Khamis, 18 Disember 2014

Kemaskini Terakhir11:36:52 PM EST

Anda di sini: Kolumnis > Ustzh Maznah Daud > Mengenang Haji Wadak

Mengenang Haji Wadak

Share

Kaabah

Bersempena dengan perhimpunan tahunan umat Islam besar-besaran yang sedang berlangsung di tanah suci sekarang, mari kita singkap perhimpunan yang dipimpin sendiri oleh Nabi sallallahu alaihi wasallam di tempat sama kira-kira 1421 tahun yang lalu. Perhimpunan yang dikenali sebagai ‘haji wadak’ atau ‘haji perpisahan’ juga merupakan satu-satunya haji yang ditunaikan oleh baginda sallallahu alaihi wasallam sepanjang hayatnya.

Setelah baginda menyempurnakan tugas menyampaikan dakwah, menyebarkan risalah dan membina masyarakat berlandaskan akidah tauhid yang tulus murni, tibalah masa untuk baginda kembali menghadap Tuhan yang mengutusnya sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir. Seolah-olah baginda dapat merasai dekatnya saat itu sehingga ketika baginda mengutus Muaz menjadi kadi di Yaman, baginda sempat berpesan (maksudnya): “Wahai Muaz, boleh jadi engkau tidak akan bertemu lagi denganku selepas ini. Boleh jadi engkau hanya akan lalu di masjidku ini dan kuburku...” Ucapan itu sungguh menyentuh hati Muaz dan sekalian mukmin yang mendengarnya. Maka menangislah Muaz membayangkan saat perpisahan dengan Rasul tercinta.

Pada tahun ke-10 hijrah, baginda menguar-uarkan hasrat untuk menunaikan haji sebagai menyahut perintah Allah yang telah menurunkan wahyu mewajibkan haji kepada setiap Muslim yang mampu. Firman Allah bermaksud:

“…dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.”

(Ali Imran 3:97)

Berduyun-duyunlah umat Islam datang berkumpul di Madinah untuk mengikuti Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menunaikan fardu haji di Makkah. Baginda bertolak dari Madinah bersama ahli rombongan yang sangat ramai pada 25 Zulkaedah tahun ke-10 hijrah dan tiba di Makkah pada 4 Zulhijah dengan menunggang unta yang bernama al-Qaswa’.

Pada hari Arafah, kemuncak ibadah haji, baginda telah menyampaikan satu khutbah yang cukup-cukup penting di hadapan para jemaah yang terdiri daripada 124,000 atau 44,000 orang. (Ar-Raheeq al-Makhtum). Dalam keadaan berdiri di Batn al-Wadi baginda menyampaikan khutbah berikut (maksudnya):

“Wahai sekalian manusia, dengarlah kata-kataku ini. Sesungguhnya aku tidak mengetahui, boleh jadi aku tidak akan menemui kamu lagi selepas tahun ini di tempat ini selama-lamanya.

Sesungguhnya darah kamu dan harta kamu haram ke atas kamu (mencerobohnya) seperti haramnya hari ini, bulan ini dan negeri ini. Ketahuilah bahawa segala sesuatu daripada urusan jahiliah terletak di bawah tapak kakiku. Tuntutan ke atas darah yang ditumpahkan pada masa jahiliah dibatalkan. Dan yang pertama dibatalkan ialah tuntutan ke atas darah Ibn Rabi’ah bin al-Harith. Riba jahiliah juga dibatalkan. Dan riba pertama yang dibatalkan ialah riba ‘Abbas bin Abdul Muttalib. Semuanya dibatalkan.

Takutlah kamu kepada Allah dalam urusan wanita (isteri-isteri kamu). Sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah, dan dihalalkan kepada kamu kemaluan mereka dengan kalimah Allah. Hak kamu ke atas mereka ialah mereka tidak boleh membenarkan seorang pun yang kamu tidak suka menjejaki hamparanmu. Jika mereka lakukan, maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak mencederakan. Dan hak mereka ke atas kamu ialah makanan serta pakaian dengan cara yang makruf.

Sesungguhnya aku telah tinggalkan pada kamu perkara yang kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengannya, iaitu Kitab Allah. (Sahih Muslim)

Wahai sekalian manusia, sesungguhnya tiada lagi Nabi selepasku dan tiada lagi umat selepas kamu. Maka ingatlah, sembahlah Allah Tuhan kamu, solatlah lima waktu, berpuasalah pada bulan Ramadan, bayarlah zakat harta kamu dengan senang hati, tunaikanlah haji di Baitillah, taatilah pemerintah kamu, nescaya kamu akan memasuki syurga Tuhan kamu.

Dan kamu akan ditanya tentang aku. Maka apakah jawapan kamu?

Mereka menjawab: “Kami bersaksi bahawa engkau telah menyampaikan, telah menunaikan amanah dan telah menasihatkan ummah.”

Maka baginda menghalakan jari telunjuk ke langit dan menggerak-gerakkannya ke arah manusia sambil bersabda “اللهم اشهد “ tiga kali.

Selepas menyampaikan khutbah yang penuh makna itu, turunlah wahyu daripada Allah taala yang bermaksud:

“...Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu...”

(Al-Maidah 5:3)

Ketika mendengar ayat itu, Umar bin al-Khattab r.a. terus menangis. Apabila ditanya sebab beliau menangis, beliau menjawab: “Sesungguhnya tiada lagi selepas kesempurnaan melainkan kekurangan.” (Al-Bukhari)

Khutbah yang disampaikan mengandungi beberapa pengajaran yang perlu direnungi dan diikuti. Antaranya:

1. Meskipun berucap di hadapan jemaah haji yang terdiri daripada orang-orang Islam yang beriman, baginda menggunakan seruan wahai sekalian manusia. Baginda tidak menyeru wahai Muslimin atau wahai Mukminin, apa lagi wahai orang Arab yang merupakan bangsanya. Ini jelas menunjukkan bahawa ajaran baginda ditujukan kepada seluruh manusia tanpa mengira bangsa dan agama.

2. Baginda telah mengisytiharkan suatu deklarasi yang menjamin hak asasi manusia, nyawa dan harta. Kehormatan kedua-duanya adalah sama dengan kehormatan bulan haram, di tanah haram. Ertinya ia haram dicerobohi dan tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya.

3. Keprihatinan baginda terhadap wanita dipertegaskan dengan ucapan bahawa lelaki yang diamanahkan menjadi pelindung wanita tidak harus lupa adanya Tuhan yang lebih gagah menguasai mereka. Justeru, jangan sekali-kali menzalimi wanita di bawah jagaan mereka.

4. Al-Quran adalah sumber rujukan yang menjamin kesejahteraan hidup manusia sepanjang zaman.

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook