidmatan tambahan kepada pelanggan-pelanggan yang ingin berurus niaga secara Islam.

Terdapat berbagai-bagai produk yang ditawarkan. Walaupun urus niaga berbentuk musyarakah dan mudarabah tidak begitu popular dalam kalangan perbankan Islam, namun terdapat berbagai-bagai bentuk lagi kaedah pembiayaan yang ditawarkan termasuk pembiayaan peribadi menggunakan kaedah bai’ul’innah dan juga pembiayaan dengan menggunakan kad kredit secara halal.

Kesan perbankan Islam dan kepada amalan berhutang

Satu persoalan yang sering ditimbulkan ialah adakah perbankan Islam merupakan satu penyelesaian kepada masaalah ekonomi umat Islam? Sudah tentu ia adalah satu isu yang kompleks untuk dijawab. Namun apa yang jelas ialah perbankan Islam telah menyenangkan orang Islam untuk berhutang. Tambahan pula, oleh kerana perbankan Islam ingin menjadi lebih besar dan ingin menambahkan keuntungannya, maka perbankan Islam telah berusaha untuk meningkatkan jumlah peminjam yang meminjam atau berhutang dengannya. Dalam erti kata yang lain, menjadi strategi utama perbankan Islam untuk menggalakkan ahli masyarakat berhutang dengannya. Hal ini sebenarnya adalah satu sikap yang lain daripada apa yang diajarkan oleh Islam kerana dalam Islam hutang adalah satu perkara yang tidak digalakkan.

Sekarang ini ramai dalam kalangan orang Islam telah terjebak dengan amalan berhutang. Sebahagian daripada mereka berhutang semata-mata kerana terpengaruh dengan galakan berhutang oleh perbankan Islam yang berlumba-lumba mencari pelanggan. Kalau dahulu ramai masyarakat Islam Malaysia berpuas hati dengan membeli rumah atau kereta yang murah atau terpakai kerana tidak mempunyai wang secukupnya untuk membeli yang lebih mahal secara tunai, namun sekarang ini mereka tidak lagi perlu menunggu duit simpanan mereka cukup. Apa yang berlaku ialah mereka sekarang digalakkan berhutang untuk membeli rumah atau kereta tersebut. Di samping itu juga mereka sekarang boleh melakukan beberapa aktiviti lain seperti merenovasi rumah, mengadakan majlis perkahwinan yang mewah dan sebagainya tanpa perlu menunggu duit simpanan mencukupi. Semuanya boleh dilakukan dengan cara berhutang. Akibatnya ramai keluarga Islam yang ‘patuh syariah’ juga telah terlibat dengan beban hutang yang tinggi. Sekarang ini kadar hutang isi rumah di Malaysia telah melonjak naik dengan mendadak. Sebagai contoh, hutang isu rumah di Malaysia telah meningkat dari RM210 billion pada tahun 2001 kepada RM581 billion pada tahun 2010.[7] 74% dari jumlah hutang isi rumah itu adalah untuk pembelian rumah dan kereta. Apa yang lebih membimbangkan ialah bahawa jumlah hutang isi rumah di Malaysia berbanding pendapatan boleh guna (disposable income) adalah paling tinggi di dunia iaitu 140%. (Sila lihat rajah di bawah)

Sumber: http://consumer.org.my/index.php/personal-finance/debt/465-household-debt-in-malaysia-is-it-sustainable

Sistem Perbankan Selari (Parallel Banking)

Umum mengetahui bahawa dari perspektif Islam, apa yang jelas sebagai dosa besar tidak seharusnya dibenarkan terus wujud dan beroperasi. Sebagai contoh, dalam masyarakat Islam, adalah salah jika amalan zina dibenarkan berleluasa secara selari dengan amalan bernikah. Begitu juga amalan minum arak tidak akan dibenarkan dalam kalangan orang Islam secara selari dengan minuman halal. Dalam erti kata lain, situasi yang mana perkara yang jelas haram dibenarkan berlaku selari dengan yang halal adalah tidak bertepatan dengan ajaran Islam.

Tetapi apa yang telah berlaku di Malaysia adalah sistem riba dibenarkan terus berleluasa secara selari dengan perbankan Islam. Bahkan sistem riba berkembang dengan lebih cepat berbanding dengan sistem perbankan Islam. Sementara itu, perbankan Islam diminta oleh pelabur mereka supaya dapat menjana keuntungan hasil daripada operasi mereka yang dapat menyaingi keuntungan yang diraih oleh bank konvensional. Akibatnya, perbankan bank Islam terpaksa beroperasi dengan cara yang hampir sama dengan bank riba dan sebab itulah mereka juga berlumba-lumba mencari pelanggan untuk memaksimumkan keuntungan mereka. Oleh kerana pelanggan bank Islam adalah penghutang kepada perbankan Islam, maka apabila perbankan Islam berkembang dengan berganda, maka jumlah penghutang dan juga jumlah hutang dalam masyarakat juga bertambah dan berganda, dan ramai daripada mereka adalah daripada kalangan masyarakat Islam. Keadaan ini adalah satu perkara yang tidak bertepatan dengan kehendak Islam.

--------------------------

[6] http://ms.wikipedia.org/wiki/Bank_Islam_Malaysia
[7] http://consumer.org.my/index.php/personal-finance/debt/465-household-debt-in-malaysia-is-it-sustainable

(Bersambung)

Prof Dr Nazari Ismail adalah kakitangan akademik di Jabatan Dasar dan Strategi Perniagaan, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya. Beliau pernah memegang jawatan Ketua Unit Perancangan dan Pembangunan Strategi Universiti Malaya dari tahun 1996 sehingga 2000 dan dari 2006 hingga 2010.

Comments  

 
0 #1 maisurah 2012-01-27 19:44
[censored]alamu alaikum wbt prof.
Terima kasih.Sangat memberi kesedaran. Berharap prof tetap meneruskan penulisan sehingga menyatakan apakah sistem baru yang terbaik yang perlu dilakasankan dalam menyelesaikan isu kewangan ini mengikut syariat islam. Sistem yang benar-benar telus mengikut apa yang digariskan dalam islam bukan sistem yang berselindung di sebalik nama islam dan hanya menyebabkan penambah masalah bukan untuk menyelesaikan masalah yang timbul.
sekian.
Quote
 

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook