KUALA LUMPUR - Gabungan Selamatkan Syria (GSS) yang diwakili lebih 30 pertubuhan (NGO) di seluruh Malaysia menyokong tindakan kerajaan menutup Kedutaan Malaysia di Syria baru-baru ini.
“Walaupun tindakan ini dilihat agak terlewat berbanding negara maju lain yang telah lebih awal mengusir kedutaan Syria di negara mereka seperti Jerman, Jepun dan Australia, kami tetap menyokongnya,” ujar Pengerusi Sekretariat GSS, Naim Jusri.
GSS diterajui oleh tiga NGO utama iaitu Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Haluan Malaysia (Haluan).
GSS menggesa kerajaan Malaysia untuk turut mengambil tindakan mengusir kedutaan Syria di Malaysia dan menghentikan hubungan diplomatik dengan kerajaan rejim Bashar Al-Assad bagi membuktikan kesungguhan menolak semua bentuk kezaliman.
“Selain daripada itu, kita wajar memberikan sokongan moral terhadap rakyat Syria dengan mengambil tindakan membekukan sebarang aset milik keluarga Basyar Al-Assad sekiranya ada di Malaysia,” jelasnya.
Menurutnya, Kerajaan Syria pimpinan Basyar Al-Assad dan orang yang sepertinya sekarang berpolitik ala Firaun sebagaimana yang dilakukan oleh pemerintah Tunisia, Mesir, Yaman, dan Libya sebelum ini.
“Mereka mencuri harta-harta rakyat dan memakannya dengan cara yang haram, memenjarakan rakyat sendiri, membunuh para ulama, melakukan pembunuhan beramai-ramai, merogol dan mencabul kehormatan wanita-wanita, menghalang perempuan beriman daripada memakai hijab serta menindas orang yang lemah seperti orang tua dan kanak-kanak.”
Tegas Naim, Kerajaan Malaysia tidak seharusnya mencontohi Republik Iran yang masih mempertahankan tindakan ganas rejim Hafez dan Basyar Al-Assad yang membunuh rakyatnya sendiri, begitu juga Hizbullah di Lubnan yang menyokong tindakan Basyar yang merupakan Syiah Alawiyah.
“Sehingga hari ini Iran dan Hizbullah di Lubnan yang berfahaman Syiah masih menyokong rejim Basyar di Syria,” katanya.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan GSS, beliau berkata, selaku sebuah negara yang dihormati negara Islam, Malaysia harus memainkan peranan besar dalam membantu perjuangan rakyat Syria yang mendapat sokongan Kesatuan Ulama Sedunia yang diketuai oleh Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi.
“Rumusan Muktamar Ulama Sedunia yang berlangsung di Istanbul pada 1-3 Julai lepas telah bersetuju bahawa:
“... revolusi rakyat Syria dari segenap sudutnya adalah revolusi yang hak/benar menentang kezaliman, revolusi yang adil menentang kejahatan dan permusuhan, revolusi untuk kebebasan melawan pelampau, diktator, kerosakan, pembunuhan dan pencerobohan, serta revolusi tuntutan yang bebas, adil dan terhormat yang berkait dengan asas ummah dan identitinya dan memelihara kesatuan bumi Syria serta rakyatnya dan mengekalkan kemerdekaannya yang total.”
“Oleh yang demikian, selaras dengan fatwa yang dikeluarkan ketika Muktamar, wajib ke atas setiap pemimpin umat Islam untuk menyatakan sokongan dan dukungan kepada kebangkitan rakyat Syria,” katanya.
Antara tindakan yang perlu dilakukan oleh rakyat dan kerajaan Malaysia adalah:
1. Memberikan sokongan moral kepada rakyat Syria.
2. Menghentikan hubungan diplomatik kerajaan Malaysia dengan Syria sehinggalah kerajaan Syria baru yang demokratik ditubuhkan.
3. Membantu mangsa kezaliman yang berlindung di kem pelarian di sempadan Syria.
4. Menganjurkan misi kemanusiaan bagi menyediakan kemudahan perubatan kepada mangsa yang cedera.
5. Memberikan bantuan material seperti bahan perubatan,makanan,dan wang ringgit bagi menampung keperluan pelarian.
6. Berdoa dan bermunajat sempena Ramadan untuk kemenangan perjuangan rakyat Syria.
GSS menyeru kerajaan Malaysia supaya mengambil tindakan proaktif dan tegas dalam menangani kemelut yang melanda rakyat Syria ketika ini.



