KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa mengurangkan cukai ke atas rakyat marhaen dan jika perlu memansuhkan cukai yang jelas membebankan rakyat menengah ke bawah, sebaliknya memperkasakan sistem percukaian ini secara adil dan telus kepada pihak yang layak dan wajar membayar cukai, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Nasrudin Hassan.
“Sistem zakat ke atas umat Islam adalah terbaik selaku produk Tuhan yang Maha Mencipta yang juga perlu diperkasakan perlaksanaannya dalam negara kita,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia adalah antara negara yang banyak mengenakan cukai ke atas rakyat dan nilai cukai amat tinggi berbanding negara-negara jiran seperti Thailand. Antara cukai yang dikenakan adalah cukai pendapatan, cukai pintu rumah kediaman, cukai bakul penjaja kecil, cukai jalan, cukai kenderaan import, cukai setem dan pelbagai cukai lain yang dilihat membebankan rakyat.
Selain itu, beliau berkata, Malaysia sedang menghadapi dua keadaan yang tidak membangunkan rakyat iaitu pertama, hasil mahsulnya yang banyak, tetapi kekayaan itu masih berlegar dalam kalangan orang-orang kaya dan elit tertentu, walhal itulah yang dilarang oleh syarak.
Kedua, ketirisan dana perbelanjaan awam yang banyak merugikan, demikian juga pembaziran dengan melakukan projek mega yang tidak membawa impak maksimum kepada rakyat.
Sebagai contoh, katanya, Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini menjelaskan ketirisan dalam perbelanjaan dana awam sebanyak RM28 bilion. Dakwaan Global Financial Integrity (GFI) bahawa RM889 bilion wang haram telah mengalir keluar dalam tempoh 8 tahun (2000-2008).
“Selain itu, menurut laporan majalah International Living 2010, kos hidup di Malaysia adalah ke-21 paling tinggi di dunia dan kos hidup meningkat antaranya kerana kenaikan harga barang keperluan termasuk harga rumah dan tanah.”
Jelas beliau, keadaan seperti ini tidak seimbang, lebih-lebih lagi pendapatan rakyat masih perlahan ditambah pula terpaksa membayar pelbagai kadar cukai.
“Statistik Bank Negara Malaysia pada akhir November 2010 menunjukkan hutang isi rumah rakyat Malaysia sebanyak RM577 bilion bersamaan 74% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus menampakkan keupayaan berbelanja rakyat sangat rendah.”
“Realiti ini tentunya menekan rakyat terutama generasi muda.”
“Saya tertarik dengan hasil kajian Pemuda BN sendiri (melalui Makmal Pemuda BN) yang menampakkan trend serupa daripada suara anak muda: 40% anak muda bimbang masa depan negara, 48% merasakan kualiti hidup mereka di Malaysia tidak terjamin, 39% berpendapat hidup di Malaysia sukar dan hanya cukup keperluan manakala 9% lagi berkata sangat sukar dan tidak cukup keperluan.”
Selain itu, kira-kira 81% anak muda yang bekerjaya pernah habis wang sebelum memperoleh gaji berikutnya manakala 10% daripada mereka kerap mengalami situasi tersebut iaitu habis wang sebelum mendapat gaji bulan berikutnya.
“Malaysia bukan negara gersang tanpa hasil mahsul kerana Malaysia memiliki bijih, minyak, gas, emas, getah, sawit, balak, padi, ikan dan sebagainya,” jelasnya.
Justeru, kekayaan negara yang berlonggok dalam kalangan kumpulan tertentu bukan sahaja melebarkan jurang kaya miskin, tetapi sering menjadikan mereka angkuh dengan kekayaan dan kuasa yang mereka miliki.
“Sehubungan dengan itu, DPPM menggesa agar kerajaan mengurangkan kadar dan jumlah cukai yang dikenakan ke atas rakyat selain banyak membantu rakyat membina kehidupan yang lebih baik dan selesa, seterusnya berpotensi menjana kitaran ekonomi yang sihat melalui tahap upaya rakyat berbelanja,” tegasnya.
Beliau memperingatkan supaya negara dan pemimpinnya mesti yakin pada keberkatan dan rahmat Allah, Tuhan yang memberi rezeki.
“Maka pastikan negara bertakwa dan tidak derhaka kepada Allah, juga tidak melakukan mungkar sama ada dalam sosial, politik mahupun ekonomi, nescaya negara akan diberkati dan dirahmati Allah.”



