Jumaat, 24 Oktober 2014

Kemaskini Terakhir11:54:48 PM EST

Anda di sini: Kolumnis > Atriza Umar > Tadarus Al-Quran

Tadarus Al-Quran

Share

Salah satu ibadah yang sering dilakukan di Bulan Ramadhan ialah Tadarus Al-Quran.

Dalam sejarah kehidupan umat manusia, Al-Quran telah memberikan banyak pengaruh dalam mengubah individu dan masyarakat menjadi jauh lebih baik daripada sebelumya.

 

Generasi sahabat dapat menjadi generasi terbaik kerana mereka mempunyai kedekatan yang sangat kuat terhadap Al-Quran. Tilawah Al-Quran adalah kunci utama kejayaan mereka.

Mereka menjadikan Al-Quran sebagai bacaan utama dan sebagai pegangan hidup. Kemukjizatan Al-Quran masih terus bertahan sehingga  hari kiamat nanti sebagaimana jaminan daripada Allah bahawa sesiapa yang membaca dan mengamalkannya, ia akan akan berjaya di dunia dan akhirat.

Dalam kitab Riyadhus Solihin, Imam Nawawi memaparkan hadis-hadis yang berkenaan dengan keutamaan membaca Al-Quran. Di antaranya:

1. Akan menjadi syafaat bagi pembacanya di hari kiamat.

“Daripada Abu Amamah Radhiyallahu Anhu, aku mendengar Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam bersabda, “Bacalah Al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan menjadi syafaat bagi para pembacanya di hari kiamat.”

(HR. Muslim)

2. Mendapat darjat insan terbaik.

“Daripada Usman bin Affan Radhiyallahu Anhu, Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam bersabda, “Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.”

(HR. At-Tirmidzi)

3. Mendapatkan pahala akan bersama malaikat di akhirat, bagi yang mahir mambacanya.

“Daripada Aisyah Radhiyallahu Anhu, berkata; bahawa Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam bersabda, “Orang yang membaca Al-Quran dan ia mahir membacanya, maka kelak ia akan bersama para malaikat yang mulia lagi taat kepada Allah.”

(HR. Bukhari Muslim)

4. Mendapatkan pahala dua kali ganda, bagi yang belum lancar.

“Dan orang yang membaca Al-Quran, sedang ia masih bertatih lagi berat dalam membacanya, maka ia akan mendapatkan dua pahala.”

(HR. Bukhari Muslim)

5. Akan diangkat darjatnya oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala

“Daripada Umar bin Khatab Radhiyallahu Anhu, Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam bersabda; “Sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan mengangkat darjat suatu kaum dengan kitab ini (Al-Quran), dan dengannya pula Allah akan merendahkan kaum yang lain.”

(HR. Muslim)

6. Mendapatkan sakinah, rahmat, dikelilingi malaikat, dan dipuji Allah di hadapan makhluk-Nya.
“Daripada Abu Hurairah Radhiyallahu Anhu, Rasulullah Salallahu nAlaihi Wasallam bersabda, “Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah-rumah Allah untuk melantunkan ayat-ayat suci Al-Quran dan mempelajarinya, melainkan akan turun kepada mereka ketenangan, akan dilitupi pada diri mereka dengan rahmat, akan dilingkari oleh para malaikat, dan Allah pun akan menyebut (memuji) mereka di hadapan makhluk yang ada di dekat-Nya.”

(HR. Muslim)


Sementara itu, ada keutamaan lain bagi yang mempunyai kebiasaan mengkhatamkan Al-Quran. Di antara keutamaan mengkhatamkan al-Quran ialah:

1. Merupakan amalan yang paling dicintai Allah

“Daripada Ibnu Abbas Radhiyallahu Anhu, beliau mengatakan ada seseorang yang bertanya kepada Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam, “Wahai Rasulullah, amalan apakah yang paling dicintai Allah?” Baginda menjawab, “Al-hal wal murtahal.” Ia bertanya lagi, “Apakah itu al-hal wal murtahal, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Iaitu yang membaca Al-Quran dari awal hingga akhir setiap kali selesai ia mengulanginya lagi dari awal.”

(HR. At-Tirmidzi)

2. Seperti mengikuti pembahagian ghanimah

“Daripada Abu Qilabah, Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam bersabda, “Barangsiapa yang menyaksikan (mengikuti) bacaan Al-Quran ketika dibuka (dimulakan), maka seakan-akan ia mengikuti kemenangan (futuh) fi sabilillah. Dan barangsiapa yang mengikuti pengkhataman Al-Quran maka seakan-akan ia mengikuti pembahagian ghanimah (harta rampasan).”

(HR. Ad-Darimi)

3. Mendapatkan doa/ shalawat dari malaikat

“Daripada Mus'ab bin Sa'ad, dari Sa'ad bin Abi Waqas, beliau mengatakan, “Apabila Al-Quran dikhatamkan bertepatan pada permulaan malam, maka malaikat akan berselawat (berdoa) untuknya hingga subuh. Dan apabila khatam bertepatan pada akhir malam, maka malaikat akan berselawat/ berdoa untuknya hingga petang hati.

(HR. Ad-Darimi.)

4. Mengikuti sunnah Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam

Mengkhatamkan Al-Quran merupakan sunnah Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam. Hal ini tergambar daripada hadis berikut:

“Daripada Abdullah bin Amru bin Ash, beliau berkata, “Wahai Rasulullah, Berapa lama aku sebaiknya membaca Al-Quran?” Baginda menjawab, “Khatamkanlah dalam satu bulan.” Aku berkata lagi, “Sungguh aku mampu lebih dari itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Khatamkanlah dalam dua puluh hari.” Aku berkata lagi, “Aku masih mampu lebih dari itu, wahai Rasulullah.” Baginda menjawab, “Khatamkanlah dalam lima belas hari.” Aku berkata lagi, “Aku masih lebih mampu dari itu, wahai Rasulullah.” Baginda menjawab, “Khatamkanlah dalam sepuluh hari.” Aku menjawab, “Aku masih lebih mampu lagi, wahai Rasulullah.” Baginda menjawab, “Khatamkanlah dalam lima hari.” Aku menjawab, “Aku masih lebih mampu lagi, wahai Rasulullah.” Namun baginda tidak memberikan izin bagiku."

(HR. At-Tirmidzi)

Ayuhlah, di kesempatan Bulan Ramadhan 1434 Hijrah yang Allah izinkan kita menikmatinya, kita pertingkatkan amalan serta memperbanyakkan membaca Al Quran beserta maknanya.

Sewajarnya, semasa Tadarus janganlah kita lebih mengejar untuk segera khatam, tetapi kita pinggirkan bab hukum mahupun sebutan makhrajnya.

Seterusnya, Al Quran hendaklah dibaca dengan santun, tertib dan beretika bukan dengan sambil lewa. Agar dengan itu kita dapat menikmati ketika membacanya di samping berusaha untuk memahamkan maknanya, insya’Allah.

Moga dengan itu, kita mendapat hikmah dan ganjaran sebagaimana yang dijanjikan Allah, insya’Allah.

Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna dan bermanfaat buat diri kita, insya’Allah

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook