Selasa, 29 Julai 2014

Kemaskini Terakhir10:29:12 PM EST

Anda di sini: Nasional > Pelihara kredibiliti Majlis Fatwa - Tuan Ibrahim

Pelihara kredibiliti Majlis Fatwa - Tuan Ibrahim

Share

KUANTAN - Kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa haram untuk menyertai perhimpunan yang mencetuskan huru-hara dengan mengaitkannya dengan perhimpunan BERSIH 3.0 telah menimbulkan pelbagai komentar dan kritikan.


“Tindakan ini dilihat sangat tidak baik dan tidak sihat kerana kedudukan Majlis Fatwa yang sangat tinggi di kaca mata umat Islam kini dipertikai,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sebagaimana yang diketahui, Majlis Fatwa merupakan institusi tertinggi dan kredibilitinya dalam mengeluarkan fatwa seharusnya sentiasa dihormati dam dirujuk, namun episod terbaru ini telah menyebabkan ramai yang mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa.

“Sebagai seorang Islam, semua pihak boleh menyatakan pandangan dan kritikan. Namun fatwa terbaru ini turut dipertikaikan oleh golongan ulama, jadi ia perlu diberi perhatian.”

Menurutnya, beliau melihat kenyataan Majlis Fatwa bukanlah perkara pelik atau bercanggah dengan nas.

“Inilah yang dinyatakan oleh Tuan Guru Nik Aziz yang menyokong kenyataan tersebut, iaitu bahawa menyertai perhimpunan yang bertujuan untuk menimbulkan huru-hara, merosakkan harta awam dan ketenteraman awam adalah bertentangan dengan Islam,” katanya.

Kata Tuan Ibrahim, kenyataan ini tidak perlu dipertikai oleh mana-mana pihak, dan PAS juga tidak mempertikaikan kenyataan tersebut.

“Namun apa yang mendukacitakan ialah Majlis Fatwa seolah-olah menghukum ribuan rakyat yang hadir sebagai telah melakukan perkara bertentangan syarak dengan menghadirkan diri dalam BERSIH 3.0.”

Walhal katanya, seseorang yang hadir dalam mana-mana demonstrasi aman tidak bercanggah dengan hukum syarak, lebih-lebih lagi jika ia adalah sebahagian daripada  penentangan terhadap kemungkaran sistem politik.

“Mungkar bukan hanya melibatkan minum arak, berzina atau merompak, malah sebenarnya mungkar yang lebih besar melibatkan sistem yang rosak, rasuah, menyeleweng dan salahguna kuasa,” demikian jelasnya.

“Melihat kepada kemungkaran ini, sepatutnya para ulama dan seluruh ahli Majlis Fatwa turun bersama-sama rakyat dalam himpunan BERSIH 3.0 bagi  menuntut sistem yang adil kerana ini menepati tuntutan syarak.”

Menurut beliau, pencetus kekecohan adalah golongan yang melakukan kemungkaran dalam himpunan tersebut, apatah lagi tindakan memukul, menyepak dan mendera orang ramai yang tidak melakukan sebarang keganasan jelas bertentangan dengan semua nilai sejagat.

“PAS tidak bersetuju dengan kenyataan Majlis Fatwa yang dibuat berdasarkan maklumat tidak tepat, rakaman peristiwa yang telah diedit dan sebagai orang yang bukan berada di lapangan,” ujar beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Dalam pada itu katanya, Fatwa tidak boleh dikeluarkan tanpa memahami realiti keadaan dan tujuan himpunan, apatah lagi apabila fatwa dibuat berdasarkan maklumat yang  diselewengkan oleh media perdana dengan menggambarkan orang ramailah yang membuat huru-hara dan kekecohan.

“Fatwa hanya melarang  menyertai perhimpunan untuk menimbulkan huru-hara dan keganasan. Jadi, siapa yang menimbulkan huru-hara sepatutnya diberi fokus -  iaitu pasukan polis dan FRU yang mencetuskan suasana kecoh dan gawat.”

PAS melihat Majlis Fatwa perlu mempunyai saluran media sendiri, atau melalui satu sidang media melibatkan semua pihak bagi menyalurkan pandangan dan fatwa dengan memberi penjelasan terperinci bagi sebarang fatwa yang dikeluarkan. Dengan cara ini, ia boleh mengurangkan spin kepada kenyataan yang dikeluarkan sehingga dipertikaikan kewibawaannya.

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook