Khamis, 23 Mei 2013

Kemaskini Terakhir04:25:34 PM EST

Anda di sini: Kolumnis > Atriza Umar > 'Birrul Walidain' (berbuat baik kepada ibu bapa)

'Birrul Walidain' (berbuat baik kepada ibu bapa)

Share

anak dukung ibu

Bentuk-bentuk berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa (Birrul Walidain) adalah:

PERTAMA

Bergaul dengan kedua-duanya dengan cara yang baik

Dalam hadis Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, disebutkan bahawa memberikan kegembiraan kepada seorang mukmin termasuk bersedekah. Lebih utama lagi kalau memberikan kegembiraan kepada kedua-dua ibu bapa kita.

Dalam nasihat perkahwinan dikatakan agar suami senantiasa berbuat baik kepada isteri, maka kepada kedua-dua ibu bapa harus lebih daripada itu. Kerana ia yang melahirkan, mengasuh, mendidik dan banyak jasa lainnya kepada kita.

Dalam suatu riwayat dikatakan bahawa ketika seseorang meminta izin untuk berjihad (dalam hal ini fardhu kifayah kecuali waktu diserang musuh maka fardhu 'ain) dengan meninggalkan orang tuanya dalam keadaan menangis, maka Rasulullah berkata, “Kembalilah dan buat kedua-duanya tertawa seperti engkau telah membuat kedua-duanya menangis.”

(Hadis Riwayat Abu Daud dan Nasa'i)

Dalam riwayat lain dikatakan: “Berbaktilah kepada kedua-dua ibu bapamu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

KEDUA

Berkata kepada kedua-duanya dengan perkataan yang lemah lembut

Hendaklah dibezakan berbicara dengan kedua-dua ibu bapa dan berbicara dengan anak, rakan-rakan atau dengan yang lain. Berbicara dengan perkataan yang mulia kepada kedua-dua orang tua, tidak boleh mengucapkan “ah” apalagi mencemuh dan mencaci maki atau melaknat kedua-duanya kerana ini merupakan dosa besar dan bentuk kederhakaan kepada ibu bapa.

Kita tidak boleh berkata kasar kepada ibu bapa kita, walaupun kedua-duanya berbuat jahat kepada kita. Jika ada hak kita yang ditahan oleh ibu bapa atau ibu bapa memukul kita atau kedua-duanya belum memenuhi apa yang kita minta walaupun mereka memiliki, kita tetap tidak boleh derhaka kepada mereka.

KETIGA


Tawadhu (rendah diri)

Tidak boleh kibir (sombong) apabila sudah meraih kejayaan atau mempunyai jawatan di dunia, kerana sewaktu lahir kita berada dalam keadaan hina dan memerlukan pertolongan. Kedua-dua ibu bapalah yang menolong kita dengan memberi makan, minum, pakaian dan semuanya.

Sekiranya kita diperintahkan untuk melakukan pekerjaan yang kita anggap ringan dan merendahkan kita yang mungkin tidak sesuai dengan kejayaan atau jabatan kita, tetapi ia bukan sesuatu yang haram, wajib bagi kita untuk tetap taat kepada kedua-duanya.

Lakukanlah dengan senang hati kerana hal tersebut tidak akan menurunkan darjat kita, kerana yang menyuruh adalah ibu bapa kita sendiri. Hal itu merupakan kesempatan bagi kita untuk berbuat baik selagi mereka masih hidup.

KEEMPAT

Memberikan infak (sadaqah) kepada kedua-dua ibu bapa

Semua harta kita adalah milik ibu bapa. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 215 (maksudnya):

“Mereka bertanya kepadamu tentang apa yang mereka infakkan. Jawablah, ‘Harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu bapamu, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan. Dan apa sahaja kebajikan yang kamu lakukan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.’”

Jika seseorang sudah berkemampuan dalam hal harta hendaklah dia membelanjakannya kepada kedua-dua orang tuanya dahulu. Kedua-dua ibu bapa memiliki hak tersebut, dan ia selari dengan maksud firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah al-Baqarah di atas.

Berbuat baik, yang pertama adalah kepada ibu, kemudian bapa dan yang lain-lain, sebagaimana maksud sabda Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam:

“Hendaklah kamu berbuat baik kepada ibumu, kemudian ibumu, kemudian ibumu, kemudian bapamu kemudian orang yang terdekat dan yang terdekat.”

(Hadis Riwayat Bukhari dalam Adabul Mufrad No. 3, Abu Daud No. 5139 dan Tirmidzi 1897, Hakim 3/642 dan 4/150 dari Mu'awiyah bin Haidah, Ahmad 5/3, 5 dan berkata Tirmidzi, "Hadis Hasan")

Sebahagian orang yang telah berkahwin tidak membelanjakan hartanya lagi kepada ibu bapanya kerana takut kepada isterinya. Hal ini tidak dibenarkan.

Yang menetapkan harta adalah suami, sebagaimana disebutkan bahawa lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita.

Harus dijelaskan kepada isteri bahawa kewajipan yang utama bagi anak lelaki adalah berbakti kepada ibunya (kedua-dua ibu bapanya) setelah Allah dan Rasul-Nya. Sedangkan kewajipan yang utama bagi wanita yang telah bersuami setelah kepada Allah dan Rasul-Nya adalah kepada suaminya.

Ketaatan kepada suami akan membawanya ke syurga. Namun demikian suami hendaknya tetap memberi kesempatan atau keizinan agar isterinya dapat berinfaq dan berbuat baik yang lain kepada kedua-dua orang tuanya.

KELIMA

Mendoakan ibu bapa

Berdoalah kepada kedua-duanya seperti mana dalam ayat “Robbirhamhuma kamaa rabbayaani shagiiro” (Wahai Tuhanku kasihanilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik kami pada waktu kecil).

Seandainya ibu bapa belum mengikuti dakwah yang haq dan masih berbuat syirik serta bid’ah, kita harus tetap berlaku lemah lembut kepada kedua-duanya.

Dakwahkan kepada mereka dengan perkataan yang lemah lembut sambil berdoa pada malam hari, ketika sedang berpuasa, pada hari Jumaat dan di tempat-tempat dikabulkannya doa agar ditunjuki dan dikembalikan ke jalan yang haq oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Ibu bapa yang telah meninggal

Apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia, maka yang perlu kita lakukan adalah:

Pertama, meminta ampun kepada Allah dengan taubat yang nasuh (benar) jika kita pernah berbuat derhaka kepada kedua-duanya sewaktu mereka masih hidup.

Kedua, mendoakan kedua-duanya. Dalam sebuah hadis da’if (lemah) yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Ibnu Hibban, seseorang pernah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam.

“Apakah ada suatu kebaikan yang harus aku lakukan kepada kedua-dua orang tuaku sesudah wafat kedua-duanya?” Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab, “Ya, kamu solat atas kedua-duanya, kamu beristighfar kepada kedua-duanya, kamu memenuhi janji kedua-duanya, kamu hubungkan tali silaturahmi kepada orang yang mereka pernah hubungkan silaturahmi dan kamu muliakan teman-temannya.” [Hadis ini dilemahkan oleh beberapa imam ahli hadis kerana di dalam sanadnya ada seorang rawi yang lemah, dan Syeikh Albani Rahimahullah melemahkan hadis ini dalam kitabnya Misykatul Mashabiih dan juga dalam Tahqiq Riyadush Solihin (Bahajtun Nazhirin Syarah Riyadush Shalihin Juz I hal.413 hadis No. 343)]

Menurut hadis-hadis yang sahih, amal-amal yang diperbuat untuk kedua-dua ibu bapa yang sudah meninggal dunia adalah:

1. Mendoakannya
2. Mensolatkan  ketika ibu bapa meninggal
3. Selalu meminta ampun untuk kedua-duanya
4. Membayar hutang-hutangnya
5. Melaksanakan wasiat yang sesuai dengan syariat
6. Menyambung tali silaturrahmi kepada orang yang keduanya juga pernah menyambungnya

(Diringkas dari beberapa hadis yang sahih)

Daripada Abdullah bin Umar radiallahuanhuma, katanya:

“Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, ‘Sesungguhnya termasuk kebaikan seseorang adalah menyambung tali silaturrahmi kepada teman-teman bapanya sesudah bapanya meninggal.”

[Hadis Riwayat Muslim No. 12, 13, 2552]

Dalam riwayat yang lain, Abdullah bin Umar radiallahuanhuma menemui seorang Badwi dalam perjalanan menuju Makkah. Mereka adalah orang-orang yang sederhana.

Abdullah bin Umar mengucapkan salam kepada orang tersebut dan menaikkannya ke atas keldai, kemudian serbannya diberikan kepada orang Badwi tersebut. Kemudian Abdullah bin Umar berkata, “Semoga Allah mempermudah urusanmu.”

Seterusnya Abdullah bin Umar berkata, “Sesungguhnya bapanya ini adalah sahabat karib Umar sedangkan aku mendengar sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam:

‘Sesungguhnya termasuk kebaikan seseorang adalah menyambung tali silaturrahmi kepada teman-teman ayahnya.’”

(Hadis Riwayat Muslim 2552 [13])

(Dirujuk dari Kitab Birrul Walidain, edisi Indonesia “Berbakti Kepada Kedua Ibu Bapa” oleh Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawas, terbitan Darul Qolam)

Comments  

 
0 #1 Wanmohd 2012-12-29 14:25
Salamlak. Wa Ahsantum.. Saya cari misal derhaka yg lazim berlaku sekalipun seorang ustaz/h..
Quote
 

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook