Rabu, 22 Mei 2013

Kemaskini Terakhir10:46:13 AM EST

Anda di sini: Kolumnis > Prof Dr Nazari Ismail > Aspek tarbiah dalam pelaksanaan sistem kewangan Islam – Bahagian III (Akhir)

Aspek tarbiah dalam pelaksanaan sistem kewangan Islam – Bahagian III (Akhir)

Share

Nilai materialisme dan kenaikan kadar hutang

Satu lagi hakikat yang perlu disedari ialah walaupun penjajah sudah lama meninggalkan negara kita, namun salah satu kesan peninggalan mereka dalam bentuk nilai materialisme dan kebendaan adalah sebenarnya masih kuat dalam masyarakat. Masyarakat masih lagi diajar oleh pelbagai pihak termasuk pemimpin masyarakat bahawa ukuran kejayaan bagi sesebuah negara dan ahlinya adalah kejayaan material dan individu. Ramai ahli masyarakat terlupa bahawa Islam sebenarnya sentiasa menekankan bahawa kesenangan dunia adalah kesenangan sementara sahaja. Hakikatnya ialah ajaran Islam sebenarnya menekankan kepentingan mencapai kesenangan akhirat sebagai objektif utama hidup sesorang individu. Dunia hanyalah jambatan kepada akhirat dan oleh itu menjadi kaya dari segi material tidak boleh dijadikan matlamat hidup utama sesorang Muslim.


Malangnya kefahaman Islam yang murni tentang perbezaan kejayaan dunia dan akhirat sudah tidak lagi dihayati oleh ramai ahli masyarakat Islam. Akhirnya tarikan keduniaan telah dapat mempengaruhi sebahagian besar ahli masyarakat. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, ia mengakibatkan ramai daripada kalangan orang Islam sekarang beramal dengan riba, baik sebagai pemakan riba mahupun sebagai pemberi riba. Seperti yang dinyatakan di atas, bagi kalangan yang takut untuk beramal dengan riba, sesetengah bank membuka ruang untuk mereka berhutang dengan halal. Hal ini dilakukan dengan membuka satu `tingkap Islam’ untuk memberikan mereka kemudahan berhutang dengan sistem perbankan.

Pada masa yang sama, perkembangan dalam produk kewangan Islam yang ditawarkan menyebabkan orang-orang Islam sekarang ini sudah mampu memperoleh modal untuk menceburi bidang perniagaan yang dahulunya hanya diterokai oleh orang bukan Islam yang berani meminjam dari sistem perbankan konvensional.

Apa yang ingin dinyatakan disini ialah apabila peluang berhutang diberikan kepada masyarakat yang lupa bahawa kenikmanatan dunia adalah sementara sahaja dan akhirat adalah tempat kekal abadi yang patut menjadi tumpuan kehidupan kita, maka lambat laun ramai daripada kalangan orang Islam akan gagal mengawal nafsu yang tertarik dengan godaan dunia tidak dapat menolak tarikan perkhidmatan hutang yang ditawarkan oleh sistem perbankan termasuk sistem perbankan Islam. Maka tidak hairanlah kenapa ramai orang Islam sekarang sudah tidak keberatan untuk berhutang demi untuk memenuhi cita-cita memiliki rumah-rumah mewah serta kereta-kereta mewah walaupun sebenarnya pendapatan mereka adalah rendah dan mereka sebenarnya tidak mampu membayar secara tunai.

Masyarakat Islam dalam keadaan terancam

Sekarang ini setiap hari kita dihidangkan dengan berita berkenaan krisis hutang yang sedang menghancurkan ekonomi Amerika dan negara-negara di Eropah. Kadar hutang yang tinggi di sana akibat sektor kewangan dan perbankan (yang boleh juga dipanggil industri hutang) yang berkembang maju pada masa lepas sedang menghasilkan masalah yang tidak dapat diselesaikan walaupun mereka mempunyai pakar ekonomi terkemuka di dunia.

Namun ramai yang tidak sedar bahawa dalam masyarakat kita juga terdapat industri hutang yang aktif dan sedang berkembang maju. Salah satu tanda perkembangan industri hutang ialah peningkatan kadar hutang di sektor awam dan juga swasta. Bukan sahaja kerajaan kita yang mempunyai jumlah hutang yang tinggi iaitu RM450 bilion, tetapi juga syarikat dan orang perseorangan.

Menurut satu laporan, seramai 41 belia Malaysia berumur dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun dianggarkan menjadi muflis setiap hari.[8] Hal ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat kita sudah mula terjebak dalam kemelut hutang.

Sudah tentu implikasi sosial akibat kemelut hutang ini amat membimbangkan. Seperti yang telah dipesan oleh ar-Rasul sallallahu alaihi wasallam bahawa apabila seseorang dalam keadaan berhutang, maka mereka akan senang menipu dan memungkiri janji. Di samping itu, orang Islam yang dibebani hutang mungkin akan tidak mempunyai masa untuk beramal ibadat dan menghadiri kelas-kelas agama di masjid dan surau kerana sibuk mencari sumber pendapatan untuk melangsaikan hutang mereka. Masalah keluarga seperti perceraian juga sering dikaitkan dengan hutang. Dalam erti kata yang lain, jika kita tidak menyelesaikan masalah beban hutang yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat Islam, maka lama-kelamaan masyarakat Islam akan menjadi lemah di negara kita sendiri. Sedikit demi sedikit kekuasaan Islam akan terhakis. Inilah yang telah berlaku kepada khilafah Uthmaniah pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20.

Penyelesaian

Masyarakat Islam mesti disedarkan tentang ancaman hutang yang sedang dihadapi. Mereka juga mesti dimaklumkan bahawa operasi sistem perbankan dan kewangan di Malaysia yang berasaskan kepada riba perlu dihapuskan dengan segera kerana sistem ini akan sentiasa menambahkan kadar hutang dalam masyarakat. Mereka juga mesti dimaklumkan bahawa perbankan Islam, walaupun halal dari aspek urusniaga, sebenarnya adalah sebahagian daripada industri hutang dan oleh yang demikian bukan jalan penyelesaian kepada masalah yang sedang dihadapi.

Proses pendidikan atau tarbiah yang mantap sangat diperlukan untuk mengatasi ancaman yang sedang dihadapi. Pengukuhan akidah dalam sanubari orang Islam mesti menjadi asas kepada sistem pendidikan muda-mudi sejak dari bangku sekolah lagi.

Perspektif Islam tentang kehidupan, yang menekankan keperluan umat Islam menjadikan kejayaan akhirat sebagai fokus kehidupan di dunia hendaklah ditanam dalam sanubari masyarakat Islam Islam sejak dari bangku sekolah juga. Perspektif ini hendaklah juga menjadi unsur utama dalam proses pentarbiahan pelajar Islam apabila mereka masuk ke alam remaja dan seterusnya ke alam dewasa.

Di samping itu, proses pentarbiahan ini juga mesti mampu memaklumkan kepada mereka tentang industri riba. Ini termasuk maklumat tentang sejarah penubuhan dan perkembangan industri hutang di Eropah selepas zaman Renaissance. Muda-mudi Islam juga mesti dimaklumkan bagaimana sistem riba telah dibawa masuk ke dalam negara kita oleh penjajah dan bagaimana sistem pendidikan di sekolah dan universiti yang berasaskan fahaman liberal sekular telah membuat ramai orang Islam, terutama sekali kalangan pemimpin masyarakat yang dididik dalam sistem yang dibangunkan oleh penjajah tidak lagi peka tentang betapa kejinya amalan riba.

Masyarakat Islam juga hendaklah dimaklumkan bahawa perbankan Islam bukannya mencerminkan pendekatan Islam yang sebenar dalam menangani masalah riba. Bahkan perbankan Islam mungkin akan menambahkan ancaman kepada masyarakat Islam kerana usaha-usaha yang giat dalam kalangan bank Islam untuk menambahkan jumlah pelanggan yang juga merupakan penghutang kepada mereka.

Sebaliknya pendekatan yang betul ialah menggalakkan masyarakat Islam supaya meminimumkan tahap hutang mereka. Apa yang lebih baik ialah jika masyarakat dapat diyakinkan supaya berpegang kepada prinsip `Hidup bebas hutang, terutama daripada industri perbankan’. Tetapi ia sudah tentu memerlukan rombakan kepada sistem pentarbiahan masyarakat di semua peringkat.

Sistem pentarbiahan yang baru ini hendaklah melibatkan kita semua supaya kita boleh menjadi contoh kepada generasi akan datang tentang bagaimana kita boleh hidup tanpa berhutang dengan industri hutang. Mungkin kehidupan kita akan kurang selesa akibat daripada keputusan untuk tidak berhutang dalam menguruskan kehidupan kita. Namun kita hendaklah yakin bahawa inilah pengorbanan yang perlu dilakukan untuk merubah budaya masyarakat demi menjamin kesejahteraan anak dan cucu kita pada masa hadapan.

Rumusan

Proses pentarbiahan masyarakat Islam yang menekankan keperluan menghayati nilai dan ajaran Islam sepenuhnya dalam membina masyarakat perlu dilakukan dengan segera. Ciri utama proses pentarbiahan ini ialah keperluan memegang kepada prinsip Syariah sebagai asas pembinaan masyarakat serta meletakkan kebahagian di akhirat sebagai fokus utama kehidupan.

Proses pentarbiahan ini juga perlu mampu menyedarkan masyarakat bahawa pendekatan yang terlampau menekankan pembangunan ekonomi sebagai asas membina masyarakat adalah salah dan membahayakan. Ahli masyarakat seterusnya perlu dididik supaya menyedari bahawa sistem kewangan dan perbankan yang diamalkan di negara kita sekarang adalah berdasarkan fahaman liberal sekular yang bertentangan secara langsung dengan nilai-nilai Islam.

Oleh itu, masyarakat perlu didik supaya menyedari bahawa amalan riba dalam sistem ekonomi kita perlu dihapuskan sama sekali dan dengan secepat mungkin. Sistem perbankan selari yang mana perbankan Islam ditawarkan sementara perbankan kovensional dibenarkan beroperasi adalah salah dan bertentangan dengan cara Islam.

Apabila ahli masyarakat sudah mempunyai kefahaman sebenar tentang isu-isu di atas, maka insya-Allah akan menjadi lebih senang untuk kita lakukan proses pentarbiahan yang berdasarkan kepada nilai-nilai Islam kepada generasi akan datang. Lambat laun, masyarakat kita akan sedar bahawa silibus pendidikan berkenaan ekonomi yang diajar di sekolah-sekolah dan universiti-universiti perlu dirombak semula supaya generasi akan datang akan lebih faham tentang bahaya sistem ekonomi dan kewangan yang berasaskan kepada amalan riba yang menggalakkan rakyat berhutang. Silibus pendidikan ini juga harus memberikan kefahaman yang mendalam tentang perspektif Islam kepada ekonomi dan kewangan, yang bukan sahaja mengharamkan riba sama sekali bahkan juga tidak menggalakkan amalan berhutang.

Silibus pendidikan juga mesti menyedarkan masyarakat bahawa sikap mengejar keselesaan dunia semata-mata bukanlah sikap yang diajar oleh agama kita. Inilah sepatutnya menjadi penekanan utama dalam proses pentarbiahan di sekolah-sekolah dan universiti. Sebenarnya penekanan di dalam silibus ekonomi dan kewangan Islam kepada cara-cara halal untuk berhutang, yang sedang berlaku sekarang, adalah pendekatan proses pentarbiahan yang salah. Hasil daripada pendekatan yang salah ini tahap hutang kerajaan dan juga rakyat telah melambung tinggi akhir-akhir ini.

Oleh itu adalah menjadi peranan kita semua di sini untuk mentarbiah diri sendiri supaya kefahaman kita tentang Islam serta penghayatan kita kepada ajaran Islam yang sebenarnya sentiasa meningkat dari hari ke hari.

Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk adalah daripada kelemahan diri saya. Allah yang lebih Mengetahui.

[8] http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

 

Prof Dr Nazari Ismail adalah kakitangan akademik di Jabatan Dasar dan Strategi Perniagaan, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya. Beliau pernah memegang jawatan Ketua Unit Perancangan dan Pembangunan Strategi Universiti Malaya dari tahun 1996 sehingga 2000 dan dari 2006 hingga 2010.

Comments  

 
0 #5 DRIZA 2012-06-01 00:39
Apa yg rakyat malaysia terutamanya umat Islam perlu belajar adalah cara menguruskan kewangan dan mengambil tanggungjawab kewangan secara bertanggungjawa b.
Belajar juga sistem menepati ruh islam, and do your part.. Continue to demand as a consumer for a system that is islamic in its form and substance, negotiate, give comments constructively
Quote
 
 
0 #4 DRIZA 2012-06-01 00:30
Syukur kerana sekarang soalan yg sering disoal adalah "bagaimana memiliki aset dgn cara yg baik" bkn lagi "bagaimana sy mampu utk memiliki aset". Utk memiliki sistem yg bagus adalah satu proses, bknnya destinasi... Perlu utk sentiasa kita memberikan usaha, buah fikiran dan sokongan dgn cara yg konstruktif.
Ada negara yg secara tergesa-gesa menghapuskan sistem riba dari sistem kewangannya dalam masa sehari. Dapat dibayangkan it was a huge flop yg mana akhirnya pemerintah itu membatalkan sistem kewangan Islam total itu dan dtg belajar dari malaysia.
Sekiranya mahu sistem kewangan islam yg ideal perlulah tukar kerangkanya dahulu, kemudian barulah PROSES penerapan ekonomi islam yg holistik blh dibuat
Quote
 
 
0 #3 DRIZA 2012-06-01 00:18
mereka yg memperkenalkan perbankan Islam di Malaysia telah membuat jasa yg sgt besar yg membenarkan umat Islam mempunyai harta & dapat terlibat dgn aktiviti perniagaan yg sebelum ini (dan sehingga sekarang) didominasi non-muslim, di sebuah negara majoriti muslim. Mereka berbuat demikian dala m keadaan serba keterbatasan, tiada yg dpt menyokong atau memberi pendapat yg konkrit, serta dlm kerangka sekular. Usaha mereka telah membuahkan hasil sehingga nama Islam disebut di dl parlimen2, kerajaan seluruh dunia, which for once for a good and positive reason. Malah ketua agama kristian, pope juga menyeru pengikutnya mengkaji prinsip2 dlm kewangan Islam. Moga Allah membalas segala amal ibadah dan ijtihad mereka, amiin...
Quote
 
 
0 #2 smmohni 2012-05-11 16:17
mudah2an tak lame lagi ... mesti ade di kalangan cendikiawan islam yang akan memperkenalkan sistem ekonomi anti-kapitalis... solusi kewangan tanpa hutang... teori keterhadan juge akan diganti dengan pencapaian konsistensi tanpa batas... mase tu , orang berlumbe2 nak masuk islam dan jadi mukmin ... sebab hanye orang mukmin yang layak masuk syurga... fikir2.
Quote
 
 
+1 #1 Mohmad Nawawi bin Yu 2012-04-11 19:07
Tidak salah untuk berhutang. Namun ia perlu mengikut lunas syariat dan sentiasa dalam kadar kemampuan membayar balik. Berhutang juga perlu di bataskan kepada perkara yang penting(daruria t) sahaja.

Adalah satu kesilapan yang nyata apabila berhutang di luar kemampuan dan di dalam perkara yang tidak penting atau berbentuk kesenangan dan kemewahan. Contohnya jika kemampuan ialah untuk membeli kereta proton waja kenapa harus di beli kereta BMW kerana menjaga status jawatan.
Quote
 

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook