
GOMBAK - Ramadan telah menjengah hari ke-3 dan umat Islam di Malaysia terus enak menikmati ibadah-ibadah yang tersedia pada bulan mulia ini.
“Ramai yang menikmati juadah berbuka dengan pelbagai menu tersedia. Namun, dalam keenakan menikmati segala itu, terlalu ramai yang hampir terlupa akan saudara seagama yang berada Myanmar dan Syria,” demikian ujar Presiden Ma’ruf Club, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohamad Amirudin bin Ismail (kanan) dalam satu kenyataan.
Katanya, umat Islam terus dihimpit kekejaman yang ‘maha’ dahsyat, dibunuh kejam oleh regim penguasa tanpa mengenal erti peri kemanusiaan, belas kasihan dan keadilan. Sementara jenazah umat Islam yang terkorban bergelimpangan di sana-sini, masjid-masjid mereka turut dibakar.
“Di mana suara saudara umat Islam? Mereka amat memerlukan perhatian, sokongan, doa dan tindakan daripada kita,” serunya.
Menurut Amirudin, di peringkat Ma’ruf Club, mereka menyokong dan mendukung kesepakatan yang terhasil bersama pertubuhan-pertubuhan Islam yang lain di negara ini dalam menyatakan pendirian tegasnya.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman ini. Hentikan segera kekejaman ini atas prinsip Islam, keadilan dan kemanusiaan,” tegasnya.
Dalam kenyataannya lagi, beliau menyeru umat Islam di Malaysia khususnya di UIAM supaya terus mengikuti berita semasa yang berlaku di negara-negara tersebut.
“Usaha yang sedikit lebih diberkati daripada tiada sebarang usaha untuk mengambil berat peri hal saudara seagama kita yang lain.”
Berikutan itu juga, Amiruddin menyeru seluruh umat agar berdoa dan bermunajat kepada Ilahi.
“Moga Ramadan yang diberkati ini mampu memberikan sinar harapan yang lebih baik pada umat Islam di sana khususnya dan di seluruh dunia,” demikian ujarnya mengakhiri.
Ma’ruf Club adalah sebuah kelab di UIAM, Gombak yang mana objektif utamanya adalah untuk memantapkan tauhid melalui amar makruf nahi munkar.



