KUALA LUMPUR – Malu dan tidak faham undang-undang antara punca ibu bapa lewat atau tidak mendaftarkan kelahiran anak mereka sehingga berlaku kes kanak-kanak tanpa dokumen pengenalan diri.
“Ada ibu bapa yang berkahwin dengan warga asing atau mempunyai anak tidak sah taraf tidak tahu bahawa setiap kelahiran wajib didaftarkan,” demikian kata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Jariah Mohd Said.
Menurutnya, terdapat kes ibu tak tahu di mana bapa dia (anak) dan ada juga kes membabitkan pasangan belum berkahwin.
“Jadi mereka nak datang ke JPN malu sebab takut orang tanya itu dan ini soal maruah,” katanya.
Jariah berkata, mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959, setiap kelahiran di negara ini sama ada warga negara atau bukan warga negara mesti didaftarkan dan JPN akan mengeluarkan sijil lahir kepada kanak-kanak berkenaan.
“Untuk kes membabitkan ibu warganegara Malaysia dan bapa pula tidak dapat dikesan, taraf warganegara kanak-kanak itu secara automatik mengikut warga negara ibu dengan syarat hendaklah disertakan dengan dokumen sokongan untuk menentukan ibu itu lahir di Malaysia,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program “‘Street Children’ di Chow Kit Bersama Ketua Pengarah Pendaftaran Negara” di sini, semalam.



