Sabtu, 25 Mei 2013

Kemaskini Terakhir04:25:34 PM EST

Anda di sini: Kolumnis > Pak Utih > Ayahku, penyuluh tanpa pelita

Ayahku, penyuluh tanpa pelita

ShareAyahku Penyuluh Tanpa Pelita

Tanggal 6 Januari 2005, setelah selesai solat berjemaah bersama-sama tetamu Allah yang datang dari pelbagai pelosok dunia, yang kulanjutkan pula dengan doa untuk diriku, isteriku, anak-anakku, Apak dan Mak, adik-beradik dan guru-guru Irsyad Singapura yang mengirimkan pesan doa mereka untuk kubaca di hadapan Kaabah ini, bahuku dicuit oleh jari yang amatku kenali. Kuanggukkan sedikit tanda tahu yang dia telah juga selesai asarnya dan mengajak beredar. Aku terus mengucup tapak tanganku memohon dimakbulkan doa-doaku tadi dan bingkas memegang tangan isteri keluar berhimpit-himpit menuju pintu yang menghala ke Bin Dawood Shopping Complex. Baru tiga hari aku dan isteriku berada di Tanah Suci ini, inilah jadual ‘rekreasi’ selepas ibadah khusus yang kami telah rancang. Tetapi petang itu, hatiku tidak seceria semalam, puas isteriku menarik tangan meminta pandangan mengenai barangan jualan yang dipamerkan itu, namun fikiranku terasa ingin kembali ke kampung menanyakan khabar berita. Terus kutekan butang telefon bimbit nombor rumah di kampung. Terdengar sahaja adikku Anum menjawab, darahku bertambah degupnya. Apalagi bila kudengar riuh rendah suara latar dengan jawapannya, “Oh, Yang Pie eh, nanti kejap,“ terdengar dia menjerit memanggil mak. “Maaak ,Yang Pie dari Makkah... cepat”. Mak pun terus menceritakan apa yang berlaku. Aku terus membaca kalimah Allah, “Innalillahi wa inna ilaihi rojiun.” Air mataku berlinang, isteriku sudah mengagak dan terus memelukku. “Apak dah pergi” kubisik padanya. Aku minta kebenarannya untuk kembali semula ke dalam Masjidilharam. Kutinggalkan dia meneruskan “window shopping”nya. dan dia juga memahami yang aku ingin sendirian melayani kesayuan hatiku ini.

Di Hadapan Kaabah

Selepas mengambil wuduk dengan air zamzam, aku berdiri betul-betul di hadapan pintu Kaabah yang jaraknya hanya 30 meter. Lama juga aku berdiri kaku menahan sebak namun air mataku terus berlinangan. Di hadapan Kaabah, di celah-celah laluan ratusan jemaah bertawaf, aku sempurnakan sendirian solat ghaib jenazah untuk Apakku. Terhibur pula hatiku, walaupun Allah mengambil Apak tanpa kehadiranku di sisinya untuk kusumbangkan bakti terakhir menguruskan jenazahnya, di sini aku ditakdirkan mendirikan solat untuknya betul-betul berada di hadapan pintu Rumah-Nya.

“Ya Allah, walaupun Apakku tidak pernah melihat Kaabah ini, tidak tersimpan duitnya untuk menunaikan haji bertawaf keliling rumah-Mu, aku wakilkan diriku ini, agar Engkau terima rohnya bersama-Mu pada kala ini, bersama-sama dengan roh para solihin. Engkau ampunilah kesalahannya dan kesalahanku terhadapnya, sampaikanlah pohonan maafku kepadanya, kerana aku tidak berada di sisinya untuk meminta ampun sebelum dia pergi. Kasihanilah rohnya, sebagaimana dia telah menjaga dan mengasihi aku dari kecil lagi.”

Almarhum Apak, yang nama penuhnya Uda Jaafar bin Kulop Aman, berkerjaya dari awal hingga bersara sebagai “House-boy” Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Mula bertugas sebagai pembantu tukang masak tetapi disebabkan dia menghidap penyakit epilepsi selepas mendapat anak yang kelima, tugasnya ditukarkan kepada mencuci tandas. Dia meneruskan tugas itu dengan penuh dedikasi kerana baginya, itulah sahaja sumber pendapatan yang mampu dia cari. Walaupun kerjayanya ini mungkin dipandang rendah oleh sesetengah orang, tetapi di berek perumahan pekerja MCKK ini, dia adalah imam surau dan pembaca doa selamat untuk masyarakat melayu di sekitar Jalan Idris ini. Dia sedar, dengan hanya memiliki kemahiran menjadi imam solat dan memimpin doa-doa selamat ini sahajalah, dirinya dipandang mulia oleh orang lain. Itulah “homework” yang dia selalu beristiqamah hampir setiap minggu sebelum tidur malam, menghafaz doa-doa baru untuk dimasukkan ke dalam doa-doa yang sedia ada. Dia yakin, jika doa selamat itu dibaca dengan panjang, ia akan lebih memuaskan hati tuan rumah. Pernah sekali sekala Apak menyuruhku membetulkan bacaan doanya dan menggalakkan aku menghafaz doa-doa itu. Tanpa disedarinya, Apak telah mengajarku untuk sentiasa menambah nilai diriku dengan kemahiran-kemahiran yang orang lain tidak sanggup melakukannya. Dengan ini, Apak telah melakukan satu tanggungjawab fardu kifayah yang besar pahalanya.

Pernah disatu hari, Pak Kulop, imam pertama yang tinggal di sebelah surau, tidak hadir untuk mengimamkan maghrib. Apak pula tidak kelihatan. Tolak punya tolak, aku naik ke hadapan mengimamkan jemaah. Waktu itu aku baru berumur 13 tahun. Esok paginya, Apak bertanya kepadaku,

“Kamu ke imam sembahyang maghrib semalam?”
“Ya,” jawabku selamba.
“Seronok aku mendengarnya Mat.” Kelihatan senyumannya lain daripada biasa yang tidak pernah kulihat sebelum ini. Memang Apakku ini kurang senyum dengan kami anak-anaknya. Tetapi dengan rakan taulannya, memang dialah tumpuan gelak ketawa riang gembira.

Ungkapannya yang ringkas dan disertai ukiran kegembiraan di wajahnya telah menyuntik satu motivasi untuk diriku ini menjadi imam dan seterusnya menjadi pemimpin untuk orang-orang yang akan datang. Kata-kata hikmat inilah yang mendorong diri ini sentiasa ingin selangkah ke hadapan daripada orang lain di sudut yang menjadi ‘niche” diri ini hingga kini.

Di Pintu Kaabah

Aku letakkan dahiku pula di atas marmar putih yang dingin nyaman menghadap Kaabah, untuk kusambung doa keampunan daripada Allah atas dosa-dosaku terhadap Almarhum Apak.

“Ya Allah, Engkau ampunilah dosa-dosaku terhadap Apakku, dosa-dosa yang sengaja dan tidak sengaja, dosa-dosa yang sedar dan yang tidak sedar kulakukan kepada Apak dan dosa-dosa semasa dia hidup dan selepas ini.”

Aku masih ingat, satu malam, selepas waktu isyak, Apak pulang dari surau dan terus meniarap di atas katilnya. Adik-adik dan abang sudah memahami dan mereka terus memencilkan diri di luar rumah dan ada yang sibuk-sibuk mengambil buku membuat homework. Aku yang lambat memahami keadaan tersebut, terpaksa sendirian memenuhi permintaan Apak. Satu kerja yang amat menjemukan ialah memijak belakangnya. Malam itu aku terlampau bosan dan letih. Baru sahaja enam atau tujuh pijakan, aku tinggalkan Apak tanpa izinnya. Disebabkan keingkaranku inilah, semua kami adik-beradik kena marah. Selepas peristiwa itu, kami berpakat secara berpasukan memijak Apak bergilir-gilir. Setiap orang memijak Apak selama dua puluh pijakan. Akhirnya Apak pun puas, dan kami pun tidak bosan memijaknya - satu lagi pengajaran kerja berpasukan yang telah kami peroleh daripada Apak tanpa disedarinya.

Satu lagi pengajaran yang kuperoleh daripada Apak ialah apabila membuat kerja hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila MCKK cuti penggal, aku bersama abang membantu Apak mencuti tandas bermula dari Blok Prep hinggalah ke blok asrama dekat dengan Masjid Ridzuaniah. Salah satu faktor yang memotivasikan kami membantu Apak ialah mendapat pakaian "baru" untuk dipakai sama ada untuk berhari raya atau pakaian harian. Pakaian-pakaian itu (baju, seluar, kasut, stokin dan macam-macam) bukan dibeli atau diberi oleh Apak sebagai upah tetapi "habuan" daripada asrama MCKK. Biasanya selepas tugas kami selesai dengan sempurna, Apak akan berikan lampu hijau, kami pun meluru "mencuri-curi" masuk ke dalam asrama mencari pakaian-pakaian yang dibuang, buku-buku yang disepah-sepah dan "harta" yang ditinggalkan oleh pelajar-pelajar MCKK yang telah kembali ke kampung masing-masing.

Pada masa itu, kami merasakan seperti sedang "shopping' sakan, menyelongkar setiap almari mencari pakaian yang sesuai dengan citarasa. Kekadang tu kami jemput juga rakan-rakan sejiran berek pekerja MCKK Jalan Idris bersama "shopping". Alangkah bertuahnya rasa di hati dapat memperagakan pakaian "baru" itu. Kalau aku bergaya di depan rakan-rakan yang tahu "rahsia"nya... dia orang akan menyindir "eleh, barang kolet." Maknanya pakaian buangan pelajar-pelajar Malay College.

Biasanya waktu malam, Apak akan bertanyakan kepada kami, apa yang kami dapat tadi. Kami pun dengan megah melonggokkan pakaian, seluar, kasut dan lain-lain aksesori di depannya sambil menceritakan kehebatan masing-masing mencari yang terbaik untuk diri masing-masing. Kelihatan senyum dibibirnya namun tidak semanis tawa kebiasaannya. Dewasa ini aku baru perasan, mungkin dia berkata dalam hatinya, "Ya Allah, Engkau halalkanlah rezeki yang Engkau berikan kepada anak-anakku ini, kerana itulah aku mampu berikan kepada mereka." Inilah pengajaran yang aku peroleh iaitu setiap usaha yang kita lakukan, jika bersungguh-sungguh hingga selesai, semua orang akan suka dan berpuas hati kepada kita.

Semasa remaja, Apakku adalah seorang penari zapin di kampungnya. Biasanya kalau majlis kenduri kahwin, pada waktu malamnya, semasa orang-orang kampung berehat meraikan petugas-petugas siang tadi, orang akan memanggil nama Apak untuk ke tengah memulakan tarian zapin. Bila sudah menjadi ayah, dia tetap tangkas dengan penuh keyakinan. Kulihat Apak memulakan langkahnya berlenggok bersama irama gemalai itu. Menjadi kemegahan pula dalam diriku ini atas kehebatan Apakku. Bakat ini jugalah yang telah mengalir ke dalam darahku hingga aku minat berlakon semasa di sekolah dan di UPM. Daripada lakonan itu jugalah terbitnya nama Pak Utih semasa aku bermain teater terbuka “Uda dan Dara” arahan Rahim Razali di bawah pimpinan Almarhum Usman Awang pada awal tahun 1974.

Seteguk Air Zamzam

Setelah bangun dari sujud syukur, inginku sambung doaku, namun terasa kering tekakku, lalu kucapai botol mineral buatan Malaysia yang isiannya air zamzam yang sentiasa bersamaku. Botol ini mengingatkan aku apa yang dipesan oleh Mak iaitu agar sentiasa banyak meminum air apabila berada di Tanah Suci. Terbayang wajah ibuku pula. Setelah kubasahi laluan nafasku dengan air yang penuh dengan keberkatan ini, kuangkat tinggi tanganku memohon doa sambil memandang ke hujung pancur Kaabah yang kelihatan gelap di sebalik bayangan sinar matahari senja.

“Ya Allah, ampunilah juga Makku yang telah menjaga Apak dengan penuh kesabaran terutamanya tahun-tahun terakhir hayatnya, sebagaimana sabarnya isteri Nabi Ayub a.s. ”

Dapat kugambarkan betapa sabarnya Mak melayani cabaran penyakit epilepsi Apak, terutama sekali dua tahun akhir hayatnya, yang hampir-hampir merungkai ketaatannya. Kalau sawannya “tarik”, seluruh keluarga yang ada di rumah bingkas menjaga Apak yang menggelupur hilang kawalan, agar dirinya tidak dilukai atau melukai. Apabila dia sedar kembali, biasanya dia kebingungan. Tetapi kalau dia marah, cepat saja dia ‘melenting’ walaupun atas perkara yang kecil. Seluruh taman perumahan bergegar mendengar suara tempikannya. Kalau dia mengamuk pula, kami yang ada bersama kecut perut melarikan diri melainkan Mak. Akhirnya dia keletihan dan tertidur. Masa inilah kami adik-beradik mengusap kepala, mengurut badan dan menyapu ubat luka pada mana-mana badannya yang terluka semasa sawan tadi.

Panas baran Apak yang luar biasa inilah yang mendorong adikku Shima mengundang Ustaz Ismail Kamus datang ke rumah untuk mengubati penyakit Apak ini. Selepas sakanya di”buang” oleh Ustaz Ismail Kamus, Apak menjadi lemah dan terlantar di baringannya selama setahun. Pada kala inilah pengorbanan Mak kepada Apak sangat tinggi nilainya. Waktu pagi dimandikan, dibasuhkan kekotoran, disikat dan didandan, disuapkan roti dan nasi lemak kegemarannya, diberi ubat mengikut jadualnya, didudukkan bila tetamu datang menziarahinya. Sempat juga aku menjaga Apak bersama anak-anakku selama dua hari. Aku sengaja menyuruh Mak pergi kenduri anak kepada abangku, cucunya, untuk “take a break” buat dirinya yang telah lama menjaga Apak. Walaupun begitu, setiap dua jam, Mak akan menelefonku menanyakan khabar berita kesihatan Apak yang di bawah jagaanku. Bagiku, tanpa Apak sedari, peranannya sebagai suami yang berkesan ini telah membuatkan kasih dan rahmah Mak kepadanya bertambah suci dan menguatkan kesabaran Mak menjaga dan melayan Apak hingga ke akhir hayatnya. Sebelum nafasnya yang terakhir, sedang Mak menunaikan solat asar, saudara mara yang mengeliling Apak mengadu kepada Mak yang sawan Apak “tarik” lagi. Mak pun merapati Apak dan terasa kelainan cara tarikan sawannya ini. Terus Mak meminta ampun kepada Apak dan disambut dengan anggukan kepalanya. Mak meminta Apak mengucap dan beberapa tika selepas itu, jasadnya terkulai tanpa nyawa lagi.

Hembusan Bayu di Bumbung Masjidil Haram

Kukucup kedua tapak tanganku untuk menutupi doaku. Sambil mengesat linangan air mata di pipiku, aku bangun dan bergegas keluar daripada Masjidilharam melalui Babus Salam menuju ke Bin Dawood Shopping Complex. Isteriku menanti dengan raut muka yang empati. Aku meyakinkannya yang hatiku telah redha dan lega kerana dapat menyempurnakan solat ghaib jenazah dan doa khas untuk Apak di depan pintu Kaabah. Setiba di hotel Cordova tempat penginapan jemaah haji, aku kumpulkan keenam-enam rakan sebilik dan aku ceritakan peristiwa ini kepada mereka. Ketenangan hatiku menyebabkan rakan-rakan sebilik juga tenang mendengarnya. Selepas solat isyak pada malam itu, kami berempat menapak tangga naik ke bumbung Masjidilharam menyempurnakan sekali lagi solat ghaib jenazah dan menghadiahkan bacaan Yasin kepada Almarhum Apak. Semasa ayat demi ayat dibaca, hembusan dingin malam di atas bumbung, dengan sahutan doa dan zikir tawaf dari ratusan jemaah yang bergema di sekeliling Kaabah, menyepadukan doa dan harapan kami, seolah-olah ribuan tangan menadah ke langit memohon restu dan keampunan untuk roh ayahku. Allahu Rabbi! Allahu Akbar! Selesai bacaan dan doa untuk Apak dan untuk kami yang hidup ini, kami menjenguk ke bawah melihat putaran manusia beralun bertawaf berpandukan satu paksi yang terus-menerus hidup hingga ke akhir zaman. Mereka hanya akan berhenti apabila panggilan Illahi menunaikan solat fardu berkumandang. Begitulah keadaan manusia di dunia ini. Kita akan hidup dan terus hidup bersama-sama dengan masyarakat sekeliling, mempelajari dan mengajari sesama kita tanpa kita sedari atau sebaliknya sehinggalah kita dipanggil oleh Allah untuk bertemu-Nya.

Aku bersyukur kepada Allah yang telah menjadikan Pak Uda sebagai bapaku yang telah banyak memberikan cahaya kepada kehidupanku ini walaupun tiada pelita di tangannya.

Ayahku Penyuluh Tanpa Pelita
Almarhum Apak dan Mak bergambar di hadapan rumah berek Jalan Idris, Kuala Kangsar sewaktu hari raya. Umur Apak ketika itu lebih kurang 45 tahun.

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook