Jumaat, 24 Mei 2013

Kemaskini Terakhir04:25:34 PM EST

Anda di sini: Kolumnis > Ruzain Syukur M. > Memperkasa kerjaya graduan Pengajian Islam – Bahagian III

Memperkasa kerjaya graduan Pengajian Islam – Bahagian III

Share

dakwah it

Kerjaya di dunia siber

Ada kalanya internet digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk mengelirukan masyarakat. Laman web www.suralikeit.com telah memaparkan surah-surah palsu yang kononnya mahu menyaingi kehebatan al-Quran seperti surah Araja, al-Mukataa, al-Usfoor, ad-Dua dan al-Wasaya yang lengkap dengan terjemahan dalam bahasa inggeris.

Maka sudah tentu golongan bijak pandai teknologi maklumat berperanan untuk menampan web ini ataupun menguar-uarkan kepalsuan surah ini melalui internet, seterusnya menyediakan web alternatif yang sesuai.

Nama Tuan Hassan Tuan Lah mungkilah tidak begitu dikenali, tetapi sumbangan Pengurus Strategi Perniagaan Telekom Malaysia ini dalam usaha dakwah di alam maya adalah sesuatu yang amat dibanggakan. Beliau merupakan salah seorang daripada pengasas laman web al-Ahkam, http://al-ahkam.net iaitu laman web mengenai Islam secara digital.

Beliau banyak terlibat dengan kitab-kitab yang ditulis oleh Syeikh Hassan al-Banna, Syed Qutb, Ustaz Fathy Yakan dan Dr Abd Karim Zaidan. Buku-buku inilah banyak mempengaruhi pemikiran beliau untuk berdakwah. Beliau turut menganggotai pertubuhan dakwah Islam untuk memperkukuh semangat menyebarkan dakwah.

Walaupun tidak memiliki ijazah khusus Pengajian Islam, tetapi kemampuan untuk mendalami Islam di samping kemampuan untuk berdamping dengan teknlogi maklumat membuatkan pakar IT ini turut sama menyumbang usaha membantu proses dakwah.

Apatah lagi graduan Pengajian Islam yang sebenarnya sudah dididik dengan ilmu-ilmu Islam, pastinya betah untuk mengutarakan hujah-hujah bernas khususnya mematahkan segala penyelewengan akidah di internet. Cuma ilmu-ilmu berteraskan teknologi, reka cipta laman web dan blog perlulah dimahirkan terlebih dahulu sebelum berdakwah di alam siber.

Kemudian anda boleh berdakwah di alam maya dengan mengasaskan laman web berunsurkan informasi Islam. Selain itu, anda boleh menawarkan perkhidmatan membina web bagi organisasi dakwah untuk memperluas jaringan ukhuwah serta gerak kerja.

Kerjaya sebagai pereka animasi dan multimedia

Sewaktu penulis mengendalikan sesi ceramah interaktif menggunakan bahan multimedia terutamanya kepada remaja, nama Dr Hishamuddin Alham, penggerak dakwah JIM negeri Johor yang merupakan pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia tidak pernah luput dari ingatan. Kemampuannya menghasilkan bahan ceramah berbentuk multimedia amat mengagumkan penulis. Begitulah sifat pendakwah tulen yang cukup memahami keperluan dakwah mengikut peredaran zaman.

Apa yang kita mahukan adalah lebih banyak lagi pakar multimedia yang mampu menghasilkan bahan multimedia yang bakal memudahkan proses penyampaian dakwah. VCD panduan solat dan haji serta mp3 bacaan al-Quran perlu diperbanyak serta dipermudah proses muat turunnya bagi menyaingi nada dering dan klip video lagu-lagu barat yang semakin tersebar luas dan semakin mudah didapati di pasaran.

Selain itu, kanak-kanak sering kali diasak dengan siri-siri kartun dan animasi barat yang mengagungkan hero-hero tertentu seperti Batman, Superman, Spiderman dan lain-lain lagi. Tahukah anda bahawa ini juga agenda tersembunyi musuh Islam untuk mengkhayalkan anak-anak terhadap perintah agama? Adakah anda sedar bahawa waktu tayangannya juga ada kalanya pada waktu-waktu kritikal ketika mana sepatutnya umat Islam mendirikan solat? Dan yang paling penting adakah kita sedar bahawa budaya mengagung-agungkan hero kartun itu juga seolah-olah mahu melupakan kanak-kanak terhadap nama-nama pahlawan-pahlawan Islam yang syahid di medan perang demi mempertahankan Islam?

Ruang dakwah untuk pereka animasi dan kartun sebenarnya terbuka luas. Andai andalah orangnya, gerakkan inovasi dengan menelusuri sejarah silam, ciptakan kembali kegemilangan jagoan Islam dengan penghasilan siri komik dan animasi berkenaan dengan tokoh dan pahlawan Islam. Ia membuka ruang perbincangan antara bijak pandai agama serta tokoh-tokoh sirah untuk bekerjasama dengan pakar teknologi animasi untuk membentuk gabungan golongan “teknoda’i”

Dunia tanpa sempadan membawa dimensi baru kepada dunia dakwah. Kepelbagaian teknologi kini memerlukan pendakwah berinovasi dalam penyampaian dakwah, namun pada masa yang sama tidak meminggirkan metode dakwah asas seperti ceramah, kuliah agama dan sebagainya. Sebaliknya, metodologi asas yang sudah dipraktikkan sejak sekian lama harus diberi nafas baru, mungkin dengan persembahan multimedia sebagai contoh.

Di sinilah peluang untuk graduan Pengajian Islam menabur khidmat membangunkan kerjaya. Kita mahukan golongan ustaz yang celik IT dan menggunakannya sebagai medium untuk berdakwah. Perkasakan kemahiran di bidang IT dan jadikan internet sebagai medan dakwah terkini. Gunakanlah animasi dan multimedia sebagai daya penarik dakwah di samping membangunkan kerjaya sebagai pendakwah yang hebat.

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook