PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi taklimat mengenai pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) kepada pemimpin parti-parti politik.
“Pada taklimat itu, SPR memberikan penerangan mengenai perubahan-perubahan yang akan dilaksanakan pada PRU-13 dan langkah yang telah diambil SPR termasuk dalam aspek pembersihan daftar pemilih dan perjalanan pilihan raya,” kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Justeru, beliau berharap jika masih ada rasa tidak puas hati atau sebarang keraguan, pengadu boleh mengemukakannya kepada SPR untuk membolehkan tindakan sewajarnya diambil dan bukan melaporkan kepada media sehingga menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.
“Tidak tahu kenapa benda yang tidak elok sahaja yang sering dikeluarkan dalam media dan enggan bertemu SPR sendiri, sedangkan kita bersikap terbuka dan bersedia untuk menerima sebarang komen atau maklum balas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis taklimat berkenaan yang dihadiri kira-kira 142 wakil parti politik antaranya dari UMNO, MCA, MIC, Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Keadilan Rakyat, Parti Cinta Malaysia (PCM), PAS dan DAP.
“SPR adalah sebuah badan bebas dan profesional serta bersedia menyediakan ruang secukupnya kepada semua pihak untuk mengemukakan komen bagi bersama-sama membantu SPR dan memastikan PRU-13 nanti adalah yang terbaik dan terbersih,” kata Abdul Aziz.
Menurutnya, tidak perlulah wujudkan persepsi yang kononnya SPR hanya untuk memenangkan sesuatu parti sahaja sedangkan sebenarnya pilihan raya di negara ini jika calon atau parti itu disukai rakyat, calon dan parti itulah yang akan menang.
“Sebagai contoh, dalam isu pembersihan daftar pemilih, SPR sepanjang masa berusaha memastikan daftar pemilih adalah sebersih yang mungkin, namun bersih adalah sesuatu yang relatif.”
Katanya, mungkin pada pagi tadi daftar itu bersih tetapi apabila petang sudah tidak bersih kerana ada yang meninggal dunia, dilucutkan kewarganegaraan dan sebagainya.
“Mana-mana negara di dunia termasuk negara maju pun belum tentu boleh memastikan daftar pemilih mereka seratus peratus bersih,” tegasnya.
Abdul Aziz berkata walaupun PRU-13 nanti dikatakan bakal menjadi pilihan raya paling sengit dalam sejarah negara, SPR akan memastikannya berlangsung dengan telus dan bersih.



