KUALA LUMPUR - Kumpulan pertama rakyat Malaysia di Syria yang dibawa pulang oleh kerajaan berikutan pergolakan yang semakin meruncing di negara itu dijangka tiba di tanah air pada Selasa (esok).
“Kumpulan pertama tersebut yang terdiri daripada 50 orang termasuk pelajar akan dibawa balik menggunakan penerbangan khas. Maklumat lanjut mengenai proses pemindahan rakyat Malaysia di Syria ini akan diketahui selewat-lewatnya malam ini ataupun pagi esok," demikian menurut jurucakap Wisma Putra.
Menurut sumber itu lagi, Kedutaan Besar Malaysia di Syria yang berpusat di Damsyik (Damascus) sudah menghimpunkan semua rakyat Malaysia di kedutaan bagi menjamin keselamatan mereka.
“Pemindahan rakyat Malaysia dari Syria itu diselaraskan oleh Kementerian Luar dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik.”
Pada Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan memutuskan untuk membawa pulang semua rakyat Malaysia dan pelajar di Syria ke tanah air serta-merta berikutan pergolakan yang semakin meruncing di negara itu.
Berikutan itu juga, beliau membenarkan Kedutaan Malaysia di Syria ditutup serta-merta dan mengarahkan penjawat awam termasuk Duta Besar Malaysia kembali ke tanah air atas faktor keselamatan.
Seramai 138 rakyat Malaysia terdiri daripada 128 pelajar dan 10 ekspatriat berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Damsyik.
“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah bersiap sedia untuk membantu membawa pulang rakyat Malaysia dari Syria itu, dan ATM juga sudah menerima arahan daripada MKN tetapi butiran pemindahan masih belum dapat dimaklumkan,” kata Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.



