KUALA LUMPUR - Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan menganjurkan satu himpunan besar-besaran bagi mendesak pembebasan 45 mangsa tahanan ISA pada September ini.

“Himpunan ini bagi mendesak pembebasan dilakukan segera memandangkan sehingga kini kerajaan tidak membebaskan semua tahanan yang masih merengkok di dalam tahanan,” ujar Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasruddin Hassan.
Biarpun akta itu sudah dimansuhkan oleh kerajaan katanya, namun masih ada lagi kalangan rakyat Malaysia yang tidak dibebaskan.
“Mana-mana tahanan yang ada bukti kesalahan mereka, buktikannya di mahkamah,” tegasnya.
Menurutnya, inilah masanya kerajaan membuktikan slogan 'Janji Ditepati' iaitu dengan membebaskan segera kesemua tahanan.
“Jika tidak, slogan 'Janji Ditepati' itu hanya menjadi 'Janji Dimungkiri' semata-mata,” sindir Nasruddin (kanan).
Beliau berkata, untuk perhimpunan itu, Pemuda PAS akan mengerahkan tenaga sebanyak mungkin bagi mendesak kerajaan berhubung isu ISA ini.
“Pemuda PAS akan meneruskan kempen mengenai ISA sepanjang Ramadan bagi memastikan kerajaan memberi respons segera berkaitan isu ini dan bagi kempen roadshow kesedaran kepada rakyat berhubung isu ini, kita bercadang mengadakan majlis berbuka puasa bersama keluarga tahanan, sekali gus mendapatkan sumbangan, dan kita juga akan 'join' kempen bersama Gerakan Mansuhkan ISA (GMI),” beritahu Nasruddin lagi.



