Selasa, 21 Mei 2013

Kemaskini Terakhir10:46:13 AM EST

Anda di sini: Kolumnis > Ustzh Maznah Daud > Cinta ilmu

Cinta ilmu

Share

Terlalu banyak sebab dan alasan kenapa kita wajib mencintai ilmu.

1. Allah menunjukkan kelebihan Adam terhadap malaikat pada ilmu yang Allah anugerahkan kepada Adam. Justeru, malaikat diperintahkan agar tunduk menghormati Adam.

“Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar. Malaikat itu menjawab: Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain daripada apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Allah berfirman: Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan? Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan jadilah dia daripada golongan yang kafir.”

(Al-Baqarah: 31-34)

2. Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah berkaitan dengan ilmu serta proses mendapatkan ilmu.

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku; Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah; yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

(Al-‘Alaq: 1-5)

3. Allah tingkatkan darjat mereka yang berilmu.

“...Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat, dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.”

(Al-Mujadalah: 11)

4. Orang-orang yang berilmu diperakui sebagai golongan yang takut kepada Allah.

“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa lagi Maha Pengampun.”

(Fatir: 28)

5. Allah memerintahkan Nabi agar berdoa supaya ditambahkan ilmu.

“Maka Maha Tinggilah Allah yang Menguasai seluruh alam lagi Yang Benar (pada segala-galanya), dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.”

(To Ha: 114)

6. Tempat menuntut ilmu diibaratkan seperti  taman syurga.

“Apabila kamu melintasi taman-taman syurga, maka hendaklah kamu singgah di situ.” Sahabat bertanya: “Apakah taman-taman syurga itu ya Rasulullah?” Baginda bersabda: “Tempat orang mengingati Allah.”

(At-Tirmizi)

7. Seluruh makhluk berdoa dan memohon ampun untuk guru-guru yang mengajar ilmu.

“Sesungguhnya orang yang berilmu itu, semua makhluk di langit dan di bumi termasuk ikan-ikan di lautan memohon keampunan untuknya.”

(Abu Dawud dan at-Tirmizi)

8. Perjalanan mencari ilmu adalah satu jihad.

“Sesiapa yang keluar (dari rumahnya) dengan tujuan mencari ilmu, maka dia berada di jalan Allah sehinggalah dia pulang.”

(At-Tirmizi)

9. Orang yang keluar mencari ilmu dimudahkan untuknya jalan ke syurga.

“Sesiapa yang merentasi satu jalan untuk mencari ilmu di jalan itu, Allah mudahkannya satu jalan ke syurga.”

(Muslim)

10. Orang yang berilmu merupakan orang yang mewarisi peninggalan para nabi.

“Sesungguhnya orang-orang yang berilmu itu pewaris para nabi. Dan sesungguhnya nabi-nabi tidak meninggalkan dinar dan dirham untuk diwarisi, tetapi mereka meninggalkan ilmu. Maka sesiapa yang mengambilnya (ilmu), sesungguhnya dia telah mengambil habuan sepenuhnya.”

(Abu Dawud dan at-Tirmizi)

11. Peluang meraih pahala yang tidak putus-putus sampai dunia ini kiamat.

“Apabila mati seorang anak Adam, terputuslah amalnya kecuali daripada tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang berdoa untuknya.”

(Muslim)

Dan banyak lagi ayat serta hadis sahih berkaitan dengan kelebihan ilmu yang dikira cukup untuk menjadi pendorong buat kita mencintai ilmu dan mengejarnya hingga ke liang lahad.

Sebuah kisah menarik diceritakan oleh Imam Ahmad bin Hanbal menggambarkan betapa salaf as-soleh, khususnya para sahabat Radiallahuanhum mencintai ilmu. Jabir bin Abdullah Radiallahuanhu berkata:

“Telah sampai kepadaku perkhabaran bahawa terdapat seorang lelaki mendengar sendiri satu hadis daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lalu aku membeli seekor unta sebagai kenderaan, kemudian aku pun berangkat. Setelah satu bulan dalam perjalanan, tibalah aku di negeri Syam. Di situ aku mendapat tahu bahawa lelaki itu adalah Abdullah bin Unais. Setelah tiba di hadapan rumahnya, aku memperkenalkan diriku kepada penjaga pintu. Apabila Abdulullah bin Unais mendengar namaku, dia tergesa-gesa keluar lantas memelukku dan aku memeluknya. Maka aku berkata kepadanya:

“Aku mendengar satu hadis yang disampaikan kepadaku bahawa engkau yang mendengarnya daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berkenaan dengan qisas. Itu yang membuat aku datang ke mari. Aku bimbang engkau mati atau aku mati sebelum aku mendengarnya daripadamu.”

Lalu Abdullah pun menyampaikan apa yang dia dengar, bahawasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda (maksudnya):

“Allah ‘Azza wa Jalla akan menghimpunkan manusia di Padang Mahsyar nanti dalam keadaan telanjang, tidak berkhatan dan tidak membawa apa-apa harta dan bekalan. Tidak akan masuk neraka seseorang yang telah diputuskan sebagai ahli neraka, sedangkan masih terdapat haknya ke atas ahli syurga sebelum Aku tunaikan haknya itu. Dan tidak akan masuk syurga seorang yang telah diputuskan sebagai ahli syurga sedangkan masih terdapat haknya ke atas ahli neraka sebelum aku tunaikan haknya itu.”

Hanya sekadar untuk mendengar sepotong hadis Abdullah bin Jabir sanggup mengeluarkan wang membeli unta dan bermusafir selama sebulan dengan menunggang unta tersebut! Alangkah hebat cintanya kepada ilmu!

Kita bagaimana?

Comments  

 
+1 #1 fatinah 2012-10-21 12:22
[censored]alamu alaikum...
Saya mahu mencadangkan agar disertakan sekali rujukan bagi setiap hasil nukilan untuk dijadikan sumber pengajian dan semakan. Terima kasih.
Quote
 

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook