KUALA LUMPUR - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) akan menganjurkan demonstrasi aman pada 14 Julai ini bagi membantah operasi kilang memproses nadir bumi Lynas (Lynas) di Gebeng, Pahang.
“Demonstrasi itu akan diadakan serentak di 30 lokasi terpilih di seluruh negara,” demikian kata Pengerusi (SMSL), Tan Bun Teet.
Beliau berkata, sudah tiba masanya kita memberitahu kerajaan bahawa isu Lynas bukan sahaja melibatkan kepentingan orang Kuantan malah masyarakat di tempat lain juga perlu tahu betapa bahayanya kesan radioaktif.
“Jadi dengan penganjuran demonstrasi secara bersepadu di seluruh negara kita dapat memberi gambaran yang jelas kepada kerajaan bahawa ramai yang menentang Lynas,” katanya pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor hari ini.
Tan memberitahu, demonstrasi tersebut akan bermula pada pukul 5 petang Sabtu dan akan berakhir satu jam setengah selepas itu.
“Bagi demo di Kuantan kita akan berkumpul di Bukit Roga, dan selepas itu kita akan mendaki bukit berkenaan. Selepas mendaki peserta akan mengundi sama ada menyokong atau menentang Lynas, dan pada akhir program kita akan umumkan pihak mana yang menang,” jelasnya.
Tan berkata, ini sebagai simbolik kerana kita mahu memberitahu kerajaan bahawa rakyat mempunyai kuasa untuk mengundi dan menentukan kerajaan pada pilihan raya umum ke-13.
“Sekiranya apa yang rakyat mahukan kerajaan tidak dapat penuhi maka mereka perlu menerima hakikatnya ketika itu,” katanya.
Sehubungan dengan itu katanya, kumpulan SMSL juga ingin menegaskan bahawa mereka akan menyokong kumpulan yang berjaya menghentikan Lynas tanpa mengira latar belakang politik.
“Kita akan sokong pihak yang boleh hentikan Lynas, tidak kira mereka kerajaan mahupun pembangkang,” tegasnyanya.
Berhubung dengan demonstrasi berkenaan, Tan berkata, pihaknya akan menghantar jemputan kepada pemimpin daripada pelbagai parti politik untuk turut serta dalam perhimpunan berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Komas, Tan Jo Hann pula berkata, beliau menjangkakan penyertaan yang lebih ramai peserta pada perhimpunan kali ini.
“Kita menjangkakan kira-kira 15,000 hingga 20,000 orang akan menyertai kali ini di seluruh negara dan bagi setiap lokasi kita sasarkan lebih kurang 500 hingga 1000 orang akan turut serta,” katanya.
Ditanya sama ada pihaknya sudah mendapatkan permit daripada pihak polis bagi mengadakan perhimpunan berkenaan, Tan berkata, di Kuantan mereka tidak perlu mendapatkan permit polis kerana ia diadakan di kawasan padang yang menjadi tumpuan orang ramai bersenam.
“Manakala di tempat lain kita sudah arahkan wakil kita memohon permit daripada pihak polis,” katanya.
Antara lokasi yang dipilih ialah Kuantan, Temerloh, Jerantut, Raub, Sri Jaya, Triang (Pahang), Kuala Terengganu (Terengganu), Kota Bharu (Kelantan), Bandar Raya Pulau Pinang (Pulau Pinang), Ipoh, Kampar, Bukit Merah (Perak), Cheras Mahkota, Rawang (Selangor), Bandar Raya Melaka (Melaka), Seremban, Air Itam (Negeri Sembilan), Segamat, Pengerang, Batu Pahat, Jementah, Tangkak, Simpang Renggam, Kluang, Kulai, Bekok, Yong Peng, Johor Bahru, Labis, Muar (Johor), Sabah dan termasuk di Perth, Sydney dan Melbourne (Australia).



