Nas-nas berkaitan dengan himmah aaliah
i) Allah mencela orang tidak mempunyai himmah dan menggambarkan mereka dengan gambaran yang sangat menjelikkan.
“Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami, kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar daripada mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan (dengan godaannya), maka jadilah dia daripada orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya, iia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. Amatlah buruknya bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka pula berlaku zalim kepada diri merela sendiri.”
(Al-A’raf: 175-177)
ii) Allah memuji pula orang yang mempunyai himmah yang tinggi yang dipelopori oleh para Nabi dan Rasul.
“(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya rasul-rasul "Ulul Azmi" (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) daripada kalangan rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu);…”
(Al-Ahqaf: 35)
iii) Mereka disifatkan sebagai ‘rijal’ yang mempunyai kemahuan yang kental, kuat berpegang kepada agama, gigih melakukan kebaikan dan istiqamah dalam ketaatan kepada Allah.
“Antara orang-orang yang beriman itu ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun.”
(Al-Ahzab: 23)
iv) Allah menggalakkan para mukminin agar bersegera dan berlumba-lumba ke arah kebaikan.
“… Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.”
(Al-Maidah: 48)
v) Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda (maksudnya):
“Sekiranya berlaku qiamat, dan ketika itu di tangan kamu ada anak benih, sekiranya kamu mampu untuk menanamnya, tanamlah!”
(Riwayat Muslim)
Baginda juga bersabda (maksudnya):
“…. Apabila kamu memohon kepada Allah, pohonlah al-Firdaus kerana ia syurga paling tengah dan paling tinggi. Di atasnya ‘Arasy ar-Rahman dan darinya terpancar sungai-sungai syurga.”
(Riwayat al-Bukhari)
Bidang-bidang yang memerlukan himmah aaliah
i) Menuntut ilmu. Nabi Musa alaihissalam merupakan sebaik-baik contoh ketika baginda berazam untuk berjalan walaupun terpaksa melintas waktu yang lama untuk menuntut ilmu dengan Khidhir alaihissalam.
“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: ‘Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun.”
(Al-Kahf: 60)
ii) Dalam ibadah. Al-Hasan al-Basri berkata: “Sesiapa yang mengejar kamu dalam urusan agamamu, maka kejarlah dia kembali. Dan sesiapa yang mengejarmu dalam urusan dunia, maka lemparkan saja ke atas tengkuknya.”
Al-Wahib bin al-Ward pula berkata: “Sekiranya kamu mampu bahawa tiada siapa yang mendahuluimu dalam mendekatkan diri kepada Allah, lakukanlah!”
iii) Dalam mencari kebenaran. Banyak contoh yang boleh dipelajari daripada sirah orang-orang dahulu dan kemudian. Antaranya kisah Salman al-Farisi, Abu Dzar al-Ghifari dan lain-lain.
iv) Dalam dakwah. Ini jelas tergambar pada kegigihan para nabi alaihimussalatuwassalam terutama Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Nabi Nuh dan lain-lain.
v) Dalam jihad. Sejarah mencatatkan betapa kegigihan dan kesungguhan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta para sahabat radiallahuanhum di medan jihad menyebar dan mempertahankan Islam sehingga baginda bersabda yang bermasud:
“Sesungguhnya pintu-pintu syurga itu terletak di bawah bayangan pedang-pedang.”
(Riwayat Ahmad dan Muslim)
Sesungguhnya mereka yang memiliki himmah aaliah sahaja yang mampu bertahan dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan. Merekalah yang boleh diharapkan merubah pemikiran dunia dan mengalih aliran kehidupan. Bilangan mereka tidak ramai, tetapi merekalah yang akan menarik umat ini segera bangkit daripada tidur yang lena dan mimpi yang panjang.



