MERBOK - Hari ini adalah Jumaat pertama seluruh umat Islam di Malaysia dan kira-kira 8 juta orang menunaikan solat Jumaat buat pertama kalinya bagi Ramadan 1433 Hijrah.
“Dengan itu Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), telah menganjurkan supaya semua 6,400 lebih masjid di seluruh negara membaca khutbah khas untuk menyedarkan umat Islam mengenai isu pembunuhan umat Islam Rohingya di Myanmar,” demikian ujar Setiausaha Agung MAPIM, Azmi Abd Hamid.
Beliau berkata, ketika pergolakan umat Islam berlaku di seluruh dunia, mahu tidak mahu isu penghapusan etnik Rohingya Muslim di Myanmar yang sudah terlalu lama dideritai seharusnya mendapat perhatian utama.
“Malah etnik Rohingya telah dianggap oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) sebagai salah satu bangsa paling tertindas di dunia,” jelasnya.
Lebih mendukacitakan, penindasan tersebut diburukkan lagi dengan laporan bahawa puluhan ribu dibunuh kejam dengan cara ditembak, disembelih dan dibakar.
“Berita mengenai kezaliman luar biasa ini malangnya tidak diketahui oleh dunia.”
Menurutnya, insiden yang sedang berlangsung sekarang ini semakin mengerikan kerana masjid dan perkampungan turut dibakar, mayat-mayat dicampak ke laut dan gadis-gadis diperkosa sehingga mati.
“Sehubungan dengan itu, MAPIM menyeru agar seluruh umat Islam di negara ini pada hari ini mengambil peluang untuk mengadakan majlis munajat khas kepada Allah agar umat Islam dilindungi dari kezaliman yang menimpa mereka di mana sahaja mereka berada khusus yang berlaku di Myanmar,” saran Azmi.
“Di mana sahaja umat beragama lain hidup di negara umat Islam, ternyata hak mereka terjamin dan mereka dapat hidup dalam keadaan yang sungguh aman dan selesa. Tetapi di negara bukan Islam, umat Islam sering berhadapan dengan ancaman dan penindasan,” luahnya.
Beliau menyarankan supaya perhimpunan solat Jumaat pada hari ini dijadikan Hari Solidariti umat Islam bagi membela nasib umat Islam Rohingya.
“Kita adakan himpunan untuk mendidik masyarakat supaya mempunyai sensitiviti yang tinggi terhadap nasib saudaranya seagama,” katanya.



