Sabtu, 25 Mei 2013

Kemaskini Terakhir04:25:34 PM EST

Anda di sini: Nasional > Program Sinar Ramadhan 1433H ABIM

Program Sinar Ramadhan 1433H ABIM

Share

sinar ramadhan abim

KUALA LUMPUR  - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) tahun ini, bersempena bulan Ramadan akan melancarkan pelbagai program 'Sinar Ramadhan 1433H' yang bertujuan membantu golongan memerlukan di seluruh negara.


“Antara program yang diadakan ialah Kempen Seorang  Sekampit Beras (KSSB), Kem Rakan Muda Masjid (RAPID), Program Khatam al-Quran, Ziarah Hospital dan 'Iftar for the Needy',” kata Setiausaha Agung ABIM Mohamad Raimi Abdul Rahim.

Beliau berkata, program ini telah dijalankan setiap tahun di beberapa negeri serta daerah, cuma pada tahun ini diperluaskan lagi ke seluruh Malaysia agar dapat membantu lebih ramai golongan memerlukan terutama mereka yang miskin, ibu tunggal serta saudara baru.

“Pada tahun lepas sempena program bulan Ramadan ia meliputi 1,200 penerima di Kuala Lumpur dan Selangor serta lebih 4,300 penerima di seluruh negara.”

Sehubungan itu, beliau berharap program kali ini akan melibatkan lebih ramai penyumbang sekali gus dapat membantu lebih ramai penerima yang memerlukan.

“Program KSSB dijalankan sejak tahun 2006 bagi membantu golongan fakir miskin serta saudara baru memperoleh makanan asasi,” ujar Mohamad Raimi.

Selain itu, program Rapid dilaksanakan di cawangan ABIM seluruh negara dengan menyasarkan penglibatan golongan belia melalui aktiviti pengukuhan asas Fardhu Ain, Smart Solat, tazkirah dan tadarus al-Quran.

“Program yang bertemakan 'Taqwa Dihayati, Ramadhan Dimaknai' itu turut mendapat kerjasama Global Peace Mission (GPM) untuk membantu komuniti Muslim di 15 negara termasuk masyarakat minoriti Islam Rohingya (Myanmar), Selatan Filipina dan Thailand, Kemboja serta Afghanistan.”

Dalam pada itu, melalui program 'Iftar for the Needy', ABIM dan GPM bekerjasama untuk membantu rakyat Syria yang menjadi mangsa konflik di negara itu dengan menyampaikan bantuan bekalan makanan.

“Mereka yang berminat bolehlah menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam ABIM 14023010011177 atau menghubungi Sekretariat ABIM pusat di talian 03-41084500,” katanya.

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook