KUALA LUMPUR - Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menuntut kerajaan segera melaksanakan sistem ekonomi Islam yang menekankan persoalan keadilan sosial dan perbelanjaan berhemat.
“Dengan meneliti pelbagai ketirisan wang negara yang sangat tinggi melalui amalan rasuah, mengelak membayar cukai, perbelanjaan kepada projek mega yang tidak perlu dan bukan keperluan sebenar, kaedah perbelanjaaan yang sering tidak mengikut tatacara kewangan negara, anugerah tender yang tidak telus dan tidak memenuhi syarat yang sepatutnya, kami menuntut suatu pengurusan sistem ekonomi yang lebih terkawal, berhemat dan mengutamakan perbelanjaaan yang perlu sahaja dilaksanakan di negara ini,” jelas Setiausaha Agung MAPIM, Tuan Haji Azmi Abd Hamid (kiri).
Menurutnya, kerajaan sekarang bukan lagi menjadi pengurus wang negara yang baik apabila tahap hutang negara yang melonjak tinggi kepada lebih RM456 bilion manakala pengaliran wang haram mencecah RM1 trilion.
“Peningkatan hutang Kerajaan Persekutuan menunjukkan bahawa amalan pengurusan kewangan mengikut sistem ekonomi sekarang sangat tidak mapan malah bergerak ke arah krisis yang berbahaya.”
Beliau berkata kebergantungan perbelanjaan negara kepada wang petroleum Petronas juga sangat tidak mapan kerana ia akan menyebabkan kewangan negara sentiasa bergantung kepada sumber yang tidak kekal dan tidak berkelanjutan.
“Anehnya pendapatan negara hanya meningkat pada kadar yang rendah walaupun wang petroleum digunakan semaksimumnya,” katanya.
Dalam pada itu, kini didapati Perdana Menteri ghairah mengumumkan peruntukan dalam hampir semua acara Perhimpunan Rakyat.
“Setiap kali beliau berucap jutaan peruntukan diumumkan, namun sama ada perbelanjaaan itu munasabah dan memenuhi keperluan yang sebenar tidak dipedulikan.”
Tegasnya, sistem ekonomi Islam adalah satu-satunya jalan alternatif yang mempunyai prinsip dan kaedah pengurusan kewangan yang cukup berdisiplin, sekali gus pendidikan gaya hidup yang mapan dalam kalangan rakyat.
“Sistem ekonomi yang ada sekarang sangat rapuh kerana ia tidak memberi perhatian kepada elemen keadilan sosial dalam erti kata sebenar sebaliknya menggalakkan budaya perbelanjaaan membazir,” jelas Azmi.
Selain itu katanya, sistem yang dilaksana sekarang jauh daripada mengutamakan perbelanjaaan yang memelihara keutuhan kerohanian rakyat.
“Malah sistem ekonomi yang ada sekarang amat eksploitatif (bersifat eksploitasi) dan tidak mengendahkan keperluan masa depan.”
MAPIM berpendapat aspek kepemimpinan ekonomi sekarang menjadi faktor utama kepada sistem yang menjurus kepada kebankrapan.
“MAPIM melihat bahawa kerajaan yang ada sekarang tidak mempunyai disiplin perbelanjaan yang dapat menyelamatkan negara daripada krisis seperti yang berlaku di Eropah.
“Sistem ekonomi Islam berdasarkan syariat mestilah dilaksanakan secara menyeluruh, bukan setakat dalam sistem kewangan dan perbankan tetapi dalam seluruh dasar negara.
“Penerapan disiplin kewangan dalam Islam hendaklah dilaksanakan dalam semua tatacara perbelanjaan agensi kerajaan, manakala Islamisasi ekonomi mikro dan makro perlu segera dilaksanakan,” jelasnya.



