KUALA LUMPUR - Tidak wajar para pejuang dan tentera yang bersatu di bawah payung Free Syrian Army (FSA) dilabel sebagai 'pemberontak', menurut Pengerusi Sekretariat Gabungan Selamatkan Syria (GSS), Naim Jusri dalam kenyataan media hari ini.
Ujarnya, mereka merupakan gabungan tentera kerajaan yang berpihak kepada revolusi dan masyarakat awam yang memperjuangkan aspirasi Rakyat Syria.
Beliau turut menyeru media arus perdana di Malaysia agar prihatin dalam penggunaan istilah 'pemberontak' yang memberikan konotasi negatif terhadap pejuangan murni Rakyat Syria yang dipimpin oleh FSA.
Tambahnya, istilah yang sewajarnya digunakan adalah “TENTERA PEMBEBASAN” dan bukannya “TENTERA PEMBERONTAK”.
Beliau menyatakan bahawa pendirian Perdana Menteri Syria, Riad Farid Hijab yang telah membebaskan dirinya daripada rejim Bashar al-Assad baru-baru ini dan menyokong perjuangan pembebasan Rakyat Syria membuktikan kebangkitan Rakyat Syria kini terus mendapat sokongan pelbagai lapisan masyarakat.
Naim memuji tindakan TV Al-Hijrah menggunakan istilah “Pejuang Syria” pada 2 Ogos yang lalu, yang menunjukkan keprihatinan dan perspektif yang betul dalam menggambarkan situasi yang berlaku di Syria.
Beliau menyarankan supaya negara umat Islam tidak seharusnya terikut-ikut dengan corak pemberitaan Barat kerana negara mempunyai piawai dan penilaian sendiri terhadap isu antarabangsa, apatah lagi yang ada hubungan dengan umat Islam sendiri seperti di Syria.
GSS turut menegaskan bahawa perjuangan Rakyat Syria juga mendapat sokongan masyarakat dunia serta Majlis Ulama Sedunia yang telah mengisytiharkan Resolusi Muktamar Ulama Sedunia berkenaan Syria di Istanbul pada 1-3 Julai yang lalu.



