KUALA LUMPUR - Badan pemikir Institut Kepimpinan Strategik Asia (ASLI) tetap mahu bergabung dengan empat lagi pemerhati pilihan raya yang lain untuk memantau perjalanan pilihan raya umum yang ke-13, demikian kata Ketua Strategi dan Naib Presiden ASLI, Ng Yeen Sen.
“Kami akan mengumpulkan sumber untuk bergabung dengan empat lagi pemerhati pilihan raya yang lain,” katanya.
Beliau berkata bahawa ASLI memilih untuk tidak mengulas lanjut tentang perkara lain seperti syarat-syarat yang dikenakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Peranan ASLI dan pemerhati lain dalam pilihan raya akan datang masih lagi dalam peringkat perbincangan dengan SPR,” jelasnya.
Menurutnya, sebarang kenyataan yang dikeluarkan akan bersifat mendahului langkah penamaan lima pemerhati itu yang kini dalam proses ditauliahkan secara rasmi.
“Empat pemerhati lain adalah kumpulan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), badan pemantau rasuah Transparency International-Malaysia, badan hak asasi manusia Promotion of Human Rights (Proham) dan badan kaji selidik bebas Merdeka Centre.”
Dalam pada itu beliau mengatakan, penamaan lima badan itu sebelum ini mengundang kritikan banyak pihak kerana dilihat kurang berpengalaman dalam pemantauan pilihan raya.
“Gabungan proreformasi sistem pilihan raya, Bersih mendakwa pemerhati pilihan raya kali ini dikenakan terlalu banyak syarat untuk menjalankan tugas mereka dengan sempurna,” katanya.
Menurut kenyataan Bersih, pemerhati tidak dibenarkan bercakap kepada media, sebarang dapatan pemerhatian perlu dihantar kepada SPR sebelum diterbitkan dan mereka juga tidak dibenarkan merakamkan gambar sebarang penipuan tanpa kelulusan pegawai pilihan raya bertugas.



