KUALA LUMPUR – Majikan perlu menyediakan pengawal keselamatan terlatih serta bersenjata bagi melaksanakan tugas menghantar wang dan tidak hanya bergantung kepada pekerja biasa.
“Ia langkah terbaik bagi memastikan pekerja selamat dan tidak membahayakan nyawa mereka. Selain itu, pekerja juga perlu mengetahui hak mereka, sekiranya ada tugas berisiko tinggi (diarahkan), mereka boleh merujuk kepada majikan atau Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) untuk khidmat nasihat,” kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.
Beliau berkata demikian selepas melawat kakitangan PLUS Expressways Bhd (PLUS), Mohd Haffiz Zamri, yang kehilangan kaki kanan selepas ditembak dalam kejadian samun berhampiran Plaza Tol Seremban, 14 Jun lalu.
Garis panduan untuk majikan mengenai isu itu sedang diperincikan dan dibincangkan dalam MNKKP yang dipengerusikannya dalam masa terdekat.
Beliau turut menyampaikan cek faedah hilang upaya sementara serta sumbangan peribadi kepada mangsa dan semua kos rawatan serta kaki palsu ditanggung Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Dalam kejadian pada jam 9.57 malam itu, Mohd Haffiz dan rakannya, Nurijah Rosli, 24, yang menunggang sebuah motosikal, sedang dalam perjalanan untuk memindahkan wang kutipan tol, apabila diserang sekumpulan perompak yang menaiki kereta Proton Wira ketika memasuki simpang ke pejabat PLUS.



