Anda di sini: Nasional > Serah memo, solat hajat untuk keselamatan umat Islam Rohingya

Serah memo, solat hajat untuk keselamatan umat Islam Rohingya

Share

KUALA LUMPUR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam (MAPIM) akan mengetuai penyerahan memorandum Badan Bertindak Rakyat Malaysia Selamatkan Umat Islam Rohingya di keduataan Myanmar di Kuala Lumpur pada 15 Jun 2012 (esok) selepas solat Jumaat.


Setiausaha Agung MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata acara tersebut akan bermula dengan perarakan dari Masjid Tabung Haji Kuala Lumpur.

“Memo tersebut adalah hasil persetujuan 37 organisasi Islam di Malaysia yang menyatakan pendirian tegas mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam yang telah dilakukan ke atas umat Islam Rohingya sejak 3 Jun 2012 yang lalu,” ujarnya.

Menurutnya, laporan terakhir yang diperoleh adalah bahawa lebih 1,500 orang Islam Rohingya telah dibunuh dengan kejam.

“Mereka ditembak oleh pihak keselamatan jika keluar dari rumah. Lebih 20 perkampungan Islam telah dibakar oleh etnik Rakhine dan mereka pula mendapat sokongan daripada pihak polis, tentera serta polis antirusuhan.

Berikutan itu, MAPIM mengalu-alukan penyertaan semua ahli masyarakat sama ada badan bukan kerajaan (NGO) atau parti politik yang cintakan keamanan dan keadilan supaya turut serta dalam penyerahan memo tersebut.

“Saya menyeru kepada rakyat Malaysia agar tidak berdiam diri terhadap kekejaman yang sangat menyentuh perasaan bukan sahaja masyarakat Islam malah semua rakyat di Malaysia,” ujar Azmi.

Beliau menjelaskan, Myanmar yang telah dimasukkan ke dalam ASEAN dan menampakkan sedikit perubahan daripada sistem tentera kepada sistem demokrasi dan pemerintahan sivil rupa-rupanya masih terus dengan dasar menindas hak minoriti terutama hak Muslim Rohingya.

“Oleh yang demikian, memo ini menegaskan pendirian rakyat Malaysia bahawa jika pemerintah Myanmar tidak menghentikan penghapusan etnik (ethnic cleansing) Rohingya dan tidak mengembalikan hak kaum minoriti Rohingya, maka kempen di peringkat serantau dan antarabangsa akan diadakan bagi mendesak Myanmar dikeluarkan dari ASEAN dan semua hubungan diplomatik ditamatkan.”

Dalam perkembangan berkaitan, MAPIM akan bersama komunti Rohingya di Malaysia untuk mengadakan majlis solat hajat di Masjid Negara Kuala Lumpur pada 17 Jun ini selepas solat Zuhur.

“Semua umat Islam dijemput bersama untuk solat Zuhur dan solat hajat bagi tujuan menguatkan persaudaraan antara umat Islam Malaysia dengan umat Islam pelarian Rohingya yang memerlukan bantuan ketika saudara mereka sedang berhadapan dengan kekejaman di Myanmar,” serunya.

MAPIM berharap kesatauan umat Islam akan memberi kekuatan kepada usaha membebaskan etnik Muslim Rohingya daripada kezaliman yang sedang dihadapi.

“Etnik Rohingya yang diiktiraf oleh PBB sebagai antara etnik yang paling tertindas di dunia amat memerlukan sokongan dan pembelaan daripada seluruh umat Islam di seluruh dunia,” jelasnya.

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook