
KUALA LUMPUR - Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius isu pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Rohingya, Myanmar oleh tentera kerajaan Myanmar kebelakangan ini.
“Sehingga hari ini, dilaporkan seramai 100 orang Rohingya telah ditembak mati dan lebih 500 orang lagi cedera di Maungdaw,” kata Pengerusi Lajnah Antarabangsa merangkap Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Dr Raja Ahmad Al Hiss.
Menurut beliau, serangan dan pembunuhan yang berlaku ke atas etnik Rohingya Muslim adalah suatu tindakan kejam yang terancang oleh mereka yang berdendam dengan umat Islam di sana.
“Kami melihat isu kekejaman ke atas umat Islam Rohingya, Myanmar sebagai isu sejagat yang wajib ke atas semua masyarakat khususnya umat Islam bangkit bagi membela dan menyatakan bantahan.”
DPPM difahamkan, pihak keselamatan, polis dan tentera bekerjasama dengan etnik Rakhine untuk melancarkan serangan ke atas etnik Rohingya Muslim.
“Umat Islam di Rohingya dibunuh dan diseksa, wanita diperkosa, rumah-rumah dan perkampungan mereka dibakar dan peralatan mereka dirampas sementara ramai yang tercedara dinafikan hak untuk mendapatkan rawatan di hospital,” jelasnya.
Beliau memberitahu bahawa umat Islam di sana mengalami penderitaan yang panjang seperti perampasan rumah, tanah, ternakan, pemusnahan masjid serta arahan tidak dibenarkan membaiki mana-mana masjid. Ratusan masjid dimusnahkan dan digantikan dengan pagoda Buddha, perkahwinan dan pergerakan dihadkan dan hanya dengan keizinan tentera, penangkapan, penyiksaan tanpa bicara, perkosaan wanita dan pemaksaan keluar dari Islam untuk menganut Buddha menjadi fenomena biasa sekarang.
“Kami menuntut kerajaan Malaysia menyatakan pendiriannya terhadap isu ini serta turut menyatakan bantahan tegas kerajaan terhadap kerajaan Myanmar kerana kerajaan bertanggungjawab atas semangat ASEAN menyatakan bantahan agar kekejaman tidak lagi berlaku terhadap umat Islam di Myanmar.”
Dalam kenyataannya beliau berkata lagi, atas semangat persaudaraan Islam ini, DPPM menyokong perhimpunan aman solidariti umat Islam Rohingya, Myanmar yang dianjurkan oleh Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) pada hari Jumaat, 15 Jun 2012 di depan kedutaan Myanmar, Jalan Ampang selepas Solat Jumat dan perarakan ini akan bermula dari Masjid Tabung Haji selepas solat Jumaat.
“Kami, DPPM menyeru umat Islam agar bersama-sama menyertainya,” ujarnya.
Selain itu, DPPM bersama SHURA dan MAPIM juga akan menganjurkan majlis Solat Hajat Perdana bersama komuniti Rohingya pada hari Ahad, 17 Jun 2012.
“Majlis ini akan diadakan di Masjid Negara selepas solat Zuhur berjemaah di sana dan Umat Islam turut diseru untuk bersama-sama dalam majlis ini.”



