Selasa, 21 Oktober 2014

Kemaskini Terakhir10:29:57 PM EST

Anda di sini: Kolumnis > Ruzain Syukur M. > Unsur sihir, khurafat dalam filem pengaruhi minda masyarakat

Unsur sihir, khurafat dalam filem pengaruhi minda masyarakat

Share

seram

Akhbar Berita Harian melalui kolum nasionalnya pada 10 Januari 2011 telah menyiarkan sebuah berita bertajuk “Ustaz bukan penghalau hantu: Tanggungjawab sebenar pendakwah dalam filem seram perlu diperbetul”. Berita tersebut turut memuatkan petikan pendapat Ustaz Mohd Azahari Yusuf, Pensyarah Pusat Islam, Universiti Putra Malaysia sepertimana yang dilaporkan Bernama.

Beliau mengatakan bahawa “pengarah dan penulis skrip kalau mahu mewujudkan watak ustaz perlu terlebih dulu peka terhadap peranan besar yang dimainkan oleh pendakwah atau ustaz dan bukan menyempitkan peranan itu hanya setakat penghalau hantu atau makhluk halus semata-mata.”

Manakala bagi pendakwah bebas, Ustaz Daud Che Ngah dalam berita yang sama berkata “Unsur seram dan ganas dalam filem menyebabkan orang ramai, khususnya kanak-kanak lebih takut kepada watak hantu daripada Allah dan ia tidak sewajarnya kerana melemahkan minda umat Islam.”

Namun, pandangan ini disanggah oleh Presiden Pengeluar Filem Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah melalui berita yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian pada 11 Januari 2011. Beliau dilaporkan berkata “penerbit filem menerbitkankan filem yang memang genre ditetapkan adalah seram dan ia bukan filem mengenai kisah hidup ahli agama. Watak ustaz diwujudkan bagi memberikan moral atau nasihat kepada penonton yang menonton filem berkenaan.”

Pada pendapat penulis, isu ini telah menimbulkan polemik berikut:

Pandangan pendakwah:

1. Pendakwah melihat usaha menonjolkan ustaz sebagai watak penghalau hantu akan menyempitkan bidang tugas mereka di bidang agama.

2. Pendakwah juga melihat watak ustaz yang dilakonkan membaca doa, ayat al-Quran yang bercampur baur dengan jampi serapah serta unsur lawak sebagai suatu yang penonjolan yang boleh merosakkan akidah.

3. Pendakwah melihat sesetengah penerbit filem dan drama tidak menjalankan kajian mendalam terhadap keperluan mengetengahkan watak ustaz ketika menjalankan pengubatan.

4. Unsur seram dan tahyul serta khurafat yang keterlaluan akan menyebabkan rasa ketakutan yang mendalam terhadap hantu berbanding Allah.

Pandangan penerbit filem dan drama:

1. Watak ustaz yang ditonjolkan sebagai bomoh sebagai usaha menonjolkan peranan pendakwah di tengah-tengah masyarakat.

2. Peranan ustaz diselitkan untuk memberikan unsur nilai, kesedaran dan pengajaran yang baik.

3. Orang agama telah dirujuk ketika mahu menonjolkan watak ustaz dalam filem dan drama.

Pandangan masyarakat.

1. Seolah-olah wujudnya perlumbaan daripada penerbit filem dan drama untuk menerbitkan filem berunsur seram, khurafat dan seumpama dengannya.

2. Para pendakwah dimomokkan dengan peranan menghalau jin dan hantu serta mempunyai kuasa dalaman yang menakjubkan (melihat perkara ghaib).

3. Pandangan yang tidak selari antara pendakwah dan pengarah filem tentang watak dan peranan ustaz yang ingin ditonjolkan dalam filem.

Jika mahu melihat fenomena ini sebagai suatu perlumbaan, Rahim Aziz dalam artikelnya bertajuk “Filem Sebagai Perniagaan” (Dewan Ekonomi, Januari 2011) mengatakan bahawa jumlah kutipan tiket global mencecah paras USD29.9 bilion (RM92.69 bilion) pada tahun 2009. Beliau menambah, 10 buah filem genre terbaik berdasarkan data tersebut adalah bergenre fantasi dan pengembaraan.

Manakala Siti Hadijah Umor melaporkan dalam Dewan Ekonomi edisi yang sama, filem “Jangan Pandang Belakang Congkak” terbitan Metrowealth International Group (MIG) mencatat kutipan jualan tiket RM6.5 juta. Manakala filem Ngangkung terbitan syarikat yang sama mengutip kutipan tiket sebanyak RM8 juta .

Ada ketikanya, watak bomoh ditonjolkan berkawan rapat dengan hantu dan mempunyai kuasa untuk menyembuhkan gangguan syaitan. Mempercayai perkara ghaib itu perkara wajib, tetapi mempercayai bomoh mempunyai kuasa untuk berdamping dan menguasai jin adalah membawa kepada khurafat dan sesat.

Agak merisaukan, jika unsur seram dan ganas akan menyebabkan orang ramai lebih takut kepada kepada hantu berbanding Allah terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Kepercayaan yang mendalam kepada unsur sihir, mistik dan khurafat ini akan melemahkan minda masyarakat.

Pada saat guru-guru di sekolah menekankan aspek kepercayaan kepada Allah yang Esa kepada anak-anak ini, golongan penerbit filem dan drama pula sibuk menyogokkan amalan khurafat dan unsur menakutkan terhadap jin dan hantu. Tambahan, usaha ini mengelirukan kanak-kanak antara mempercayai perkara ghaib dengan persepsi mempercayai kehebatan syaitan dan jin. Di manakah keselarian antara pendidik dan masyarakat terhadap usaha menanamkan pendidikan akidah kepada kanak-kanak? Ia bahkan dilihat sebagai suatu usaha yang kontra antara satu sama lain.

Dr Danial Zainal Abidin dalam bukunya, “Bahan Berdakwah Untuk Remaja Moden” berpendapat bahawa khurafat dan tahyul serta amalan yang tidak bersandarkan al-Quran dan sunnah adalah sebahagian daripada jahiliah yang sesat. Beliau menambah khurafat dan tahyul membawa seseorang itu kepada syirik.

Manakala al-Baydawi dalam “Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil” mentakrifkan sihir sebagai sesuatu yang dihasilkan dengan cara mendekati syaitan. Maka, mendekati amalan sihir ini walaupun melalui lakonan ditakuti menyebabkan para penonton mempercayai kuasa bomoh dan mistik secara keterlaluan. Ia mungkin boleh menjejaskan akidah jika tidak ditangani dengan baik. Malah mempercayai bahawa syaitan berkuasa mengetahui perkara ghaib juga dikhuatiri membahayakan akidah. Tidak ada sesiapa pun yang lebih memahami perkara ghaib ini kecuali Allah, sebagaimana maksud firman Allah dalam al-Quran:

“Katakanlah wahai (Muhammad), sesiapa pun, baik di langit mahupun di bumi tidak ada yang mengetahui perkara ghaib kecuali Allah, bahkan mereka tidak mengetahui bila mereka akan dibangkitkan (kiamat).”

(Al-Naml 27: 65)

Aizan Hj Ali dan Mohd Yakub@Zulkifli hj Mohd Yusoff dalam artikelnya dalam sebuah jurnal bertajuk “Sejarah Amalan Sihir di Zaman Para Nabi Menurut Sumber Tafsir dan Hadith” merumuskan bahawa kedangkalan ilmu menyebabkan manusia mempercayai perkara-perkara yang mustahil.

Sebagai ulasan kepada pandangan ini, saya berpendapat bahawa ada kemungkinan kejahilan penonton sesuatu filem atau drama akan menyebabkannya mempercayai perkara sihir dan kepercayaan karut yang ditontonnya. Jhal ini akan membahayakan akidahnya. Manakala aspek kebertanggungjawaban penulis skrip dan penerbit filem dan drama yang diterbitkan haruslah diletakkan di tempat utama. Aspek komersial tidak harus mengetepikan aspek pegangan akidah. Diakui, filem dan drama boleh menjadi medium yang membawa mesej dan nilai murni jika digarap dengan baik. Maka di sinilah para ilmuan Islam perlu dirujuk oleh para pemain industri filem dan drama. Moga apa yang kabur dapat dijernihkan.

(Ruzain Syukur Mansor merupakan calon Sarjana Dakwah dan Pembangunan Insan Akademi Pengajian Islam di Universiti Malaya dengan bidang kajian media dakwah.)

Comments  

 
0 #1 Azizi 2013-02-04 12:41
Beginilah perangai manusia bila wang dan pengiktirafan jadi keutamaan...Dosa dan pahala tidak dipedulikan,pan dangan pendakwah ditepis sewenang2nya,al asan demi alasan diberikan asalkan dapat diteruskan usaha menjahanamkan bangsa sendiri..saya pelik,adakah penerbit di malaysia sudah ketandusan idea?kalau nak citer jer mesti ada unsur hantu..kalau tak pun cintan cintun..citer genre lain xboleh buat ker??nak buat citer seram kena seimbangkan dengan penekanan unsur ketuhanan kepada Yang Esa..jangan sampai "ALLAH YANG TEGUR" baru nak sedar..sekali DIA tegur,menyesal pun mungkin dah terlambat..
Quote
 

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook