Khamis, 31 Julai 2014

Kemaskini Terakhir08:08:38 PM EST

Anda di sini: Kolumnis > Ustzh Maznah Daud > Wanita dalam bahasa Arab

Wanita dalam bahasa Arab

Share

#

Wujudnya pelbagai bahasa di dunia ini merupakan satu tanda kebesaran Allah yang Maha Esa. Ini dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud:

"Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang- orang yang berpengetahuan."

(Ar-Rum 30:22)

Setiap bahasa mempunyai keistimewaan dan ciri-ciri tersendiri yang membezakannya dengan bahasa-bahasa lain.

Dalam banyak-banyak bahasa, bahasa Arablah yang paling istimewa. Betapa tidak? Ia merupakan bahasa ahli syurga, bahasa yang dipilih oleh Allah untuk menjadi perantara wahyu-Nya kepada sekalian hamba-Nya, bahasa yang ditentukan untuk hamba-Nya bermunajat dalam solat, rukun Islam yang kedua.

Satu daripada keistimewaan bahasa Arab ialah perkataan atau lafaznya mempunyai jantina, muzakkar (مذكر - masculine) dan mu’annath (مؤنث - feminine). Contohnya perkataan syakir (شاكر) bermakna seorang lelaki yang bersyukur. Seorang perempuan yang bersyukur disebut syakirah (شاكرة)

Kata nama mu’annath mempunyai tanda yang mudah dikenal. Di hujungnya terdapat ta marbutah (ة) atau alif maqsurah ( ى ) atau alif mamdudah (آء).

Contoh-contohnya:

مذكر مؤنث makna
محمود محمودة yang dipuji
جميل جميلة yang cantik
أحسن حسنى yang terbaik
أكبر كبرى yang terbesar
أصفر صفرآء yang kuning
أبيض بيضآء yang putih

Kata nama mu’annath terbahagi kepada dua jenis, hakiki dan lafzi.

Mu’annath hakiki ialah perkataan yang mempunyai tanda atau alamat mu’annath dan maknanya merujuk kepada wanita seperti ( فاطمة ), ia mempunyai tanda mu’annath iaitu ta marbutah dan maksudnya adalah nama seorang wanita.

Mu’annath lafzi pula perkataan yang mempunyai tanda mu’annath tetapi maknanya bukan merujuk kepada wanita seperti ( سعادة ) . Sa’adah bermakna kebahagiaan. Bahagia merupakan perasaan yang dimiliki oleh semua insan tanpa mengira lelaki atau wanita. Perasaan tidak mempunyai jantina.

Yang menariknya terdapat banyak perkataan yang menggambarkan keindahan dan kebahagiaan dalam bentuk mu’annath sedangkan lawannya dalam bentuk muzakkar. Perhatikan contoh-contoh berikut:

مذكر makna مؤنث makna
النار neraka الجنة syurga
الحزن duka السعادة bahagia
الموت kematian الحياة kehidupan
التعب kepenatan الراحة kerehatan
الغضب kemarahan الرحمة kasih sayang
المرض kesakitan الصحة kesihatan

Dan banyak lagi contoh yang lain. Maka mu’annath adalah rahsia keindahan alam ini. Mungkin sebab itu Rasulullah s.a.w. berkata bahawa dunia ini adalah sesuatu yang indah dan enak (متاع) dan sebaik-baik متاع ialah wanita solehah.

Walau bagaimanapun, terdapat juga perkataan yang tidak memihak kepada wanita kerana jika dijadikan mu’annath maknanya menjadi buruk. Perkataan-perkataan itu ialah:

1. حي bermakna lelaki yang hidup. Kalau dimu’annahkan jadilah حية. حية bermakna ular.

2. Sekiranya seorang lelaki berkata atau bertindak dengan betul maka dia dikatakan مصيب. Tetapi jika perempuan tidak boleh dikatakan مصيبة kerana مصيبة bermakna mala petaka.

3. قاضي adalah gelaran seorang lelaki yang dilantik untuk mengendalikan perbicaraan di mahkamah. Manakala قاضية pula bermakna bencana besar yang menimpa seseorang wanita.

4. Lelaki yang menjadi anggota dewan rakyat disebut نائب , tetapi wanita yang menjadi anggota dewan rakyat tidak sesuai disebut نائبة kerana نائبة adalah sama ertinya dengan مصيبة

5. Lelaki yang mempunyai minat tertentu yang dilakukan sekadar untuk berhibur disebut هاوي. Kalau perempuan mempunyai minat yang sedemikian, bolehkah dipanggil هاوية? Tentu sekali tidak! هاوية adalah satu daripada nama neraka, na’uzubillahi min zalik!

Sekadar ingin berkongsi sebahagiaan daripada keindahan dan keunikan bahasa al- Quran, moga-moga menjadi dorongan kepada mereka yang belum menguasainya untuk terus belajar dan belajar insya-Allah.

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook