Khamis, 23 Mei 2013

Kemaskini Terakhir04:29:59 PM EST

Anda di sini: Nasional > Peluang perniagaan untuk Bumiputera

Peluang perniagaan untuk Bumiputera

Share

PUTRAJAYA - Peluang perniagaan berjumlah kira-kira RM13 bilion dijana untuk manfaat Bumiputera menerusi inisiatif dilancarkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).


“Inisiatif dilancarkan Teraju, yang ditubuhkan Februari lalu, berpandukan kepada hala tuju transformasi ekonomi Bumiputera yang diumumkan kerajaan sebelum ini,” demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Antara inisiatif yang menyumbang kepada jumlah itu katanya, ialah dasar untuk memberi peluang secara carve out kepada syarikat Bumiputera yang terbabit dalam projek Transit Aliran Massa (MRT) melalui MRT Corporation Sdn Bhd.

“Sehingga kini, 47 peratus daripadanya ditawarkan kepada syarikat Bumiputera, melebihi sasaran 43 peratus,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ketiga Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB).

Najib berkata, mengikut unjuran ketika ini, jumlah keseluruhan pakej itu bernilai kira-kira RM9.3 bilion, melangkaui sasaran RM8.5 bilion.

“Kerajaan berpuas hati dengan jumlah itu, bukan saja dari segi jumlah besar yang berjaya diagih, tetapi juga dari segi proses penentuan syarikat yang dibuat dengan cara telus, berdasarkan kepada syarikat Bumiputera yang terbaik,” ujarnya.

Sementara itu, mesyuarat MTAB semalam juga meluluskan 20 lagi syarikat yang layak untuk program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras), satu lagi program perdana Teraju, menjadikan jumlahnya kini 150 buah.

“Proses ini dilakukan berdasarkan merit dan tidak memberi kelebihan kepada mana-mana syarikat melainkan berdasarkan kepada kriteria kemampuan dan kebolehan syarikat itu.”

Tambahnya lagi, menerusi inisiatif ini, didapati bahawa jumlah modal berbayar ialah kira-kira RM1 bilion dan perolehan keseluruhan RM7.9 bilion.

“Ini bererti syarikat Teras ini mempunyai potensi berkembang dan mampu bersaing untuk mendapatkan kerja sektor awam,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan melanjutkan tempoh Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) di bawah kelolaan Prokhas untuk setahun lagi, di mana dana RM930 juta yang belum digunakan syarikat Bumiputera akan diperuntukkan sehingga 31 Disember 2013.

“Saya dan anggota majlis yakin inisiatif diperkenal ini akan memberi peluang lebih meluas kepada syarikat Bumiputera untuk capai kejayaan lebih besar pada masa depan,” katanya.

Walaupun skim jaminan itu pada mulanya hanya diperuntukkan kepada perniagaan kecil dan sederhana (PKS), namun kini katanya, syarikat Teras yang bukan PKS, malah lebih besar daripada itu juga layak untuk menyertai skim berkenaan.

Comments  

 
0 #1 misiana binti rahim 2012-12-13 22:55
Quote
 

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook