Sabtu, 25 Mei 2013

Kemaskini Terakhir04:25:34 PM EST

Anda di sini: Nasional > Usah musuhi Bersih, reformasi sistem pilihan raya segera!

Usah musuhi Bersih, reformasi sistem pilihan raya segera!

Share

Bersih 2.0

KUALA LUMPUR – Selepas Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) memutuskan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) tidak haram, kerajaan diseru supaya menghentikan permusuhan dengan Bersih 2.0, sebaliknya kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah memberi tumpuan kepada mesej Bersih 2.0 yang penting, iaitu untuk menambah baik sistem pilihan raya untuk kebaikan seluruh rakyat Malaysia.


Seruan tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebaik sahaja keputusan mahkamah tersebut diketahui.

Pada Selasa lalu, hakim Datuk Rohana Yusof membatalkan pengisytiharan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai 2011 bahawa Bersih 2.0 adalah satu pertubuhan haram.

Rohana menyatakan bahawa arahan tersebut tidak konsisten serta “tidak rasional” (“tainted with irrationality”). Beliau menambah bahawa keputusan untuk mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai haram dilakukan tanpa mengambil kira beberapa fakta yang relevan atau dengan mengambil kira fakta-fakta yang tidak relevan.

“Seperti yang dinyatakan oleh Yang Arif Hakim, adalah tidak munasabah (“unreasonable”) bagi menteri untuk menyatakan Bersih 2.0 sebagai haram dengan alasan bahawa ia “membahayakan keselamatan awam” (“prejudicial to public order and security”) pada 1 Julai 2011, namun selepas itu pihak berkuasa terus melakukan perundingan dengan Bersih 2.0 pada 5 Julai 2011 dan mengizinkan perhimpunan aman diteruskan pada 9 Julai 2011.

Ini merupakan tindakan-tindakan yang tidak konsisten terhadap sebuah organisasi yang disebut sebagai mengancam keselamatan negara. Malah, tiga orang daripada Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Dato’ Ambiga, Dato’ A. Samad Said dan Hj Zaid Kamaruddin telah diperkenankan untuk mengadap Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agung seminggu sebelum perhimpunan aman 9 Julai 2011. Tambahan pula tidak ada sebarang bantahan kepada perhimpunan aman Duduk Bantah Bersih 3.0 yang diadakan pada tahun ini yang telah diadakan pada 28 April 2012,” kata kenyataan itu.

Walaupun kerajaan mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut, Bersih 2.0 menyarankan agar ia tidak dilakukan. Malah Bersih 2.0 memohon agar semua saman terhadapnya digugurkan kerana ia merupakan suatu pembaziran kepada wang rakyat.

“Sebaliknya, kami berharap kerajaan mengambil maklum akan realiti politik dalam negara dan berurusan dengan Bersih 2.0 sebagai wakil yang sah bagi rakyat yang inginkan pilihan raya yang bebas dan adil.”

Pihak berkuasa juga diminta mengembalikan seluruh aset dan harta Bersih 2.0 yang telah dirampas pada 30 Jun 2011, antaranya komputer, kamera video, T-shirt kuning, poster, gambar-gambar dan senarai ahli.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 terdiri daripada Dato’ Ambiga Sreenevasan (Pengerusi Bersama), Datuk A Samad Said (Pengerusi Bersama), Ahmad Shukri Abdul Razab, Andrew Khoo, Arul Prakkash, Arumugam K, Awang Abdillah (Kuching), Dominic Hii (Sibu), Dr Farouk Musa, Hishamuddin Rais, Liau Kok Fah, Mark Bujang (Miri), Maria Chin Abdullah, Niloh Ason (Kuching), Richard Y W Yeoh, Dr Subramaniam Pillay, Dato’ Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Dato’ Yeo Yang Poh dan Zaid Kamaruddin.

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook