Khamis, 31 Julai 2014

Kemaskini Terakhir08:08:38 PM EST

Anda di sini: Nasional > Jangan berjalan sebelah kaki – Nik Aziz

Jangan berjalan sebelah kaki – Nik Aziz

Share

nik azizKOTA BHARU – “Jangan berjalan sebelah kaki, nanti pincang mengatur langkah,” kata Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat secara sinis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar tentang kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Hussin tentang Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang dan menimbulkan kekacauan di dalam negara.

“Saya bersetuju bahawa perhimpunan yang bertujuan untuk mencetuskan huru-hara dan merosakkan harta benda adalah haram,” katanya.

Bagaimanapun, apabila dikaitkan dengan himpunan BERSIH 3.0 yang dikatakan menimbulkan huru-hara, beliau berpandangan bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan dengan hanya menggunakan pandangan sebelah mata.

“Mata yang digunakan pula kabur dengan cermin mata yang telah pun rosak.”

Beliau menghormati ahli-ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dengan setinggi-tinggi perhormatan namun dalam hal ini beliau amat berbeza dengan pendirian yang dikemukakan oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan itu.

“Tidakkah disedari bahawa Himpunan BERSIH 3.0 bukannya bertujuan untuk mencetuskan huru-hara? Himpunan ini menggariskan lapan tuntutan untuk membersihkan pilihan raya bukannya mencetuskan huru-hara, jauh sekali untuk menjatuhkan kerajaan melalui jalan raya.”

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, “Jika dikatakan menggunakan cara beradab dibenarkan, maka suka saya bertanya, apakah jalan beradab yang lebih aman melainkan pergi dan duduk?”

“Pernahkah Majlis Fatwa memandang dan memahami di sebalik lapan tuntutan yang dikemukakan oleh BERSIH untuk mengatasi isu pengundi hantu dan penipuan di dalam pilihan raya yang implikasinya lebih besar kepada negara?” soalnya lagi.

Menurutnya lagi, beliau yakin bahawa fatwa ini hanya laporan akhbar prokerajaan sahaja tanpa mendapat penjelasan dari penganjur BERSIH 3.0 sebelum membuat pertimbangan.

“Justeru, soalan saya ialah fatwakah namanya sekiranya tanpa penjelasan daripada kedua-dua belah pihak, terus sahaja dijatuhkan hukuman?”

Beliau menjelaskan lagi, huru-hara tercetus jika ia dihalang. “Seandainya himpunan di Gua Musang dan RTC, Kota Bharu ketika kedatangan Perdana Menteri baru-baru ini ke Kelantan dihalang dan disembur dengan air, tidak mustahil ia turut menjadi huru-hara.

“Jika BERSIH berhimpun dianggap haram, apa pula hukum perhimpunan Presiden UMNO di Gua Musang dan RTC baru-baru ini yang tujuannya jelas mengajak rakyat menukar kerajaan Kelantan?” soalnya tegas.

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook