Anda di sini: Nasional > Demo Rohingya: Duta enggan terima, memo tetap diserah

Demo Rohingya: Duta enggan terima, memo tetap diserah

Share

KUALA LUMPUR – Memorandum bantahan terhadap kerajaan Myanmar telah berjaya diserahkan dalam demonstrasi aman lebih 2,000 rakyat Rohingya dan ahli gabungan 25 NGO di Malaysia, meskipun pintu pagar kedutaan ditutup.

Antara yang hadir menyerahkan memorandum adalah Koordinator gabungan NGO, Senator Saiful Izham Ramli, Shamsul Iskandar Mohd Akin (Ketua AMK), Chegubard (Pengerusi SAMM), Ustaz Wan Subki Wan Salleh (Naib Presiden IKRAM) serta wakil rakyat Rohingya.

Menurut Ustaz Wan Subki, pihak kedutaan Myanmar agak melampau apabila tidak mahu menerima memorandum dan mengarahkan supaya diletakkan memorandum dalam peti surat sahaja.

Sikap tutup pintu kedutaan Myanmar amat dikesali dan memorandum berjaya diserahkan selepas seorang pekerja kedutaan mengambil memorandum tersebut melalui celahan pintu pagar setelah didesak oleh wakil-wakil NGO.

Ini adalah sikap yang sama ditunjukkan oleh pihak kedutaan Myanmar semasa demonstrasi yang sama pada 15 Jun yang lalu.

Sebelum itu, wakil-wakil NGO dan rakyat Rohingya yang kebanyakannya berkemeja-T  ‘Save Rohingya’ melaungkan ‘Hidup Rohingya’, takbir dan tahlil selepas solat Jumaat di Surau Tabung Haji berarak bersama menuju kedutaan Myanmar di Jalan Ampang Hilir melalui Jalan U-Thant.

Beberapa sepanduk turut dibawa mengecam kekejaman kerajaan Myanmar terhadap rakyat Rohingya.

Walaupun begitu, peserta demonstrasi  dihalang polis daripada menghampiri pintu kedutaan Myanmar dan beberapa wakil NGO dibenarkan untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Para demonstran di kalangan rakyat Rohingya menjerit dengan penuh emosi dan ada yang tidak dapat menahan perasaan mengenangkan nasib keluarga mereka di Myanmar meskipun beberapa kali polis dan wakil NGO cuba menenangkan keadaan.

Wakil-wakil NGO seterusnya berucap dan memberi jaminan bahawa mereka sebagai rakyat Malaysia akan membantu rakyat Rohingya dan sama-sama berjuang memberi desakan kepada kerajaan Myanmar supaya penindasan terhadap rakyat Rohingya dihentikan dan diberikan keadilan sewajarnya sebagai rakyat Myanmar.

Add comment


Security code
Refresh

Jumpa kami di Facebook