Datuk Dr Hassan Mohamed Ali dinasihati supaya memuhasabah diri sendiri mengapa beliau dipecat keahliannya dan bukannya meletakkan kesilapan diri terhadap orang lain dengan mewujudkan fitnah ‘parasit ‘ dan sebagainya.
Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) seperti yang diedarkan kepada media hari ini.
Timbalan Ketuanya, Mohd Sany Hamzan berkata, sekiranya wujud parasit dalam PAS seperti yang disebut maka sewajarnya beliau membuat laporan kepada Presiden PAS untuk diambil tindakan susulan dan bukannya ‘menjaja’ di dada-dada akhbar semata-mata untuk mengharapkan simpati masyarakat.
“Sebagai orang yang pernah memegang jawatan tinggi di dalam PAS dan berpengalaman sebagai seorang ahli motivasi, Datuk Hassan sepatutnya berjiwa besar untuk menerima teguran dan keputusan parti serta mengikut prosedur parti untuk merayu keputusan pemecatan beliau. Tetapi beliau telah menunjukkan ‘belang’ sebagai seorang yang egois, degil, sombong dan tidak boleh ‘dikawal’ oleh peraturan parti,” katanya.
DPPNS melihat tindakan Hassan ingin ‘menjelajah’ seluruh negeri dan negara untuk ‘membela’ diri dan ‘mendedahkan parasit’ yang menyebabkan beliau dipecat hanya akan mendapat cemuhan dan cercaan masyarakat serta menghilangkan hormat rakyat kepada beliau kerana rakyat telah mengikuti kronologi pemecatan beliau dan telah ‘mengenali’ siapa Hassan Ali yang sebenarnya.
“DPPNS tidak akan berdiam diri malah bersedia untuk ‘menjelajah’ seluruh negeri Selangor untuk menjawab tohmahan dan fitnah Datuk Hassan terhadap PAS sekiranya beliau masih lagi memperlekehkan dan menghentam PAS secara terbuka,” ujar beliau tegas.
Oleh itu, katanya, DPPNS mengharapkan semoga Hassan akan menyedari kesalahan dan kesilapan yang telah beliau lakukan terhadap parti PAS dan memohon maaf kepada seluruh pimpinan dan ahli PAS di atas segala ketelanjuran dan keceluparan beliau sebelum ini.
“Janganlah disebabkan kehilangan jawatan dan kuasa menyebabkan maruah diri sanggup digadaikan dan diperkudakan oleh UMNO/Barisan Nasional,” katanya mengakhiri kenyataan.
