Ahad, 19 Mei 2013

Kemaskini Terakhir03:09:56 PM EST

Anda di sini: Kolumnis > Prof Dr Arshad Ahmad > Keindahan alam ini juga dihajati oleh keturunan kita

Keindahan alam ini juga dihajati oleh keturunan kita

Share

pantai

Senario

Ketika anda dalam perjalanan menuju ke tempat kerja, anda melihat alam sekeliling begitu muram. Udaranya berjerebu dan hawanya panas, bahang terasa sampai ke telinga. Di tepi jalan usang, longkang yang tersumbat memuntahkan air hanyir yang meloyakan. Pohon-pohon di sekeliling tidak lagi hijau merimbun, malah daun-daunnya putih diselaputi debu yang berterbangan dari jalan dan kilang. Setiap kali selepas hujan, lumpur menuruni cerun dan jika hujan itu lebat dan berlanjutan, banjir kilat memenuhi kawasan rendah, melimpahkan air berlumpur bukan hanya ke jalan raya malah ke dalam rumah dan kedai.

Apa yang ditulis ini hanya sebahagian sahaja daripada berita buruk yang telah berlaku di sana-sini dari semasa ke semasa. Banyak lagi perkara buruk lain telah berlaku kepada alam, tempat tinggal kita semua. Di daratan, lautan mahupun udara, dunia semakin dimusnahkan. Semua itu terjadi kerana sikap manusia yang terlalu mementingkan diri sendiri. Untuk mencapai keuntungan maksimum, segala aktiviti ekonomi dilakukan tanpa mengambil-kira kesannya terhadap alam, dan apa yang paling menyedihkan ialah perkara ini dilakukan oleh manusia dari segenap peringkat umur dan strata sosial.

Pesanan dari al-Quran

Dunia dan apa yang ada di dalamnya dijadikan oleh Allah untuk membantu kehidupan manusia. Allah Subhanahu wa Taala berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

"Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu. Dan Dia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu mengambil manfaat darinya. Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar untuk kepentingan kemudahan kamu dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu.”

(Ibrahim 14: 32-33)

Begitu banyak nikmat yang disediakan oleh Allah Subhanahu wa Taala untuk manusia. Matahari menyinarkan cahaya bagi menerangi dan memanasi alam. Hujan membekalkan air kepada sungai-sungai yang membentuk rangkaian bekalan untuk minuman, pertanian dan pelbagai aktiviti kehidupan. Udara membekalkan karbon dioksida kepada tumbuh-tumbuhan dan oksigen kepada haiwan dan manusia. Gunung, lembah, sungai dan laut - semuanya disediakan untuk diolah dan dimanfaat dengan sebaik-baiknya oleh manusia. Di atas bumi, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan manusia saling berinteraksi. Apabila semuanya diurus dengan baik oleh manusia seperti sepatutnya, keseimbangan tercapai dan kelestarian alam terlaksana. Bukankah manusia itu sememangnya khalifah yang bertanggung jawab untuk menguruskan bumi dan apa yang terkandung di dalamnya?

Malah Allah Subhanahu Wataala juga telah memerintahkan dengan jelas kepada manusia supaya memelihara bumi dengan baik, bukan melakukan kerosakan, pencemaran dan sebagainya. Dalam surah al-A’raf Allah Subhanahu wa Taala berfirman (maksudnya):

"Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah (Allah) memperbaikinya, dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.”

(Al-A’raf 7:56)

Jalan ke hadapan

Apabila kita melihat isu ini dalam konteks tempatan, di samping ajaran agama yang memang menekankan betapa pentingnya penjagaan alam sekitar, banyak undang-undang telah digubal dan diluluskan oleh Parlimen Malaysia, sama ada Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 (Akta 127) yang menyediakan kerangka umum perlindungan hingalah ke pelbagai undang-undang lain yang secara khusus menekankan betapa pentingnya alam ini dipelihara, sama ada dari kesan aktiviti di hutan, di laut ataupun pembangunan industri dan tempat tinggal.

Kita telah mempunyai cukup undang-undang. Pelbagai kempen juga telah dibuat oleh pihak pemerintah dan pertubuhan bukan kerajaan. Dewasa ini kita melihat kempen kitar semula bahan buangan dan kempen tidak menggunakan plastik digiatkan. Setiap usaha ini amat bermakna bagi alam walaupun ia hanya usaha yang kecil. Ada kalanya usaha kecil yang berterusan itu jauh lebih baik daripada usaha besar yang datang hanya sekali.

Apabila kita ingin menyelesaikan masalah, kita harus mencungkil dan merungkai akar umbi masalah itu sendiri. Dalam konteks ini, akarnya itu tertanam dalam jiwa dan hati manusia sendiri. Sikap mementingkan diri sendiri yang telah terpahat di hati manusia adalah punca kepada permasalahan yang kita hadapi. Semua yang diperlukan untuk memastikan kerosakan tidak berlaku telah wujud, sama ada undang-undang ataupun teknologi yang diperlukan. Yang ternyata lemah ialah sikap.

Bagi menjamin masa depan yang lebih baik, pembangunan fizikal yang pesat perlu disertai dengan pembangunan minda progresif yang bertanggung jawab. Segenap lapisan penduduk Malaysia perlu dididik supaya menyayangi semua yang ada di sekeliling mereka. Mereka perlu dilatih supaya bersikap benar dan jujur. Tidak guna kita mempunyai undang-undang yang banyak jika ia boleh diatasi oleh rasuah. Apalah ertinya jika Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi jika minda rakyatnya masih mundur. Tiada guna jika negara mempunyai keupayaan ekonomi dan pengaruh politik yang hebat jika rakyatnya masih terkebelakang dan hanya berfikir untuk diri sendiri, tanpa mengambil kira apa yang akan ditinggalkan untuk generasi akan datang. Sebenarnya, keadaan hari ini telah sampai ke tahap berbahaya, dan jika kita masih tidak berubah, apalah agaknya yang akan dapat dinikmati oleh generasi cucu kita nanti?

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook