Betapa besar perbezaan antara puasa kita dengan puasa para salafus soleh (generasi awal Islam).
Generasi awal Islam berlumba-lumba meraih nilainya, berusaha dan mendambakan naungan-Nya selain mengerahkan segenap kekuatan fizikal dan kekuatan jiwa untuk mengisi bulan yang sangat istimewa itu.
Menjadi rutin pada siang harinya, mereka bersungguh untuk menggapai produktiviti dan senantiasa profesional.
Manakala malam harinya, mereka mengisi bekalan rohani, bertahajud dan tilawatul Quran.
Sebulan penuh mereka belajar, beribadah dan berbuat baik dengan terjaganya lisan mereka kerana puasa, jauh daripada berkata yang tidak ada manfaatnya, apalagi kata-kata kasar, ghibah juga dusta.
Selain itu, anggota tubuhnya turut sama menikmati rasa berpuasa.
Telinga mereka berpuasa dengan bertahan daripada mendengar kenyataan sesat, negatif dan sia-sia.
Mata mereka berpuasa dengan tidak melihat perkara yang diharamkan dan perbuatan yang mendatangkan imbuhan dosa.
Hati mereka turut berpuasa dengan tidak tedetik sedikit pun untuk melakukan kesalahan hingga mendatangkan murka Allah.
Tangan pula tidak mereka gunakan untuk mengambil yang tidak halal dan tidak menyakiti.
Dan segala itu wajar menjadi teladan kepada kita kini, yang mana hanya menjadikan lapar dan dahaga sebagai istilah.
Selain itu, mereka menjadikan Ramadan sebagai musim taat kepada Allah Subhanahu Wa Taala dan melipat gandakan amal kebaikan dan ibadah.
Mereka berpuasa pada siang harinya dengan sebaik-baiknya, qiam Ramadan, solat Tarawih dan bertahajud dengan sesungguhnya.
Mereka senantiasa bersyukur atas nikmat yang diberikan, dan mereka tidak lupa saudara-saudara mereka yang lemah.
Di samping itu, mereka berusaha meneladani Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, sebagai insan yang paling dermawan dan paling banyak berbuat baik dalam bulan Ramadan, laksana angin yang bertiup, mendinginkan lagi mendamaikan.
Kelompok lain adalah kelompok yang tidak pernah tahu dan sedar akan kebaikan Ramadan.
Mereka tidak merasakan manfaat daripada bulan Ramadan, apalagi tidak peduli dengan shiyan dan qiyam.
Lebih teruk lagi, mereka tidak tahu dan tidak mahu tahu keutamaan dan keistimewaan Ramadan, padahal Allah menghidangkan Ramadan bagi kalbu, hati dan jiwa.
Mereka malah menjadikan Ramadan untuk memperturutkan syahwat perut dan mata (tidur) semata-mata.
Allah Subhanahu Wa Taala menjadikan Ramadan sebagai tempoh untuk menyemai sikap kasih sayang dan kesabaran, sebaliknya mereka menjadikan bulan yang mulia itu sebagai ruang amarah dan mengumpat.
Allah Subhanahu Wa Taala menjadikan Ramadan sebagai wahana meraih ketenteraman dan kebahagiaan, namun ada sebilangan daripada mereka menjadikannya sebagai bulan pertengkaran dan perselisihan.
Allah Subhanahu Wa Taala menjadikan Ramadan sebagai momentum perubahan diri, namun mereka hanya merubah jadual makan belaka.
Allah Subhanahu Wa Taala menghadirkan Ramadan untuk mendidik mereka yang kaya agar peduli dengan yang tidak punya, namun mereka tidak akur mengenai tuntutan itu.
Saudara seagamaku sekalian, ayuhlah kita muhasabah senantiasa bagi menuju pencapaian yang tinggi pada pandangan Rabbul Izzati.
Semoga umat Islam kini juga mampu melaksanakan puasa Ramadan dalam usaha meraih janji Allah Subhanahu Wa Taala.
Taqwallah (bertakwa kepada Allah) sebagaimana yang diperintahkan al-Quran, dengan demikian mereka akan keluar dari Ramadan menjadi orang-orang yang suci (fitri) dan dosanya diampunkan.



